Puisi - 17 hari

Wad CCU IJN
(Pengalaman Menghadapi Serangan Jantung)

31 Disember 2011 merupakan sebuah tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Saya mengalami serangan jantung yang kritikal ketika berbasikal di kawasan kediaman. Peluh yang luar biasa membasahi tubuhku. Dunia seakan berputar dan gelap disamping berputar-putar. Nafas ku sesak, bagaikan ada sesuatu di dadaku. Dadaku lama-kelamaan sakit bagaikan ditimpa oleh sesuatu yang berat.

Sakit yang berterusan saya dikejarkan ke hospital Kajang. Sekitar jam 10 pagi saya mengalami serangan jantung. Mujur sudah berada di wad kecemasan.
Doktor yang merawat saya memberi saya makan ubat aspirin (dicairkan dengan air), sedikit morfin saya tak pasti (sebab rasa khayal) dan pil diletak di bawah lidah. Kemudian ia menyuruh saya berbaring di katil dan memasang tiub oksigen di hidung, di bahagian atas tangan kanan dicucuk dan dipasang tiub disambung ke botol seperti air, di jari hantu tangan kiri dipasang satu alat (penyepit) disambung ke mesin membaca tahap oksigen darah dan di dada ada 6 atau 8 pelekat wayar disambung ke mesin ECG untuk melihat tahap jantung saya.

Tekanan darah yang semakin rendah dan pendarahan yang berterusan membuatkan doktor terus menghubungi Institut Jantung Negara (IJN) kerana tiada kemudahan dan kepakaran di Hospital Kajang. Saya bernasib baik kerana kes diterima dan masih ada kekosongan di IJN. Allah Maha Kaya, diberikan saya kesakitan dan dilorangkan kemudahan buat saya.

Saya terus dikejarkan dengan ambulan ke IJN. Sekitar jam 6.00 petang saya sampai di IJN dan disambut oleh Dr Hafiz. Namun, sebaik sahaja masuk ke wad kecemasan jantung saya berhenti sebanyak dua kali. "Secara klinikalnya, saya telah tiada pada waktu itu". Tapi syukur dengan kuasa Allah saya masih dapat diselamatkan. Doktor terus melakukan pembedahan angiogram dan angioplastin apabila memasukkan belon ke dalam arteri setelah didapati satu arteri tersumbat. Saya terhutang nyawa dengan pasukan doktor diketuai oleh Dato Dr Razali Mohamad, ketua unit koronari IJN. 

Jantung saya cuma berfungsi 35% dan terdapat saluran yang tersumbat. "Angiogram" prosedur telah dilakukan iaitu dimasukkan saluran paip halus melalui tebokan lubang di pangkal peha kanan hingga ke jantung, kemudian dimasukkan sebatang "stent" macam spring dan satu belon "Angioplasty" di tempat saluran yang tersumbat. Stent akan kekal di situ. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan hingga sekarang keadaan saya adalah baik walaupun ada kalanya terasa penat.

Selepas pembedahan saya ditidurkan selama 9 hari untuk direhatkan kerana mengalami tekanan sehingga meronta lalu mencabut setiap saluran yang dipasang oleh doktor. Tubuhku dipenuhi wayar dan bernafas dengan bantuan mesin. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Setelah hari ke-12 baru tiub pernafasan pada mulut ditanggalkan. Setelah 6 jam tiub pernafasan ditanggalkan, barulah diberikan air minuman, terasa bagai dihiris pisau tekak saya. Setelah hari ke-14 saya dimasukkan ke wad biasa. 
 
Bergambar dengan teman sepersekolahan ketika di wad biasa IJN
17 Hari

tanggal 31 dis 2011
bunga api berdentum
sinarnya menyapa ke pelusuk alam
tapi
aku terdiam kaku
di bawah lampu neon
di atas kamar
bersama setiap kerlipan lampu
alat yang membantuku untuk terus hidup

9 hari terbujur kaku
bagaikan lena diulit mimpi
mungkin ada yang tahu
aku sedang berperang dengan diriku
hakikat insan
harus redha dengan setiap bahagian
yang dikurniakan
meski sakit ada hikmah di sebaliknya
tatkala insan lain menerima
setiap kemewahan
serta nama yang terbilang
itu adalah bahagian mereka

Langit buat pertama kali
tahun 2012
bersama se ekor merpati
berlegar di luar tingkap kamar
membuat hati ku sayu
mengalir air mataku
sungguh itu satu nikmat
meski tubuh ku masih lemah
ku gagahkan semangatku
untuk menapak bertatih
serta menghirup titisan air sejuk
bagaikan satu hirisan
di tenggorok ku

tuhan
tatkala mentarimu ku lihat bersinar
syukur aku terhadap hari yg kau beri
sambil menanti cahaya rembulan
setiap doa dan hembusan nafasku
engkau yg beri kesempatan
setiap rencanamu, ku yakin terbaik buatku
setiap langkah ku yakin takdir darimu
hidup mati serta rezekiku adalah milikmu
terima kasih tuhan
kerna memberikan ruang
padaku
pohon keredhaan darimu
Ya Rabb

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada 
  1. Saudara Aris Basiman yang membantu mengambil saya dari kawasan berbasikal di ladang kelapa sawit dan berhampiran dengan Jeram Kedah, Semenyih.
  2. Isteri saya yang bertungkus lumus membawa daku ke Hospital Kajang dan ke Institut Jantung Negara serta berkorban setiap hari menemaniku membacakan surah-surah al quran saat aku terlantar. 
  3. Teman-teman kejiranan terutama kepada kumpulan berbasikal seperti Saudara Fazli, kumpulan bermotorsikal diketuai oleh Saudara Affandi dan Nazri yang tak jemu mendoakan kesihatanku dan hampir setiap hari melawatku di Hospital.
  4. Semua yang perihatin terhadap diriku, doa mu dan kunjungan kalian memberikan kekuatan untuk aku bangkit dan meneruskan kehidupanku.

Aktiviti Hari-hari Pertama Selepas Keluar Hospital 

Awal minggu pertama selepas keluar hospital, saya masih berasa lemah dan letih. Walaupun sudah pulih dari serangan jantung namun kesan serangan jantung itu sendiri dan juga rehat di dalam hospital menyebabkannya. Pernah ketika saya berada di luar rumah untuk menghirup udara pagi, tetiba dunia terasa berputar-putar dan memaksa aku masuk ke rumah semula

Aktiviti asas seperti mandi, bercukur dan memakai baju agak sukar dan acap kali dibantu apatah lagi tangan kanan ku terasa kebas dan sakit bila aku cuba menggenggam. Aku rasa diri ku tidak berguna langsung kerana tidak mampu untuk menguruskan walau diriku sendiri.

Semua kehidupanku seperti tidak berharga kerana lemahnya tubuhku sehingga tidak mampu membawa diri ku sendiri sehingga empat hingga enam minggu serangan jantung, baru boleh memulakan kerja hampir seperti biasa.

Aktiviti pada peringkat awal selepas serangan jantung memang berlainan. Aku perlu menghadapinya dan meningkatkan aktiviti secara perlahan-lahan, bukan secara mendadak. Ada waktunya walaupun sekarang aktiviti itu mendatangkan sakit dada atau kesukaran bernafasTiada lain yang harus aku lakukan melainkan berhenti atau dalam kes yang lebih kritikal aku harus ke IJN secepat yang mungkin.
Share:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut