• Samad Said - Janda Setinggan

    Katanya: Derita itu aku. Dirinya cemas diterjah usia dalam kabus belasungkawa, dia tergigau hampir seminggu diancam lipan, angin dan debu yang sama. Desa bahagia, derita.

  • Samad Said - Nikmat

    Segala yang dihasrat, tapi tak didapat adalah nikmat yang paling padat.

  • Samad Said - Ombak

    Ombak yang menjamah kakiku sekali takkan dapat kukenali lagi..

  • Samad Said - Bahasa Terindah

    Sesudah demikian lama dicintai, sukarlah dilupakan. Inti pengalaman, kepedihan; akar kerinduan keresahan… Memang begitu banyak diperlukan kekuatan, kepangkalan batin, rakit ditambatkan bara kenangan dikuatkan .

  • Samad Said - Tetamu Senja

    Kita datang ini satu roh satu jasad, Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat, Kita datang ini satu roh satu jasad Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat .

Teknik Inovatif tanam kelapa sawit


POKOK sawit adalah sejenis pokok saka yang mampu mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Jangka hayat ekonominya antara 25 hingga 30 tahun dan boleh tumbuh pada ketinggian 20 hingga 30 meter. Penanaman semula sawit biasanya dijalankan selepas 25 hingga 30 tahun berikutan masalah penuaian pokok sawit yang terlalu tinggi dan faktor ekonomi yang boleh mengurangkan pendapatan kerana kekurangan hasil pokok tua yang melepasi jangka hayat ekonomi.


Usaha menanam semula kawasan tanaman pokok sawit yang tua dan tidak ekonomik sedang dipergiatkan bagi memastikan semua kawasan tanaman sawit mengeluarkan hasil tinggi dan memberikan pendapatan lumayan kepada pengusaha sawit. Menyimpan atau membiarkan tanaman sawit melepasi hayat ekonomik adalah satu langkah kurang bijak. Ini kerana hasil sawit dikeluarkan rendah sedangkan kos pengeluaran seperti baja, racun, upah menuai, pengangkutan dan sebagainya, adalah tinggi. Justeru, pulangan bersih diperoleh berkurangan. Untuk terus berdaya saing, pekebun kecil perlu memperoleh pengeluaran tinggi dengan kos pengeluaran yang rendah. Ini hanya boleh dicapai dengan menanam semula pokok sawit tua dan tidak ekonomik.

Beberapa teknik tanam semula sawit biasa digunakan seperti dengan cara menebang dan membakar bersih sisa biojisim sawit meliputi batang dan daun pelepah sawit. Pembakaran sisa biojisim sawit boleh menyebabkan kehilangan bahan organik dan kebanyakan nutrien yang terkandung di dalam sisa biojisim sawit di samping pencemaran udara berikutan pengeluaran gas karbon dioksida dan benda asing. Kehilangan bahan organik ketika pembakaran juga boleh memberi kesan kepada hakisan tanah yang buruk, merosakkan keadaan tanah, mengubah kesan ekologi terhadap mikro flora dan fauna tanah dan boleh menyebabkan permukaan tanah yang tidak larut resap yang mengurangkan resapan dan simpanan air.

Atas arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pembakaran terbuka diharamkan bagi mengelakkan pengeluaran asap berlebihan, yang mana memberi kesan besar kepada kualiti udara dan penglihatan dengan berpandukan kepada keluasan kawasan tanam semula sawit. Bagaimanapun, kelonggaran boleh diberi dengan izin JAS bagi menjalankan pembakaran bagi kawasan bermasalah yang terhad seperti serangan penyakit reput pangkal batang ‘Ganoderma’.

Polisi amalan pembakaran sifar yang dipraktikkan sekarang bagi tanam semula sawit adalah satu contoh baik ke arah kemajuan amalan yang mampan berdasarkan kepada bekalan nutrien dan pengurusan sisa biojisim sawit yang bijak. Di samping pemuliharaan nutrien dan bahan organik, ia juga memberi kesan yang baik terhadap penjagaan ‘biodiversity’ flora dan fauna tanah.

Teknik penanaman semula menggunakan kaedah pembakaran sifar adalah satu pendekatan yang tidak mencemarkan alam sekitar yang mana batang sawit ditebang, diracik dan dibiarkan di ladang hingga reput. Teknik ini berupaya menambah bahan organik, memperbaiki ciri fizikal tanah dan meningkatkan kesuburan tanah. Unsur pemakanan tanaman dikitar semula ke dalam tanah melalui proses pereputan sisa biojisim sawit. Dengan ini, penggunaan baja kimia dapat dikurangkan.

Biojisim sawit ketika tanam semula

Ketika tanam semula sawit tua dengan teknik pembakaran sifar, wujud jumlah biojisim sawit yang besar meliputi batang, pelepah dan akar. Jumlah biojisim sawit untuk setiap hektar dianggar lebih kurang 85 tan bahan kering daripada batang dan pelepah dan 16 tan bahan kering daripada akar yang berada di bawah tanah. Biojisim ini mengandungi nutrien yang signifikan iaitu bersamaan dengan 642 kg unsur nitrogen (N), 58 kg unsur fosforus (P), 1384 kg unsur kalium (K) dan 156 kg unsur magnesium (Mg) seperti di Jadual 1. Sekiranya unsur-unsur ini ditukar dalam bentuk baja kimia, kandungan nutrien ini bersamaan dengan lebih kurang 3.06 tan Ammonium Sulfat (AS), 0.37 t Christmas Island Rock Phosphate (CIRP), 2.77 t Muriate Of Potash (MOP) dan 1.00 t Kieserite. Dalam nilai ringgit (RM) jumlah nutrien ini dianggar sekitar RM5138 (berdasarkan harga semasa baja kimia 2004). Jumlah nutrien yang disumbangkan melalui kitaran biojisim berkenaan dapat mengurangkan keperluan baja kimia bagi mengoptimumkan pertumbuhan pokok sawit sebelum matang.

Jumlah nutrien yang tersimpan dalam biojisim sawit pokok tua semasa tanam semula adalah bersamaan dengan keperluan pembajaan yang standard bagi pokok sawit muda sehingga berumur lima hingga enam tahun bagi unsur pemakanan N, K dan Mg dan dua tahun lagi bagi unsur pemakanan P. Kajian mendapati dengan teknik pembakaran sifar menanam sawit keperluan baja kimia boleh dikurangkan sehingga 50 peratus sehingga tahun kelima menanam. Namun demikian, pokok sawit muda perlu dibekalkan dengan sebahagian kadar baja yang standard mengikut jadual untuk mengimbangkan keperluan baja oleh pokok dalam satu-satu masa.

Pereputan dan pembebasan nutrien sisa biojisim sawit

Kajian pereputan sisa biojisim sawit menunjukkan dedaun sawit cepat reput diikuti oleh rakis pelepah, batang dan akar sawit. Secara purata, kebanyakan sisa biojisim sawit reput dalam lingkungan 12-18 bulan. Walaubagaimana pun, sebahagian bahang yang keras seperti akar yang besar mengambil masa lebih daripada 18 bulan untuk reput. Pembebasan nutrien daripada sisa biojisim sawit adalah berbeza mengikut unsur nutrien di mana pembebasan nutrien daripada sisa biojisim sawit adalah berbeza mengikut unsur nutrien di mana pembebasan unsur K adalah yang paling cepat diikuti oleh unsur nutrien Mg, Ca, P dan N (K>Mg=Ca>P>N). Secara umum, pereputan biojisim membebaskan sebahagian besar unsur nutrien dalam tempoh 18 bulan dan dipindahkan ke dalam tanah. Proses pereputan ini juga menghasilkan karbon organik yang banyak pada permukaan tanah dan ini meningkatkan lagi kesuburan tanah.

Amalan biasa menanam anak sawit

Teknik pembakaran sifar yang biasa diamalkan sekarang untuk menanam semula sawit tidak dimajukan dengan pemahaman proses kitaran nutrien dan bahan karbon organik yang dinamik.

Melalui teknik tanam semula pembakaran sifar, kebiasaannya anak sawit ditanam di kawasan lapang di antara barisan timbunan sisa biojisim pokok sawit yang diracik (Rajah 1). Dengan amalan ini, pelepasan nutrien daripada sisa biojisim yang reput tidak dapat diambil oleh anak sawit dengan serta merta kerana pertumbuhan akar anak sawit adalah terhad di peringkat ini, serta kedudukan anak sawit berada jauh dari kawasan timbunan sisa biojisim.

Oleh itu, kebanyakan nutrien yang dibebaskan biojisim pada peringkat awal berkemungkinan akan hilang melalui proses hakisan, larut resap atau diikat oleh kumin tanah dan tidak dapat diambil oleh pokok sawit.

Dalam kebanyakan keadaan, biojisim dari dua barisan sawit asal dilonggokkan menjadi satu barisan timbunan biojisim yang tinggi dan tebal. Timbunan biojisim ini biasanya akan mengambil masa yang agak lama untuk reput disebabkan kebanyakan biojisim tersebut tidak mengenai permukaan tanah.

Pengenalan dan perkembangan teknik inovatif menanam anak sawit

Satu teknik inovatif telah diperkenalkan di mana anak sawit ditanam di dalam kawasan timbunan sisa biojisim sawit untuk meningkatkan kecekapan penggunaan nutrien yang dibebaskan oleh biojisim (Rajah 2). Kedudukan anak sawit di kawasan timbunan sisa biojisim membolehkan anak sawit mengambil terus nutrien yang dibebaskan daripada proses pereputan dan mineralisasi. Pembebasan nutrien berlaku serentak dengan pengambilan nutrien anak sawit walaupun perkembangan akar anak sawit pada peringkat ini terhad.

Penyelidikan kitaran semula nutrien dan pengurusan sisa biojisim sawit yang telah dijalankan menunjukkan potensi mengoptimumkan penggunaan nutrien yang dibebaskan biojisim sekiranya biojisim sawit dapat diuruskan dengan bijak. Pokok sawit yang ditanam di dalam timbunan sisa biojisim sawit dapat memberi pertumbuhan yang memberangsangkan dan mencapai peringkat kematangan yang lebih awal berbanding dengan kaedah penanaman anak sawit cara biasa.

Ini disebabkan keadaan sifat fizikal dan kimia tanah yang baik melalui pemuliharaan input bahan karbon organik di bawah kawasan sungkupan. Teknik yang diperkenalkan memberi kebaikan kepada pemuliharaan kesuburan tanah dan lain-lain sifat fizikal dan kimia tanah disebabkan kesan sungkupan. Kaedah ini dapat mengurang dan menjimatkan penggunaan input baja sehingga lima tahun pada peringkat awal kematangan pokok sawit.

Teknik inovatif menanam anak sawit

Menebang dan Meracik

Pokok sawit tua ditebang dan batangnya diracik setebal 5 hingga 10 sm pada sudut 45 hingga 60 darjah menggunakan ‘chipping bucket’ yang dipasang pada alat jengkaut berkuasa kuda 120 HP (Rajah 3). Batang sawit yang diracik mempercepatkan pereputannya.

Ketika meracik operator mesin perlu membersihkan dan mengosongkan sedikit kawasan lebih kurang 1.5 meter persegi di antara pokok sawit lama untuk kawasan tanaman anak sawit baru. Biojisim sawit yang diracik perlu di serak sama rata lebih kurang 3 - 4 meter lebar bagi mengelakkan pembentukan timbunan biojisim sawit yang tebal dan tinggi (Rajah 4). Setiap operator mesin boleh menebang dan meracik antara 80 - 120 pokok sawit sehari.

Selepas lengkap kerja menebang dan meracik, garis asas atau ‘rajah lines’ untuk pancang baru menanam anak sawit diukur. Garis asas bagi barisan sawit lama digunakan sebagai panduan dan pancang baru untuk menanam di barisan sawit lama dan antara pokok sawit lama.


Menanam Kekacang Penutup Bumi


Sebelum menjalankan kerja menanam kekacang penutup bumi, kawasan antara barisan tanaman atau kawasan antara biojisim sawit perlulah dibajak atau ‘rotor’ untuk mempercepatkan perkembangan kekacang penutup bumi. Adalah penting bagi kekacang penutup bumi seperti Calapogonium caeruleum dan Pueraria javanica berkembang dengan cepat bagi menutup keseluruhan biojisim yang diracik di mana keadaan ini boleh mengurangkan pembiakan kumbang badak. Penutupan biojisim sawit dengan kekacang penutup bumi akan membuatkan keadaan yang lembap dan boleh mempercepatkan pereputan batang sawit yang diracik.

Menanam Anak Sawit

Menanam anak sawit biasanya dijalankan dalam masa 2 bulan selepas menebang dan meracik. Operasi menanam boleh dilaksanakan terus selepas kerja menebang, meracik dan membaris siap bagi memendekkan masa tanah terbiar kosong tanpa tanaman. Setiap lubang tanaman perlu diletak dengan baja fosfat sebanyak 250g ketika menanam.


Kesan teknik inovatif terhadap ciri tanah dan prestasi pertumbuhan sawit



Kesan Terhadap Nutrien Dinamik Tanah dan Penambahan Bahan Organik Karbon Di Permukaan Tanah


Sisa biojisim sawit semasa tanam semula boleh menyumbang kepada bekalan nutrien yang signifikan terutama nitrogen (N) dan kalium (K) bagi menggantikan input baja kimia yang diperlukan untuk penjagaan dan penghasilan potensi hasil sawit yang maksimum. Penyelidikan telah dijalankan untuk mengkaji kesan menanam anak sawit di kawasan yang tidak mempunyai biojisim sawit di banding dengan menanam anak sawit di kawasan timbunan biojisim sawit di mana semua biojisim yang kedapatan dikeluarkan dari ladang. Sepanjang tempuh penyelidikan dijalankan anak sawit tidak dibekalkan dengan input baja kimia kecuali baja fosfat diletakkan di dalam lubang semasa menanam. Ini bertujuan untuk mengkaji kitaran nutrien yang di sumbang oleh biojisim sawit berpindah dan diambil oleh anak sawit dan juga melihat perubahan nutrien dalam tanah dan ciri fizikal dan kimia tanah semasa tanam semula.

Perubahan ciri kimia tanah dan nutrien dinamik pada kedalaman 0-15sm selama tempuh 48 bulan dengan rawatan pengurusan biojisim sawit yang berbeza ditunjukkan pada Jadual 2. Adalah nyata rawatan perletakkan biojisim sawit mengubah kitaran nutrien sistem tersebut dengan bertambahnya kedapatan nutrien di dalam tanah.

Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2, pertambahan yang banyak bagi nutrien N dalasm tanah bagi rawatan yang mempunyai sisa biojisim sawit. Semasa 24 bulan selepas rawatan, plot rawatan yang mengandungi biojisim sawit mempunyai nilai 0.28 peratus nutrien N dan aldah lebih signifikan tinggi di banding dengan plot rawatan tanpa biojisim sawit yang mempunyai nilai nutrien N sebanyak 0.20 peratus.

Seperti nutrien N, tahap kandungan nutrien P juga lebih tinggi bagi plot rawatan yang mempunyai biojisim sawit di banding dengan plot rawatan yang tidak mempunyai biojisim sawit. Bagi nutrien K, tahap kandungan nutrien K untuk tempuh 12-48 bulan bagi plot rawatan yang mempunyai biojisim sawit adalah lebih signifikan tinggi (antara 0.26 - 2.62 meq./100g tanah), walaupun tahapnya menurun mengikut masa.

Kandungan nutrien Mg dalam tanah didapati mempunyai corak yang agak sama seperti nutrien K. Pada kebanyakan masa nutrien Mg dalam plot rawatan yang mempunyai biojisim sawit berada (antara 0.40 – 1.11 meq./100g tanah) dan lebih tinggi daripada plot rawatan yang tidak mempunyai biojisim sawit (antara 0.17 - 0.46 meq./100g tanah).

Kawasan sungkupan di bawah sisa biojisim sawit yang reput juga mempunyai sifat struktural tanah yang sangat baik dipulihara oleh pertambahan input bahan organik dan aktiviti fauna tanah. Timbunan bahan organik karbon hasil dari pereputan biojisim sawit didapati bertambah diplot yang mempunyai sisa biojisim sawit. Sebaliknya, kawasan plot yang tiada biojisim sawit tidak mempunyai timbunan bahan organik karbon dan tidak menunjukkan ciri-ciri tanah yang baik untuk pertumbuhan sawit.

Kesan Terhadap Ciri Fizikal-kimia Tanah

Disamping menyumbang nutrien secara terus, faedah tambahan yang diperolehi daripada sungkupan sisa biojisim sawit di mana memperbaiki ciri fizikal dan kimia tanah, kedapatan nutrien tanah dan populasi fauna dan mikrob untuk pertumbuhan sawit.

Kelembapan Tanah

Penggunaan sisa biojisim sawit boleh mengubah kelembapan tanah terutama semasa cuaca kering atau musim kurang hujan. Kesan sungkupan terhadap kelembapan tanah adalah lebih nyata pada peringkat awal dan berkurangan dengan pereputan tanaman. Ketika kurang hujan, kandungan kelembapan tanah yang signifikan tinggi diperoleh di kawasan rawatan yang menggunakan sungkupan sisa biojisim sawit berbanding kawasan rawatan yang tiada sisa biojisim sawit.


Kemasaman (pH) Tanah


Perubahan pH disebabkan penggunaan sisa biojisim sawit biasanya didapati selepas 10 bulan rawatan di mana ‘base cation’, terutamaCa dilepaskan melalui pereputan biojisim. Kajian mendapati selepas 12 bulan rawatan, pH tanah pada kedalaman 0-15sm berada pada tahap 4.67 di kawasan yang tiada sisa biojisim sawit dan bertambah ke tahap signifikan 5.32 di kawasan yang ada sisa biojisim sawit.

Kapasiti Pertukaran Kation (CEC)

Salah satu ciri kimia yang signifikan bagi bahan organik karbon tanah ialah mempunyai kapasiti pertukaran yang tinggi bagi kation dan anion. Penggunaan sisa biojisim sawit memberi kesan terhadap CEC tanah. Rawatan dengan sisa sawit menunjukkan CEC yang signifikan tinggi (>8.50 meq./100g tanah) di banding dengan rawatan yang tidak diletak dengan sisa biojisim sawit (<8.50 meq./100g tanah). Kesan ini disebabkan pertambahan dalam kapasiti pertukaran dengan pembentukan bahan humic.


Faedah teknik inovatif


Teknik baru ini dapat mengurangkan penggunaan input baja kimia. Dianggarkan lebih kurang 50 peratus input baja boleh dikurangkan sehingga 5 tahun pertama semasa diperingkat awal kematangan sawit. Kawalan rumpai juga berkurangan di sekeliling bulatan anak sawit semasa 2 tahun pertama selepas menanam. Oleh itu dapat mengurangkan kos penjagaan dan pengeluaran.

Anak sawit yang ditanam di kawasan timbunan biojisim sawit menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan mencapai peringkat kematangan yang lebih awal berbanding anak sawit yang ditanam secara biasa.

Dengan menggunakan barisan lama menanam anak sawit baru, tiada kos tambahan yang perlu untuk infrastruktur baru seperti pembinaan jalan ladang, parit ladang dan teres.

Kesimpulan

Penanaman semula sawit secara pembakaran sifar adalah satu kaedah mesra alam di mana tidak mencemarkan alam sekitar dan dapat menyumbangkan kepada persekitaran yang lebih bersih di samping berupaya menambah bahan organik, memperbaiki ciri fizikal tanah dan mempertingkatkan kesuburan tanah. Kitaran biojisim sawit ketika tanam semula dengan pengurusan agronomik yang bijak tanpa diragui dapat menyumbang unsur pemakanan yang signifikan ke dalam tanah melalui proses pereputan biojisim sawit dan kemudian diambil oleh anak sawit yang baru ditanam. Teknik inovatif menanam anak sawit di kawasan timbunan sisa biojisim sawit menunjukkan pendekatan berdaya maju di mana dapat menambah produktiviti tanah selaras perkembangan ekonomik yang mampan. Amalan ini dapat mengurangkan penggunaan baja kimia secara langsung dan seterusnya mengurangkan kos pengeluaran.



Share:

Persahabatan Tanpa Syarat.

Cuti sempena hari raya aidilfitri kali ini agak panjang dan ramai orang mengambil peluang pulang ke kampung halaman  berjumpa sanak-saudara  tidak kurang juga orang yang  menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan sekolah.

'Reunion' ini adalah suatu majlis yang sangat bagus tetapi biarlah dengan niat dan penerimaan yang sama seperti masa persekolahan dahulu iaitu "Persahabatan Tanpa Syarat"

Ya, zaman persahabatan semasa persekolahan adalah zaman yang paling saya suka di mana kita bersahabat tanpa syarat. kita tidak kisah sahabat itu markah berapa dalam peperiksaan, kita tak kisah ayah ibunya kerja apa, rumahnya besar mana, datang sekolah naik apa. semua itu tidak penting. pada masa itu, kita hanya pentingkan persahabatan.

"Jika kau terlupa bawa bekal atau tiada duit belanja, marilah kongsi bekal aku. Kita makan di tempat letak basikal".

"Eh sedapnya roti prata ni"

"aku bawa bekal nasi dan sambal ikan bilis tumbuk dan telur goreng. Kita makan sama-sama ye"

"Periksa semua markah merah dan kena rotan dengan ayah kau ke?. jom kita pergi mandi sungai".

Itulah dialog kita kepada sahabat setiap kali sahabat kita mempunyai masalah atau kita sendiri mempunyai masalah. jadi bila ada permintaan untuk majlis reunion ramai yang ingin menyertainya kerana fikir sahabat kita tanpa syarat itu masih begitu. namun realitinya tidak begitu.

Saya ada satu kisah. ia berlaku di depan mata saya pada akhir tahun lepas.

Pada suatu petang pada hari cuti, seorang sahabat saya mengajak saya untuk menemaninya ke kedai alat ganti, saya dengan rela menemaninya. Usai membeli barangan dikehendaki, dia mengajak saya menemaninya ke majlis reunion rakan sekolah rendahnya. Saya keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa di situ dan saya juga berpakaian agak selekeh. dia mendesak dan saya tiada pilihan kerana saya menumpang keretanya. dia berjanji hanya sekejab sahaja.

Di restoran berhawa dingin itu beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual di dalam kelompok-kelompok kecil. di luar terdapat deretan kereta-kereta mewah. dia masuk berjumpa mereka dan bertegur sapa. rata-rata mereka sudah tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka sudah puluhan tahun. Saya pula turut bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya. apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah.

Saya hanya menjadi pemerhati di majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang. memang ada anak-anak gadis di situ tetapi saya bukanlah seorang yang mata keranjang. lagipun mereka juga hanya memandang saya sebelah mata lantaran pakaian saya yang sangat selekeh iaitu berbaju "t",  cargo pants dan bersandal. gadis-gadis moden yang baru tumbuh susu ini lebih tertarik dengan gadjet dan lelaki yang agresif berbanding saya yang pemalu dan hanya bermain game ular di dalam handphone 3310 saya.

saya dapat perhatikan sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok. ada kelompok guru, businessman, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus, mereka sekadar berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta yang dipakai. ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis tersebut.

" Woi, kau pakai kereta apa sekarang?".

Saya yang mendengar turut terasa jengkel. ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan show off kereta. lagi memualkan ada sahabatnya yang terang-terang bercerita perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara. sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan kepala. tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi orang ada-ada.

Dua jam berlalu, sahabat saya mengajak saya pulang. dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka. rata-rata hanya bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak mengendahkan sahabat saya lagi.

Hanya ada dua orang sahabatnya sahaja yang mengekori hingga ke kereta. mereka masih berbual-bual kira-kira 20 minit dan bergelak ketawa. mereka bukan calang-calang orang, salah seorang adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi adalah ahli perniagaan. mereka berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian.

Apabila ingin bersurai, saya tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. air mata mengalir di pipi masing-masing.

Di dalam kereta, saya bertanya sahabat saya itu kenapa dia tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya. dia mempunyai kereta BMW, Merc, honda, toyota hilux dan beberapa kereta lagi, tetapi wira buruk ini juga dibawanya.

Katanya, " memang saya sengaja, saya nak tengok rupa sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan dan susah senang bersama. jadi, akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada dua orang sahaja sahabat yang masih anggap saya sahabat karib mereka. sahabat tanpa syarat".

Saya diam dan termenung sendiri. saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan, pakaian cuma alas diri. kita mampu memiliki dan menggantinya kesemuanya itu pada bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada ditangan kita. ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatan. namun jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal hingga ke hujung nyawa.

Adakah diri anda bersahabat tanpa syarat sehingga kini?
Share:

Bakal Isterinya Pernah Terlanjur (Bahagian 1)

Perasaan sayang terhadap orang si dia yang sudah hampir hendak menjadi pasangan kita yang sah sudah pasti akan membuak-buak ketika itu.

Hari yang bakal berlaku ditunggu-tunggu selama ini akan terjadi dan diharungi dengan harapan yang tinggi dan bahagia.

Namun, kadang-kadang masa silam menjadi penghalang kebahgiaan, mungkin kerana kesilapan lalu yang besar menyebabkan kebahgiaan yang diimpikan berkubur sekelip mata.

Seorang lelaki telah meluahkan perasaannya kepada sebuah page luahan hati, IIUM Confessions - BM di mana mengisahkan beliau yang bakal berkahwin tetapi rahsia besar tunangnya itu telah terbongkar sedangkan tarikh yang dinanti-nantikan untuk dijabkabul sudah dekat.

Jom kita baca.

Aku dah graduate dari UIA.,cerita ni memang cerita betul hidup aku sendiri. bukan nak membuka pekung di dada, tapi ada mesej yang ingin aku sampaikan.dekat UIA aku kenal sorang sister, lama kenal berkawan selama 1 tahun, lepas graduate dan masing-masing dapat kerja kami plan untuk kehidupan seterusnya. kahwin. Selepas grade alhamdulillah both dah dapat kerja, Kami bertunang selama 3 bulan.

Sementara tu jugak, aku ade buat bisness printing baju dengan member aku.

Saja tambah duit poket, boleh buat belanja kahwin sedikit sebanyak.kiteorang buat online bisness, jadi kebanyakkan orang nak order baju akan pm kiteorang terus.

Tinggal sebulan je lagi aku dengan tunang aku akan disatukan. mostly semua persiapan dah siap. Semua dah tempah, kad jemputan, pun semua dah diedarkan, sewa kanopi, semua hampir dah siap.tunggu hari kejadian saja.

Malam tu semua keluarga aku kumpul, bincang pasal majlis kahwin aku.abang2 dan kakak2 aku semua macam bagi nasihat rumah tangga dekat aku, sebelum mendirikan masjid ni semua, since aku anak bongsu dalam keluarga, aku dengar jelah semua nasihat abang dan kakak aku.

Semua tengah meriah bagi tips itu ini, nasihat dekat aku semua tengah duk berbincang, aku dapat call dari no yang aku tak kenal.tapi aku tak hairan sangat, mungkin customer nak order baju aku fikir camtu.then aku angkat call yang masuk tu, senyap.

Lepastu aku panggil tak menyahut, aku pun letak je mungkin salah no.,kali kedua no yang sama call lagi, kali ni ada suara lelaki yang menyahut.dia tanya aku ni hafiz ke?lepastu aku jawab ye, lepastu dia tanya boleh tak nak jumpa aku.aku tanya dia siapa,dia cakap nak tempah baju. aku jawab usually aku tak jumpa dengan customer kalau nak order, just bagi details thru wassap pun boleh aku cakap,s ebab aku pun sibuk nak uruskan majlis kahwin tak lama lagi, jadi tak sempat nk jumpa

Tapi dia seakan memujuk aku untuk berjumpa juga, sebab katanya banyak helai baju yang ingin dia tempah dan dia ade design dia sendiri. aku jawab kalau camtu nanti aku minta tolong business partner aku yang pergi jumpa dia, takpun xyah jumpa pun takpe aku cakap, berapa helai nak tempah baju takde masalah, design pun boleh email je.

Tapi dia cakap dia tak nak jumpa partner aku, dia nak jumpa aku je.aku cakap sama je memana, business partner aku pun boleh je pergi sebab dia pun tahu selok belok nak order baju, lepastu tiba2 dia cakap aku nak cakap pasal tunang kau.aku tersentak bila dia sebut nak cakap pasal tunang aku.

"Nak cakap apa?" aku pun cakap tadi nak order baju, ni nak cakap pasal tunang aku pulak, aku tak kenal dia pun. 

"Dia cakap aku kenal kau, aku just nak cakap tunang kau dah rosak banyak kali dengan aku."

Aku dengan tetiba sergah dia dalam phone call tu, aku cakap kau tak kenal aku, kau tak kenal tunang aku, jadi baik kau jangan buat fitnah sebelum aku report polis.

Dia cepat-cepat bagitahu aku nama penuh tunang aku, lagi lah aku cuak, macam mana dia tahu nama penuh tunang aku, melainkan dia dah kenal dengan tunang aku, lepastu dia bagitahu kalau kau tak caya nanti aku wassap gambar.aku terus letak phone macam tu je.then aku matikan phone aku waktu tu.

Fikiran tengah berserabut gila waktu tu. yelah kau tetiba dapat call dari orang yang kau tak kenal, lepastu siap bagitahu nama penuh tunang kau, cakap tunang kau dah rosak semua dan nak tunjuk bukti semua.aku ambil kunci kereta, dan aku keluar rumah malam tu, mak aku sempat pesan nak keluar pergi mana malam2 dah ni, orang darah manis ni tak elok keluar malam.aku cakap nak lepak dengan kawan jap waktu tu dah pukul 10.30 malam,

Mak aku macam pelik aku jarang keluar lepak dengan kawan lewat2 macam tu.aku tak tahu nak pergi mana, dalam hati aku kuat mengatakan tu hanya fitnah. aku kenal tunang aku .aku pergi lepak sensorang dekat McD.sampai je situ, aku on kan phone aku balik, ade wassap dari tunang aku,tanya aku dekat mana, sebab mak aku bagitahu dia aku keluar tak balik2 lagi, call tak masuk semua. aku bluetick je, then masuk wassap dari no yang aku tak kenal. budak jantan tadi wassap image dekat aku, banyak keping. tapi aku tak download waktu tu, sebab aku tak bersedia nak tengok image ape yang dia hantar dekat aku, tapi hati aku eager nak tahu.

