Dua ekor keldai, seekor betina dan seekor jantan bercakap-cakap tentang dunia keldai yang telah lama dihidupinya. “Mari kita pakai topeng singa dan kita takutkan haiwan-haiwan lain di dalam rimba belantara ini,” usul keldai betina kepada keldai jantan. “Marilah. Haiwan lain semuanya bodoh, hanya kita berdua yang cerdik.” Tambah keldai jantan. “Mari kita keluar dari kandang keldai, kita jadi singa.” Ujar keldai betina. Dua ekor keldai bijaksana itu pun keluar dari kandang kerana sudah tak ingin lagi berfikir di dalam kotak. “Iya, iya kita kena berfikir di luar kotak.” Kata keldai jantan.. Keldai berdua itu pun keluarlah dengan memakai topeng singa dan menakut-nakutkan sekalian haiwan yang lain.
Saya, tiba-tiba memasuki dunia keldai dengan niat yang baik. Saya kesian kepada sekian keldai yang sejak zaman dahulu kala kerjanya memikul kitab-kitab, tetapi tidak pernah membaca sebuah pun daripada kitab-kitab yang dipikulnya itu. Dan keldai dua ekor, betina dan jantan yang berasakan dirinya bijaksana itu tidak banyak berbeza dengan keldai zaman dahulu kala. Keldai tetaplah keldai meskipun memakai topeng singa. Saya cuba membawa keldai-keldai itu ke gigi air, dan seperti kata pepatah Arab, saya tidak mungkin memaksa keldai tersebut meminum air. Percayalah, keldai tetap juga keldai walaupun dia memakai topeng singa.
Saya seringkali mendengar analogi Allahyarham SN S. Othman Kelantan sewaktu hayatnya: “Samalah dengan manusia, kalau dia diam dan tak bercakap, kita anggaplah dia cerdik. Tetapi apabila dia bercakap, tahulah kita yang dia sebenarnya jenis yang bodoh amat.”