Pilitik, Jihad Dan Tasbih

Terasa dunia ini semakin tua apabila semakin hari semakin banyak fitnah, kezaliman dan penipuan berlaku. Di luar negara, kita menyaksikan pelbagai rampasan kuasa, pembunuhan, peperangan, kejatuhan harga minyak, usaha penjajahan baru dan pelbagai skandal yang berterusan.
Di dalam negara pula kita menghadapi pemimpin-pemimpin yang acapkali cuba menipu dan memperbodohkan rakyat. Kita sudah muak dengan isu-isu penyalahgunaan kuasa, pemecatan dan ampu mengampu.

Reputasi negara di mata dunia merudum. Mata wang negara pula semakin jatuh dan GST tetap dilaksanakan walaupun membebankan rakyat.

Hati yang sudah terluka ini bagaikan dicincang-cincang apabila melihat wang negara mengalir ke saku-saku pemimpin politik tertentu dan mereka menayangkan kehidupan mewah mereka itu pula.
Sebenarnya terlalu banyak perkara lagi yang menyakitkan hati dan tubuh rakyat yang tidak cukup ruang untuk disenaraikan di sini.

Penjawat awam semakin meluat, ahli-ahli perniagaan terasa berbuku di hati, manakala ulama pula sekadar ingin menjadi "Penasihat".

Anak-anak muda... semakin resah, bosan dan marah dengan keadaan begini.

Saya terjumpa semula beberapa buah hadith Nabi SAW yang sangat berkaitan; buat penyejuk hati dan pembakar semangat, yang sangat relevan dengan suasana yang dirasai sekarang.

سَيَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ ، فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهمْ ، فَلَيْسَ مِنِّي وَلَا أَنَا مِنْهُ ، وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهمْ وَلَمْ يُمَالِئْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ ، فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ ، أَلَا وَإنَّ دَمَ الْمُسْلِمِ كَفَّارَتُهُ ، أَلَا وَإِنَّ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ للَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهَ وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، هَنَّ الْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ "

“Akan berlaku selepasku nanti para pemimpin membuat pembohongan dan kezaliman, maka sesiapa membenarkan pembohongan mereka dan membantu mereka dalam melakukan kezaliman, mereka bukan dari kalanganku dan aku bukan dari kalangannya. 

Sesiapa yang  menolak pembohongan yang dilakukan serta tidak membantu perbuatan zalim mereka, mereka adalah dari kalanganku dan aku dari kalangan mereka.

Bukankah (ketahuilah) darah seorang Muslim (darah syuhada’) dikira kaffarah baginya (penghapus dosa-dosanya).

Bukankah (ketahuilah) ucapan tasbih merupakan zikir yang menjadi amal salih yang kekal.” (Hasan)
Ada tiga perkara yang disentuh oleh hadith di atas.

Perkara 1: POLITIK

Nabi SAW telah meramalkan bahawa akan datang satu zaman nanti, muncul pemimpin-pemimpin yang banyak berbohong dan banyak melakukan kezaliman.

Natijahnya akan lahir bersama pemimpin begitu, dua golongan.

Golongan yang pertama akan mengiyakan pembohongan itu dan akan bersekongkol dengan kezaliman itu. Nabi SAW tidak mengaku golongan begini sebagai umatnya dan tidak mahu bersama mereka.

Golongan yang kedua pula akan menolak dan menafikan pembohongan itu serta tidak bersama dalam kezaliman pemimpin tersebut. Nabi SAW mengakui mereka inilah umat baginda dan Nabi bersama mereka.

Saya percaya penjelasan hadis yang sangat mudah ini membantu rakyat Malaysia mengambil sikap yang betul ketika berhadapan dengan suasana sebegini.

Perkara 2: JIHAD

Hadith ini disambung dengan satu ungkapan yang merangsang jiwa bahawa jihad mempertahankan agama dan hak manusia adalah sesuatu yang besar di sisi Allah SWT.

Sudah tentu ia mempunyai kaitan dengan perkara dan suasana sebelumnya (sikap menentang kezaliman).  Golongan yang diperakui sebagai umat dan Nabi SAW bersama mereka tentunya akan mendapat kepayahan dan kesusahan kesan daripada bangkit berhadapan dengan pemimpin yang penipu dan zalim.

Mereka tidak terpengaruh dan sekadar bertahan sahaja, malah bangkit untuk membetulkan keadaan. Titisan peluh, air mata, masa, tenaga, dipenjara dan entah apa lagi akan terbentang di hadapan mereka.

Lantas Nabi SAW menjanjikan itu semua akan menjadi penebus dan pemadam dosa-dosa silam yang akan menempa keredhaan dan syurga Allah SWT.

Perkara 3: TASBIH

Bahagian ketiga hadith ini mengingatkan bahawa dalam apa keadaan sekalipun, mereka yang bangkit berhadapan dengan pemimpin yang penipu dan zalim ini perlu mempunyai hati yang kuat membesarkan Allah SWT.

Aturlah langkah dan strategi untuk menurunkan dan menukar si penipu dan si zalim ini dalam keadaan kita kekal bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir. Dalam keadaan sibuk atau letih bagaimana sekalipun, hati dan lidah kita akan terus basah mengungkapkan zikir:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ للَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهَ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah, Segala Pujian bagi Allah, dan Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Allah Maha Besar.”

Kalimah ini akan kekal bersamanya ketika menang atau kalah, senang atau susah, sihat atau sakit, untung atau rugi malah hidup atau mati.

Semoga terubat hati yang keluh kesah berhadapan dengan suasana negara yang kucar-kacir ini. Semoga tiada yang bersekongkol lagi dengan si penipu dan si zalim. Semoga kita kekal menjadi umat Nabi Muhammad SAW dalam keadaan kita menjadi ahli politik yang berjuang tetapi hati kita segar berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus 
Naib Presiden Parti AMANAH Negara
Rabu 15 Jamadil Awal 1437H 
24 Februari 2016
Share:

1 komen:

Anonymous said...

^__^ bernas

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut