Rahsia Pengembara Beg Galas di Sarawak

Menara Tinjau Ulu Assam
Masing-masing mempunyai rahsia yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Ya !!!, itu barulah rahsia sampai ke mati akan dipegang dan disimpan walau apa nilainya tidak akan dapat dibeli oleh sesiapa (jika Allah izinkan). Biar pecah di perut jangan di mulut.

Apa yang akan aku tuliskan adalah rahsia antara rahsiaku yang banyak dalam pengembaraanku berbeg galas di Sarawak. Namun dalam perjalanan ku dari suatu daerah dan bandar di Sarawak, ini adalah perjalanan yang akan paling aku kenang dalam hidupku dan menjadi antara rahsiaku. March adalah bulan pada tahun 2010. Air Asia, kapal terbang yang ku naiki tiba di Kuching. Seingat aku, perjalananku diteruskan ke Saratok pada hari yang sama dengan seorang teman yang berasal dari Johor dan bekerja sebagai Jurujual FELCRA sudi membawaku ke sana. Kenderaan pacuan 4 roda yang dipandunya terus meninggalkan Kuching pada petang itu menuju ke Saratok. Agak jauh perjalanannya sehingga aku terlena dengan beralaskan beg sandangku yang berisi komputer riba untuk ku gunakan untuk membuat laporan ketika waktu senggang di lapangan. Selepas berhenti di sebuah restoran di kawasan pendalaman, Sarawak dan sampai di Saratok pada lewat lewat senja.

Misi ke Saratok adalah untuk organisasi tempat ku bekerja. Kali ini bagi menyertai program yang diinisiatifkan oleh program TUNAS MPOB yang dinamai "Program Pemimpin bersama Pekebun Kecil" disempurnakan oleh Y.B Tan Sri Bernard Dompok, Menteri di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada masa itu. Setelah usai program aku harus ke utara Sarawak untuk bertemu dengan Abang Beniyamin di Sibu. Perjalanan mengambil masa seharian, maklumlah tiada kenderaan yang aku boleh perolehi melainkan kenderaan awam.

Sukar untuk mendapatkan kenderaan awam dalam perjalananku dari Saratok ke Sibu. En Arif, pegawai TUNAS ada memberitahu aku boleh mendapatkan kenderaan sapu (sistem pengangkutan tanpa lesen) boleh diambil dari jalan besar menuju ke Sibu. Namun berat hatiku untuk menggunakan kenderaan ini tidak seperti biasa sikap oportunis seorang pengembara ambil apa sahaja yang ada di hadapan mata. Mengapa ?. itu adalah rahsiaku.

Perjalanan aku teruskan. Bas mini yang aku pilih diambil dari stesen bas Saratok walaupun aku harus berjalan jauh menuju ke sana. Penat sedikit tidak mengapa asalkan lebih terjamin selamat perjalanannya. Cuaca yang panas terik serta kepayahan mendapatkan kenderaan tidak dihirau kerana selepas sampai di Sibu aku harus mendapatkan bot ekspress untuk ke sebuah kawasan pendalaman iaitu Daro. Peringkat awal aku bercadang untuk bermalam di hotel zuhra setibanya sampai di Sibu. Bersembang dengan 2 orang Pak Zainal dan bercerita pasal masa lalu yang tidak pernah aku dengar pasal Sibu. Pak Zainal yang pertama adik kepada pemilik hotel. Seorang bekas polis di Sibu sebelum berhenti dan menyertai abangnya mengendali Hotel Zuhra yang terletak di Jalan Kampung Nyabor. Hotel ini adalah satu di Sibu yang dimiliki oleh Melayu Islam Sarawak. Pak Zainal yang ke dua adalah penyelia dapur di hotel berkenaan yang berasal dari Singapura. Istimewa makanan di sini adalah "mee hoon sup ala Singapore". Cerita Kg Melayu Singapura menjadi tajuk utama dan yang paling menarik adalah Makam Habib Noh atau nama sebenarnya Syed Habib Noh Al Habsyi lahir di Singapura pada tahun 1788 atau 1202 Hijrah sejurus sebelum kapal yang membawa ibunya yang mengandungkan beliau tiba di Singapura. Adalah dipercayai beliau mempunyai pertalian secara langsung dengan keturunan Rasulullah. Datuk beliau berasal daripada Yamen dan berketurunan Hadrul Maut manakala ayahnya Habib Mohamad pernah bertugas di istana ketika zaman kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II Kedah. Banyak yang diperkatakan oleh Pak Zainal berhubung Habib Noh dan saya rasa ada rahsia yang tersembunyi berkaitan beliau kerana perinciannya yang amat mendalam. Antara yang amat menarik tentang aktiviti Habib Noh adalah tumpuannya dalam memberi syiar islam di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada petang itu, saya tidak bermalam di Zuhra. Perjalanan harus diteruskan. Staf Abg Ben sudah menunggu di Daro dengan pacuan 4 rodanya untuk masuk ke Kem Lassa. Kawasan yang dimilikki oleh Syarikat Perladangan Kelapa Sawit Jayatiasa. Data-data perkembangan vegetasi tanam semula pokok sawit harus diambil secara berkala sebelum menghasilkan laporan terperinci tentang keberkesanannya. Perjalananku ke Daro mengambil masa hampir 3 jam melalui jalan air. Perjalanan yang agak singkat jika aku menggunakan jalan darat yang sekurang-kurangnya mengambil masa 5 jam untuk ke sana bergantung kepada keadaaan jalan.

Daro

Ketibaanku di Daro  sekitar waktu senja. Beg galas yang ku simpan di burit bot ekspress ku ambil dan ku sandang lalu keluar menyelusuri tepian bot dan melangkau beberapa bot yang lain. Abg Ben tiada kali ini tapi Pengurus Ladang Lassa bersama pembantunya telah ku lihat berada di jeti tersenyum memandangku. Aku balas semula senyumannya.

"Weih aku lapar la. Lama tak pekena mee kolok istimewa Daro", "Ikan terubuk ko tak nak ?." "Banyak tulang la bro, tapi nanti aku cari la ikan terubuk masin buat ole ole balik semenanjung"

Daro memang terkenal dengan ikan terubuk. Kawasan yang berdekatan dengan laut ini amat kaya dengan hasil laut dan boleh didapati dengan harga yang murah. Mee Kolok Daro amat istimewa malah jika aku bandingkan dengan yang dihidangkan di pasar Satok, Kuching amat jauh berbeza. Udang serta makanan laun yang lain dihidangkan amat berbaloi dengan harganya. Masyarakatnya pula peramah yang rata-rata tergolong dalam suku kaum Melanau muslim. Jadi aku tak peru rasa risau dengan status makanan yang dihidangkan di sini.

Ketika melalui kawasan terminal penumpang Daro, aku tertarik dengan sebuah tugu berbentuk ikan yang menjadi mercu tanda pekan Daro.Uniknya pekan Daro ialah ia dilatari oleh bangunan lama dan bangunan baru. Ini menjadikan pekan Daro kelihatan moden namun masih mengekalkan suasana lama. Kemudahan asas di pekan ini juga agak lengkap. Beberapa buah stesyen minyak lama masih beroperasi disini. Walaupun tidak mempunyai kemudahan balai bomba, namun pekan Daro masih boleh berbangga kerana mempunyai unit bomba sukarelanya yang tersendiri. Sebuah pasar awam yang besar juga menjadi akses penting kepada penduduk Daro untuk mendapatkan barangan makanan harian.

Perjalanan diteruskan sehinggalah malam menjelma di kedaerahan Daro, Jalan Daro ke Matu kami lalui dan menyelusuri ladang milik Tradewind sebelum sampai ke kem perladangan.

(bersambung)




Share:

1 komen:

Unknown said...

Salam...
tuan..dimana hamba boleh mencari pak zainal yg bcerita ttg nenda habib noh? tuan boleh email saya. zainury32@gmail.com
terima kasih tuan..

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut