Kejatuhan Kesultanan Melayu

Petang semalam, penulis berborak dengan rakan-rakan di dalam whatsapp. Berbeza dengan hari-hari lain, petang ini penulis bicara mengenai faktor-faktor kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka seperti yang telah didengar daripada kuliah bulanan Professor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor 2 minggu lepas

Ia amat penting untuk dikongsi bersama kerana penulis tidak mahu rakyat Malaysia mengulangi sejarah yang telah berlaku beratus tahun lamanya. Sejarah yang telah membuktikan bahawa sebuah tamadun yang begitu hebat seperti Melaka itupun boleh hancur kerana tamak haloba, rasuah dan wanita. Sama-sama kita ikuti ringkasan kuliah beliau, semoga beroleh manfaat.

Beliau memulakan cerita dengan 2 kata kunci penting. Sejarah yang kita belajar hari ini adalah catatan yang TERPILIH dan dipersembahkan dalam konteks yang SEMPIT.

Ramai yang mengatakan bahawa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka adalah salah orang Cina dan India pada ketika itu. Macam selalu kita dengar, bukan? Kita ikuti kisahnya terlebih dahulu.

Kisah bermula apabila Bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) mengahwinkan anaknya, Tun Fatimah dengan Tun Ali. Orang-orang dahulu, mereka cukup menjaga maruah anak dara mereka, sehinggakan selain daripada ahli keluarga mereka sendiri tidak pernah tahu bagaimana rupa paras sang dara.

Sehinggalah tiba hari perkahwinan, Sultan Mahmud juga diundang oleh Bendahara Seri Maharaja ke majlis perkahwinan Tun Fatimah dan Tun Ali.

Tersangat anggun dan indah rupa paras Tun Fatimah, sehinggakan apabila pertama kali wajahnya dijamah oleh pandangan Sultan Melaka (Sultan Mahmud), saat itu juga Baginda jatuh cinta, lalu menanam dendam berahi yang teramat kepada anak Bendahara.

Suatu hari, datang seorang saudagar bernama Nina Sura Dewana untuk memohon perlindungan daripada Syahbandar Melaka, Raja Mendaliar. Akan tetapi oleh kerana hari sudah gelap, maka disuruhnya saudagar pulang ke rumahnya.

Tetapi Nina Sura Dewana tidak berpuas hati, lalu berkata di dalam hati.

"Raja Mendaliar itu kaya orangnya. Sekiranya dia mendekati Datuk Bendahara, pasti aku kalah olehnya."

Lalu sang saudagar pergi berjumpa dengan Bendahara Tun Mutahir pada malam itu juga, sambil membawa bersamanya emas sebahara.

"Tunku, emas ini persembah sahaya akan pembeli sirih pinang," kata Nina Sura Dewana kepada Bendahara.

Bendahara menjawab,

"Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambillah."

RASUAH

Perkara di atas diketahui oleh seorang ahli keluarga Nina Sura Dewana bernama Kitul. Kitul ini berhutang dengan Raja Mendaliar sekati emas.

Lalu keesokan malamnya, beliau bertemu dengan Raja Mendaliar, membawa khabar berita,

"Malam tadi Nina Sura Dewana datang kepada Datuk Bendahar, persembah sepuluh kati emas, hendak menyuruh bunuh tuan hamba, tuan hamba hendak dikerjakannya".

FITNAH UNTUK KEPENTINGAN DIRI

Apabila mendengar kata-kata Kitul itu, Raja Mendaliar menjadi sangat marah, lantas mengambil surat hutang Kitul dan mengoyakkannya.

"Yang hutang tuan hamba sekati emas itu, halallah dunia akhirat, tuan hambalah saudara kepada hamba, kembalilah tuan hamba."

AMARAH, PERCAYA TANPA USUL PERIKSA

Raja Mendaliar lalu bergegas menghadap Laksamana Khoja Hassan, yang merupakan Laksamana (pahlawan) yang rapat dengan Sultan Mahmud pada ketika itu, Datangnya Syahbandar bukan dengan tangan kosong, tetapi bersama dengannya emas sebahara, permata-permata dan pakaian yang indah-indah.

Berkata Syahbandar,

"Sahaya mengadap Orang Kaya ini, sahaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya dikatakan orang sebicara dengan penghulu sahaya (Bendahara); kerana telah sahaya ketahui bahawa Datuk Bendahara hendak derhaka.

Orang Kaya peresembahkanlah ke bawah Duli Yang DiPertuan, sudah ia (Bendahara) berbuat takhta kerajaan, menempa ciu dan kaus emas; kasadnya hendak naik raja dalam negeri Melaka ini."

FITNAH

Setelah Laksamana melihat harta yang terlalu banyak itu, maka hilanglah pertimbangan akalnya yang waras. Berkata Laksamana,
"Hei emas, Tuhan bukan engkau, tetapi kehendak hati berlaku olehmu."

RASUAH & TAMAK HARTA DUNIA

Setelah menerima harta yang banyak itu, lantas dikhabarkan oleh sang Laksamana bahawa Bendahara ingin derhaka kepada Sultan.

Maka Sultan yang telah dipenuhi hatinya dengan dendam berahi terhadap Tun Fatimah itu, tanpa berfikir panjang terus mengarahkan seluruh keluarga Bendahara termasuk Tun Ali dihukum bunuh kerana derhaka kepada Sultan Melaka.

Lalu diambil oleh Sultan akan Tun Fatimah sebagai isteri Baginda.

NAFSU SHAHWAT & TIDAK PANGGIL BICARA

Tidak lama selepas itu, semua tembelang Si Kitul dan Raja Mendaliar pun pecah, Dikhabarkan bahawa seluruh keluarga Si Kitul dibunuh oleh Sultan dan tapak rumahnya dicabut lalu dicampakkan ke dalam laut. Maka tamatlah kisah sang pengadu domba,

Dengan mangkatnya Bendahara Seri Maharaja, Melaka kehilangan seorang pembesar yang sangat pandai mentadbir negeri. Peristiwa ini berlaku ketika Portugis sedang menyusun strateginya untuk menakluk kota Melaka.

Maka benarlah seperti kata bijak pandai, Arnold Toynbee,

"Tamadun mati kerana membunuh dirinya sendiri, bukannya kerana dibunuh."

Kisah di atas hanya secebis daripada perkara yang dikupas dengan begitu santai oleh Prof.
Apa yang lebih penting adalah pengajaran yang boleh kita ambil daripada sejarah yang telah berlaku pada zaman nenek moyang kita.

Penulis sebagai anak kelahiran Melaka, merasa sangat terkesan dengan kemungkaran-kemungkaran yang sudah berlaku pada zaman itu, dan berazam untuk mencegahnya daripada berlaku di zaman ini.

Tetapi, sekiranya pembaca pandai mengubah nama karakter dan plot berdasarkan cerita di atas, bukankah ianya sedang berlaku sekarang ini?


20 Feb 2016.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut