Di Bawah Lindungan Kaabah: Pandanganku

Ini adalah cerita biasa. Cerita yang boleh sahaja berlaku di mana-mana dan dalam apa bentuk persembahan. Cinta tidak kesampaian kerana darjat atau keturunan. Manusia yang meletakan label walau hakikatnya kita adalah sama.

Begitu juga cinta Zainab dan Hamid dalam filem "Di Bawah Lindungan Kaabah" yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama, karya Bung Hamka. Tiada perbezaan yang nyata atau melahirkan sesuatu yang luar biasa.. Cinta Zainab dan Hamid dalam "Di Bawah Lindungan Kaabah", tidak jauh berbeza dengan cinta Hayati dan Zainuddin dalam "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck", juga karya Bung Hamka. Pengakhiran cerita juga lebih kurang serupa. Tema Surat yang berperanan dalam menghubungkan makna perasaan bagi watak-watak utama dalam kedua-dua karya tersebut, juga lebih kurang sama.

Namun, sebanyak mana sekalipun persamaan sesuatu perkara, tentu sahaja ada sekurang-kurangnya satu perkara lain yang membuatkannya lebih tertonjol. Begitu jugalah dengan Di Bawah Lindungan Kaabah yang mempunyai temanya yang biasa. Pengolahan jalan cerita dan bahasa menjadikan cerita ini menempuh jalannya yang berbeza.

Cerita cinta yang memiliki harapan berbeza, lalu menempuh satu laluan yang berpusat di Mekah. Kota yang diimpikan oleh setiap Muslim. Mungkin ini adalah olahan pengalaman Bung Hamka ketika berada di kota suci itu. Surat yang mempertemukan mereka. Harapan Hamid yang paling besar ialah untuk menunaikan haji, dan pada sisi Zainab pula, menikah dengan lelaki yang mencintai dan dicintanya adalah harapan yang teratas, sehinggakan impian itu dititipkan kepada Hamid untuk disebut di hadapan Kaabah. Namun, kedua-dua harapan yang berbeza itu sebenarnya berada dalam satu keinginan.

Luahan perasaan tidak perlu dengan perkataan yang berjela. Masing-masing memahami sendiri walaupun tanpa pengakuan secara langsung. Sabut kelapa berisi kalam tertulis nama ‘Zainab’ dihanyutkan lewat arus sungai sehingga disambut oleh Zainab sendiri ditafsir sebagai satu bentuk penyampaian perasaan dari pihak Hamid walaupun susuk tubuh lelaki itu tidak kelihatan.

Bahasa tetap akan jadi penghubung yang baik dalam apa-apa sahaja situasi. Pengakuan cinta Hamid walaupun tidak secara langsung lebih ‘berdarjat’ dengan kata-kata bermakna ketika ditanyakan perasaannya kepada Zainab oleh Engku dengan soalan langsung dan didesak: “Apakah engkau mencintai Zainab?” Lalu jawab Hamid; “Saya hanya bisa mengatakan bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar dibandingkan dengan kesedihan ketika saya difitnah dan diusir dari kampung ini.”

Kata-kata indah yang dituliskan oleh Bung Hamka yang selalu akan aku ingat. ;

“Sampai kapanpun; emas takkan setara dengan loyang, dan sutera tak sebangsa dengan benang.” – ibu Hamid

“Apapun yang akan terjadi, Hamid; ingatlah bahawa ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup.” – ibu Hamid

“Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya ada dua hal yang harus terus kita bawa; keyakinan, dan cinta.” – Hamid.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut