HATI adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat
paling agung diberikan Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di
hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai
pahala atau sebaliknya.
Hati perlu dijaga dan dipelihara
dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi
mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati.
Kerosakan
pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri
seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah
penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai
fitnah.
Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan
mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan
dengan fitnah berkenaan.
Masyarakat yang dipenuhi budaya
fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan
fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.
Natijah
akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir
dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka
menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan
bahan fitnah.
Dengan sedikit maklumat, berita itu terus
disebarkan melalui pelbagai saluran yang merebak dengan mudah. Berita
sensasi, terutama berkaitan individu ternama dan selebriti mudah
mendapat perhatian khalayak.
Apabila fitnah tersebar
secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri
seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak membenarkan sebarang
bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.
Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam
dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak
berlaku jenayah. (Hadis riwayat Muslim)
Penyebaran fitnah
mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan
khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran
maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat,
meluas dan murah.
Teknologi yang sepatutnya digunakan
untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran
fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan
semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai
kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak
terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim
menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah
berita berunsur fitnah.
Sebarang berita diterima perlu
dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat
penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur
fitnah.
Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman,
jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka
selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan
sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu
lakukan. (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang
turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang
kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah
sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti
mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.
Fitnah biasanya
disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama,
perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih
layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat
fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak
akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi
keampunan terhadap perbuatan itu.
Mungkin ramai menyangka
perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab
itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya,
dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW
bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Dosa menyebar fitnah umpama
api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu
sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu
dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat
nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan
dengar khabar mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila
berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih
itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.
Dalam
Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang
yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain.
Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita
tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin
menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan
kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui
orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.
Mengenai
berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran
atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Adakah
kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab:
Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya:
Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu
ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang
benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: Jika kamu
berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti
kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti
kamu memfitnahnya. (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan
mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti
dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: Dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain. (Surah al-Hujurat, ayat
12)
Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu
berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu
berita berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi
perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber
berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian
orang yang membawa berita itu.
Umat Islam tentu tidak lupa
pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di
Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan
kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi
penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman
pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.
Fitnah
juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar
besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi
penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
0 komen:
Post a Comment