Kiranya banyak yang telah dibincangkan dalam blog ini berhubung dengan sahabat atau teman. Tajuk seperti (1) Masih adakah sahabat sejati (2) Sahabat Tikam Belakang (3) Kawan Menjauhi diri telah menghiasi waritaku yang seadanya ini. Tajuk yang lain seperti Dua Permintaanku juga menyentuh tentang kawan atau sahabat. Tajuk teman, kawan atau sahabat memang menarik minat kerana dalam perjalanan hidup ini pelbagai perkara yang dilalui melibatkan kawan. Hampir setiap masa menjadi kekeliruan di hati. Ada yang suka malah tidak kurang yang duka. Saya beranggapan ia adalah merupakan liku-liku perjalanan yang harus ditempuhi oleh makhluk yang bergelar insan.
Setelah membaca semula beberapa tajuk yang telah dikeluarkan kelihatan amat jelas tentang sumber dan rujukan yang tidak berapa menyeluruh. Mungkin hanya berdasarkan kepada emosi dan rasa yang terburu-buru. Hari ini bulan Ramadan tahun 2014M atau 1435H merupakan masa yang amat sesuai menelaah semula setiap pengalaman dan perasaan yang telah dilalui dan membandingkan dengan sumber rujukan yang sesuai agar masa hadapan yang akan dilalui lebih tenang dan bertenaga kerana memahami lebih terperinci ketentuan Allah berikan.
Saya dahului dengan menelaah sumber hadis berhubung dengan sahabat.
“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)
“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika berdasarkan kepada hadis-hadis yang telah disenaraikan jelas sekali ciri-ciri sahabat yang baik. Persahabatan yang baik secara umumnya adalah berteraskan kepada kasihkan Allah dan Rasul-Nya. Astagfirullah, mungkin selama ini perhubungan persahabatan tidak seperti yang telah digariskan oleh syarak sehingga setiap perhubungan sahabat berakhir sehingga menyakitkan hati di antara sesama lalu menghasilkan perasaan marah bahkan mungkin kebencian. Hanya Allah jua yang tahu.Jika itu berlaku mohon agar Allah berikan kekuatan. Mungkin ada 1000 jenis kebaikan kepadamu.
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang
baik ?. Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah
sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada
anaknya, “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat
dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya
seperti berikut.”
1. Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan. Namun acapkali dalam perhubungan akan menjumpai "kawan makan kawan". Bukan perlindungan diperolehi bahkan kekurangan kita sentiasa diceritakan di sana sini. Bukan kah kawan itu tidak tahu betapa bersungguh dan berusaha kita melindungi setiap luahan hatinya dan setiap inci rahsia terhadap kita selama ini daripada diceritakan. Bahkan kesemuanya kita simpan dan pekap sebagai rahsia di antara rahsia yang tersimpan. Kalau bukanlah kerana dosa yang Allah berikan maka sudah lama rahsia-rahsia tersebut dijaja di sana sini. Lagi sekali pohon ampun dan maaf dari Allah, Astagfirullah. Mungkin Allah ingin menunjukkan seesuatu kepada kita.
2. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya). Seharusnya seorang sahabat harus membantu seboleh mana yang termampu. Buah fikiran serta pandangan haruslah diberikan meski mungkin segalanya itu tidak mampu menyelesaikan masalah namun diharap dapat mengurangkan sedikit bebanan. Seorang sahabat juga tak perlu mengungkit setiap pemberian hadiah dalam bentuk apa jua sebelum ini. Sekiranya beliau memutuskan persahabatan ini biarkan la segala apa yang telah diambil daripada kita.
3. Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu. Ada suatu ketika mungkin ketika dia diam engkau menyapanya lalu tidak disambut sapaanmu. Bersangka baiklah mungkin ada sesuatu yang dia tak mahu engkau tahu. Berikan lah lebih masa kepadanya untuk menenangkan dirinya sendiri. Jika dia terus mendiamkan diri maka fahamilah dia yang tidak mahu meneruskan persahabatannya. Muhasabah diri dan redhalah setiap apa yang telah ditentukan dengan status persahabatanmu.
4. Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu. Kadang-kadang ada ketika yang engkau tak dapat menahan kesabaran lantaran mengalah. Dalam hal ini ada lebih baik jika kita mendiamkan diri dan mengelakkan diri daripada terus menjadikan sesuatu hal itu menjadi rumit.
Kawan membuat kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita. Kita juga perlu berhati-hati memilih kawan kerana kita tidak mahu kawan-kawan yang melalaikan kita terhadap Maha Pencipta. Kawan yang baik membantu kita ke arah pencapaian matlamat, iaitu kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Kawan yang tidak baik hanya membantutkan usaha kita ke arah itu.
Dalam kitab al-Hikam ada menyebut, “Jangan berkawan dengan seseorang yang menjauhi diri kepada Allah kerana amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.”
Dalam satu hadis yang bermaksud, “Seseorang akan mengikuti pendirian (kelakuan) temannya, kerana itu tiap orang harus memilih siapakah yang harus didekati sebagai kawan (teman).”
Sufyan Astsaury berkata, “Siapa yang bergaul dengan orang banyak harus mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah seperti mereka pula.”
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049] ayat 13)
Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja. Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah, ayat 119)
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasululah SAW yang bermaksud, “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.”(Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:
1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.
4. Sahabat boros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.
Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”
Dalam sebuah hadis ada keterangan : “Seorang itu akan mengikuti pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”
Menurut ahli syair pula : “Sesiapa bergaul dengan orang-orang yang baik, akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang rendah akhlaknya, pasti tidak mulia.”
Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat berbahaya, sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaruhi, percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat melihat datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan kesetiaan sahabat akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu, yang dengan itu kita pasti akan binasa kerananya. Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencari redha-Nya.
~ Allah itu lebih Mengetahui ~
~ Ramadan 2014 ~
0 komen:
Post a Comment