Aku kuatkan hati jantan aku ni dengan download semua gambar.

"Ya Tuhan..remuk hati aku waktu tu, rupanya dia hantar gambar tunang aku dengan dia yang tengah ambil gambar sekali dekat mana tah, tapi tangan dia merangkul kemas pinggang tunang aku seakan berpelukan, gambar tunang aku yang free hair, gambar tunang aku yang selfie dengan hanya pakai singlet."

Aku sendiri tak pernah pun tengok tunang aku dalam keadaan demikian, patah hati aku waktu tu, aku tak balas, dalam kepala aku cuba untuk tenang dan fikir positif, waktu tu aku cuba fikir ni orang yang sengaja nak rosakkan hubungan aku dengan tunang aku.

Aku fikir tu mungkin gambar edit je tu. tapi hati aku kuat mengatakan tu tunang aku. lepastu jantan tu wassap aku lagi, dia cakap dia tahu semua tahi lalat tunang aku dekat mana, tanda lahir tunang aku dekat mana,dan semua benda sensitif pasal tunang aku dia bagitahu. aku tak tahu pun semua tu, aku tak tahu tahi lalat dan tanda lahir tunang aku dekat mana, aku tak tahu tahu rambut tunang aku paras mana,semua aku tak tahu.

Menangis aku waktu tu jugak, aku cuba tahan tapi air mata jantan aku keluar jugak.malam tu aku balik rumah pukul 3 pagi.membebel mak aku, katanya dah nak kahwin tak boleh dah lepak sampai lewat pagi dengan kawan.3 hari aku tak layan tunang aku, aku cakap aku sibuk dengan printing baju, tak sempat nak layan.rasa nak tampar pun ada, 

Kalau duduk depan aku rasanya ,mau dah kena tampar.seminggu lepas tu, aku call jantan tu aku cakap aku nak jumpa.aku nak kepastian, nak tanya betul2.then aku jumpa, jantan tu cerita satu2 dekat aku, sebelum aku kenal tunang aku, tunang aku dah ade bf.dorang dah terlanjur banyak kali, dah buat macam2, lepastu dia tunjuk conversation lama dia dengan tunang aku,semua conversation macam phone seks. aku rasa nak je aku tumbuk muka jantan tu, tapi sebab aku duk tempat awam, aku tahan je.

Aku tanya jantan tu satu je, ape tujuan kau bagitahu aku semua ni? dia cakap sebab aku tak nak kau jadi dayus la gila, pompuan tu dah rosak, aku yang rasa dia dulu.shit! aku balik macam tu je, tiap hari aku menangis, sebak sayu semua ade.majlis kahwin tinggal 2 minggu je lagi, ape patut aku buat.aku tak bagitahu sesiapa, 

Aku tak tanya tunang aku hal ni, aku diam je. waktu tu aku dekatkan diri dengan Tuhan aku buat istikharah tiap malam, aku buat solat hajat, aku mohon betul2 dengan Tuhan. aku fikir nak je aku putuskan pertunangan dan batalkan majlis kahwin, tapi aku fikir tu mustahil nak memalukan keluarga sndiiri, lagipun mak aku ade lemah jantung dan bakal mak mertua aku pun tak sihat ade darah tinggi, aku takut dorang terkejut kalau dorang tahu hal ni. tapi aku tak kuat, lemah weh tak tahu nak buat ape.

Aku sendiri tak pernah sentuh tunang aku, even tangan pun tak sentuh,aku sayang tunang aku betol2, aku merungut kenapa mesti aku yang dapat ujian macam ni.aku fikir kalau aku kahwin nanti macam mana dengan keturunan aku, dayuskah aku, semua keliru aku tak tahu nak pilih yang mana.aku xdpt apa2 petunjuk dari istikharah.sampailah aku dengar khutbah jumaat dekat masjid rumah aku, tajuk khutbah jumaat hari tu peluang kedua.dlm khutbah tu cakap, semua orang berhak untuk diberi peluang kedua, tak kisah jahat atau baik.malah orang tu patut diberi peluang kalau dia ingin betul2 berubah.kita ni siapa nak menghukum orang, seeloknya buka lah hati untuk memberi peluang kedua, insyaAllah Tuhan permudahkan urusan.terngiang2 dalam kepala aku khutbah jumaat hari tu, majlis tinggal seminggu saja lagi dan aku tak dapat pape petunjuk.

Aku buat keputusan nak jumpa tunang aku, haritu aku jumpa dia dengan bawak hadiah. aku hadiahkan dia sepasang stokin dengan sepasang handsock.dia agak terkejut dengan hadiah yang aku kasi.dia tanya kenapa? aku cakap pakailah stokin tu, tutup kaki, handsock tu pkai la walaupun pakai baju lengan panjang, tapi tetap nampak lengan tu.tunang aku agak keberatan nak terima ape aku cakap, dan teragak2 untuk pakai stokin. 

Sku cakap nanti aku beli lagi yang lawa2, baru sedap nak pakai.aku cakap pakailah slow2 baru laki tak usha,jagalah aurat betol2 slow2 takpe aku cakap.then boleh pulak dia cakap cemburu ke? aku panas hati, tapi aku diamkan je.rasa nak je naik tangan, tapi sebab perempuan aku tahan je, aku cakap dlm hati bukan aku cemburu, sebab aku tak nak lelaki lain tengok aurat kau dah.

Aku kumpul kekuatan nak berterus terang. aku tunjuk gambar dia dan budak jantan tu yang sedang bergambar sambil berpelukan. aku tanya ni apa?terbeliak tunang aku waktu tu, terus dia tanya aku dari mana dapat gambar tu, dan tiba2 je dia menangis tersesak2.aku tanya kenapa nak nangis, benda dah pun jadi, kenapa tak terus terang je? kenapa tak cakap yang dah ade bf sebelum ni.semua aku tnya sebab dah hampir sebulan aku pendam sensorang,sampai tumpah jugak air mata jantan aku ni depan tunang aku,dia bagitahu tu cerita lama, dia dah tak contact dengan budak laki tu, budak tu just nak duit dan badan dia je waktu bercinta.tunang aku tanya aku, status kita macam mana, perasaan aku semua adekah aku akn batalkan majlis?

Aku cakap kita proceed jelah, majlis tak sampai berapa hari dah lagi.tentang perasaan tu tipu lah kalau aku tak sakit hati, dah berkecai hati aku sebenarnya, aku jaga tunang aku leklok, tapi alih2 ade orang dah sentuh tunang aku sebelum aku sentuh dia,aku fikir maruah family, fikir mak aku yang sakit jantung, aib tunang aku dan semua lah aku fikir.'

Tunang aku izinkan aku untuk batalkan majlis, dia malu dengan aku sebab dia dah rosak, aku jawab aku anggap ni ujian Tuhan dekat aku, mungkin ade kebaikan yang aku dapat nanti, aku pun tak tahu. ujian untuk aku bimbing isteri aku nanti.aku cakap walaupun dah jadi macam ni,sayang aku tu masih ade.masih kuat.jadi hargailah.aku cuma minta satu je dengan tunang aku, tutup aurat dengan sempurna.sebab tu aku hadiahkan stokin dgn handsock.bukan aku suruh pakai tudung labuh dan purdah segala, just tutup mana yang basic, insyaAllah aku redha dengan ujian ni.

Pernah jugak aku cuba untuk bagitahu mak ayah dia tentang hal ni, tapi tu aib tunang aku. pernah aku nak batalkan majlis dan tinggalkan tunang aku, tapi aku paksa diri aku ingat balik semua kebaikan yang pernah dia buat dekat aku dulu. 

Dulu dekat UIA, dia pernah bayarkan yuran aku separuh, pernah dia support duit makan aku bila aku takde duit, dialah tempat aku jatuh bangun strugle dekat uia selama 4 tahun, hal duit tu xyah cakap banyak sangat dia tolong aku, aku budak mustang, ade kalanya dia beli keperluan sukan untuk aku, bukan aku minta tapi dia yang kasi semua ni. jadi aku tak boleh lupa kebaikan yang pernah dia buat even satu kesalahan besar dia buat tak cukup nak tampung kebaikan dia selama ni, tapi aku ingat. aku tak tinggalkan tunang aku bukan sebab kebaikan yang dia buat, tapi sebab kasih sayang aku yang betol2 ikhlas dengan tunang aku,dan aku patut bagi dia peluang kedua untuk berubah .insyaAllah aku akan redha.doakan aku guys.majlis kiteorang hari ahad terdekat ni, terima kasih. 
Share:

Tadabur Quran An Nisa 114

Bismillahirahmanirahim

لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.

Surah An-Nisa: ayat 114.

Ayat 114 masih menjelaskan sebahagian perilaku orang-orang munafik dan hubungannya dengan syaitan serta cara-cara syaitan menyesatkan manusia. Orang-orang munafik itu suka membicarakan dari belakang (najwa) tentang Rasulullah dan kaum Muslimin. Padahal najwa itu tidak ada baiknya kecuali menyuruh bersedekah, berbuat baik atau mendamaikan di antara manusia. Selain itu adalah perbuatan setan, menyakiti Allah dan Rasul-Nya.

Nyatalah kepada kita bahawa perbezaan orang munafiq dan yang diredhai Allah adalah melalui akhlak mereka. Akhlak yang diiktiraf dan diredhai Allah hanya akhlak mereka yang mengajak bersedekah, mereka yang mengajak melakukan perbuatan baik yakni amal soleh dan mereka yang mengajak kepada perdamaian sesama manusia.

Wallahu a'lam
Share:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut