Terasa dunia ini semakin tua apabila semakin hari semakin
banyak fitnah, kezaliman dan penipuan berlaku. Di luar negara, kita
menyaksikan pelbagai rampasan kuasa, pembunuhan, peperangan, kejatuhan
harga minyak, usaha penjajahan baru dan pelbagai skandal yang
berterusan.
Di dalam negara pula kita menghadapi pemimpin-pemimpin yang
acapkali cuba menipu dan memperbodohkan rakyat. Kita sudah muak dengan
isu-isu penyalahgunaan kuasa, pemecatan dan ampu mengampu.
Reputasi negara di mata dunia merudum. Mata wang negara
pula semakin jatuh dan GST tetap dilaksanakan walaupun membebankan
rakyat.
Hati yang sudah terluka ini bagaikan dicincang-cincang
apabila melihat wang negara mengalir ke saku-saku pemimpin politik
tertentu dan mereka menayangkan kehidupan mewah mereka itu pula.
Sebenarnya terlalu banyak perkara lagi yang menyakitkan
hati dan tubuh rakyat yang tidak cukup ruang untuk disenaraikan di sini.
Penjawat awam semakin meluat, ahli-ahli perniagaan terasa
berbuku di hati, manakala ulama pula sekadar ingin menjadi "Penasihat".
Anak-anak muda... semakin resah, bosan dan marah dengan keadaan begini.
Saya terjumpa semula beberapa buah hadith Nabi SAW yang
sangat berkaitan; buat penyejuk hati dan pembakar semangat, yang sangat
relevan dengan suasana yang dirasai sekarang.
سَيَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ ،
فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهمْ ، فَلَيْسَ
مِنِّي وَلَا أَنَا مِنْهُ ، وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهمْ وَلَمْ
يُمَالِئْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ ، فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ ، أَلَا
وَإنَّ دَمَ الْمُسْلِمِ كَفَّارَتُهُ ، أَلَا وَإِنَّ سُبْحَانَ اللَّهِ
وَالْحَمْدُ للَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهَ وَاللَّهُ أَكْبَرُ ،
هَنَّ الْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ "
“Akan berlaku selepasku nanti para pemimpin membuat pembohongan dan
kezaliman, maka sesiapa membenarkan pembohongan mereka dan membantu
mereka dalam melakukan kezaliman, mereka bukan dari kalanganku dan aku
bukan dari kalangannya.
Sesiapa yang menolak pembohongan yang dilakukan serta
tidak membantu perbuatan zalim mereka, mereka adalah dari kalanganku dan
aku dari kalangan mereka.
Bukankah (ketahuilah) darah seorang Muslim (darah syuhada’) dikira kaffarah baginya (penghapus dosa-dosanya).
Bukankah (ketahuilah) ucapan tasbih merupakan zikir yang menjadi amal salih yang kekal.” (Hasan)
Ada tiga perkara yang disentuh oleh hadith di atas.
Perkara 1: POLITIK
Nabi SAW telah meramalkan bahawa akan datang satu zaman
nanti, muncul pemimpin-pemimpin yang banyak berbohong dan banyak
melakukan kezaliman.
Natijahnya akan lahir bersama pemimpin begitu, dua golongan.
Golongan yang pertama akan mengiyakan pembohongan itu dan
akan bersekongkol dengan kezaliman itu. Nabi SAW tidak mengaku golongan
begini sebagai umatnya dan tidak mahu bersama mereka.
Golongan yang kedua pula akan menolak dan menafikan
pembohongan itu serta tidak bersama dalam kezaliman pemimpin tersebut.
Nabi SAW mengakui mereka inilah umat baginda dan Nabi bersama mereka.
Saya percaya penjelasan hadis yang sangat mudah ini
membantu rakyat Malaysia mengambil sikap yang betul ketika berhadapan
dengan suasana sebegini.
Perkara 2: JIHAD
Hadith ini disambung dengan satu ungkapan yang merangsang
jiwa bahawa jihad mempertahankan agama dan hak manusia adalah sesuatu
yang besar di sisi Allah SWT.
Sudah tentu ia mempunyai kaitan dengan perkara dan suasana
sebelumnya (sikap menentang kezaliman). Golongan yang diperakui sebagai
umat dan Nabi SAW bersama mereka tentunya akan mendapat kepayahan dan
kesusahan kesan daripada bangkit berhadapan dengan pemimpin yang penipu
dan zalim.
Mereka tidak terpengaruh dan sekadar bertahan sahaja, malah
bangkit untuk membetulkan keadaan. Titisan peluh, air mata, masa,
tenaga, dipenjara dan entah apa lagi akan terbentang di hadapan mereka.
Lantas Nabi SAW menjanjikan itu semua akan menjadi penebus
dan pemadam dosa-dosa silam yang akan menempa keredhaan dan syurga Allah
SWT.
Perkara 3: TASBIH
Bahagian ketiga hadith ini mengingatkan bahawa dalam apa
keadaan sekalipun, mereka yang bangkit berhadapan dengan pemimpin yang
penipu dan zalim ini perlu mempunyai hati yang kuat membesarkan Allah
SWT.
Aturlah langkah dan strategi untuk menurunkan dan menukar
si penipu dan si zalim ini dalam keadaan kita kekal bertasbih,
bertahmid, bertahlil dan bertakbir. Dalam keadaan sibuk atau letih
bagaimana sekalipun, hati dan lidah kita akan terus basah mengungkapkan
zikir:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ للَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهَ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
”
Maha Suci Allah, Segala Pujian bagi Allah, dan Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Allah Maha Besar.”
Kalimah ini akan kekal bersamanya ketika menang atau kalah,
senang atau susah, sihat atau sakit, untung atau rugi malah hidup atau
mati.
Semoga terubat hati yang keluh kesah berhadapan dengan
suasana negara yang kucar-kacir ini. Semoga tiada yang bersekongkol lagi
dengan si penipu dan si zalim. Semoga kita kekal menjadi umat Nabi
Muhammad SAW dalam keadaan kita menjadi ahli politik yang berjuang
tetapi hati kita segar berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT.
Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Naib Presiden Parti AMANAH Negara
Rabu 15 Jamadil Awal 1437H
24 Februari 2016
1 komen:
^__^ bernas
Post a Comment