Kenangan ku, Majalah Bujal

Pastinya ramai kalangan kita yang masih ingat kenangan lama yang tidak mungkin luput dari ingatan kita. Kenangan antara kenangan itu adalah majalah "Bujal" yang popular dalam tahun-tahun akhir 70 dan 80an. Saya sendiri memang memilikinya. Hampir setiap bulan ayah akan menghidangkan aku dengan bacaan ini yang katanya memang sesuai dengan peringkat hidup umurku. Malah ayahku jua yang mengkompilasi semua majalah Bujal yang tersimpan rapi di rumah ayahku di kampung. "Berhibur sambil belajar" begitulah kata-kata yang menjadi "tagline" terhadap majalah ini.

Bujal juga merupakan buah tangan Rizalman dan rakan-rakannya yang diterbitkan oleh Raz Studio. Nama majalah ini merujuk pada watak utama dalam siri kartun yang terdapat dalam majalah berkenaan, iaitu "Bujal", kanak-kanak lelaki nakal yang sering berpakaian baju belang, tetapi bijak. Karakter tersebut  boleh dikatakan menjadi ikon penting kepada peminat.

“Bujal” yang mengisahkan kehidupan harian kanak-kanak dalam suasana kampung, mempunyai unsur pengajaran atau pendidikan menerusi karakter-karakter yang ada seperti Dogol, Raju, Wak Segan, dan Cikgu Markonah. Selain siri kartun, majalah ini juga memuatkan ruangan Mari Berpantun, AGEBU (Aku Geng Bujal), dan cerpen. Malah ia menjadi majalah untuk golongan kanak-kanak belajar bahasa Inggeris melalui ruangan “Story Time” di samping menulis jawi kerana memuatkan artikel atau cerita bertulisan Jawi.

Saya lampirkan di bawah salah satu adegan yang mengesahkan Wak Segan YangYok, mengisahkan seorang tua di kampung yang tiap kali bulan ramadhan akan meninggalkan ibadah puasa. Kisah-kisah seperti ini pastinya menjolok rasa dan memberikan pengajaran kepada semua.
Namun, tahukah anda siapa pelukis dan penciptanya? Dalam komik itu, pelukis terbabit dikenali dengan nama pena Nasah.

Bakat dan kredibiliti kartunis yang ada dalam diri Nasah membuatkan Bujal diterima ramai. Malah, sewaktu di sekolah, guru penulis pernah menjadikan Bujal sebagai contoh berikutan mesej yang disampaikannya.

Kini komik Bujal sudah berkubur. Namun, pelukisnya, Nasah atau Sharif Hasan, 58, masih lagi aktif melukis dan membuat lakaran.

Karyanya kini terpampang di ruangan Jawi, akhbar Harian Metro serta majalah Pendidik dan Cahaya terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namanya mungkin tidak sepopular Datuk Lat atau kartunis generasi baru seperti Ujang, Gayour dan Aie. Bagaimanapun, nama Sharif sebaris dengan kartunis lama seperti Rejabhad, Halim Teh, Wahidi, Mishar dan Raja Hamzah. Sharif mempunyai sentuhan dan gaya tersendiri dalam menghasilkan kartun.

Kartun dan komik memang dekat dengan jiwanya ketika dia masih kanak-kanak lagi. Hasil dorongan gurunya, Yaacob Rais, dia bergiat cergas dalam bidang berkenaan seawal 1969.

Karya pertamanya tersiar dalam majalah Hiburan sebelum dia mendapat ruangan tetap, iaitu Renungan Hari Ini di akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Mulai 1973, Sharif bekerja dengan syarikat Suarasa yang menerbitkan majalah seperti Bujal, Anak Rusa Nani dan Rina. Dia kemudian menyertai syarikat penerbitan Raz Studio sebelum berpindah ke syarikat Graphic Comic pada 1995.

Selain bertugas di situ, Sharif berkarya untuk beberapa majalah lain seperti Gelihati, Kuntum, Mingguan Kanak-Kanak, Pelita Rakyat, Gema RTM dan Pemimpin dengan menggunakan pelbagai nama pena.

Di samping majalah, karya Sharif tersiar di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Komik Ima dan Nizam, Pak We Malang dan Gurau Senda mengangkat namanya.

Bukan itu saja, Sharif juga aktif sebagai penulis ruangan di beberapa majalah seperti Majalah Filem, Berita Filem, Mastika Filem, Seni, Hiburan, Utusan Filem dan Fesyen.

“Sebenarnya saya dah nak bersara sejak 1996 lagi sebab keadaan kesihatan tak mengizinkan. Tapi seorang rakan kemudian mempelawa saya untuk bekerja secara kontrak dengan Utusan Melayu. Tawaran itu sukar untuk saya tolak dan saya kembali bersemangat walaupun tak berapa sihat,” kata Sharif.

Kini beliau dalam perancangan untuk mengumpul koleksi kartun Miau bertulisan Jawi yang disiarkan dalam Harian Metro dengan sasaran pembaca kanak-kanak.

Menurutnya, kanak-kanak mudah tertarik dengan watak kartun tanpa mengira apa bahasanya. Contohnya walaupun kartun itu disiarkan dalam bahasa Inggeris, Kantonis atau Jepun, mereka tetap menghayatinya dengan penuh imaginasi.

Baginya, penghasilan buku bergambar dan komik Jawi dapat menarik kanak-kanak untuk meminati tulisan Jawi. Ini terbukti ketika majalah Bujal yang diterbitkan dengan konsep sebegitu pada tahun 70-an dan 80-an mencatat jualan yang tinggi berbanding majalah kanak-kanak lain waktu itu.

“Sekiranya komik dapat diterbitkan dalam tulisan Jawi berserta watak yang boleh mengkagumkan kanak-kanak, saya yakin ia boleh menjadi serampang dua mata untuk pendidikan moral dan jawi sekali gus,” kata Sharif.

Bermula pada tahun 90-an, majalah kartun semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan ia terbukti apabila jualan majalah seperti Gila-Gila, Ujang dan Gelihati begitu tinggi. Kerjaya kartunis juga semakin dipandang tinggi dan ramai kartunis yang hidup selesa.

Bagaimanapun, Sharif berasa penerimaan masyarakat terhadap majalah kartun tidak seperti dulu berikutan jualan kebanyakan majalah komik merosot, malah ada yang gulung tikar!

“Ini mungkin kerana kemunculan banyak stesen televisyen yang menyiarkan kartun dan khidmat internet yang meluas. Tapi, saya juga melihat idea dan persembahan sesetengah kartunis baru kurang menarik. Mungkin ini juga antara faktornya,” katanya.
Share:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut