Kelmarin di IJN

7 Julai 2014, aku ke IJN. Memenuhi temujanji yang telah dilakukan 6 bulan yang lalu. Setiap kali mengunjunginya teringat aku kepada peristiwa 31 Dis 2011. Waktu aku mempertaruhkan nyawa setelah mengalami serangan jantung. Pada kali ini aku bertemu dengan seorang teman lama di UKM. Gelaran Abang Mat yang ku panggil disambutnya. Walaupun dia tidak berapa mengenaliku namun katanya

"Hai kalau dah nama panggilan tu ini mesti dulu Ex UKM atau Matrikulasi"
"Ha yang Ex UKM tu betul, tapi yang matrikulasi tu mungkin tidak. Saya dulu matriks di Kuala Pilah"
"Eh Abang Mat buat apa di sini?"
"Alahai dah datang IJN ni buat apalah lagi, buat check-up. Yang ko ni buat apa ?" 
"Kalau begitu memang nasib kita serupalah. Saya kena serangan jantung" 
"Ai. Muda lagi dah kena ?"
"Lah!!!. Abang Mat pun apa kurangnya. Belum 50 kan ?. Mengata dulang paku serpih la Abang Mat ni!"
Kami ketawa bersama-sama kerana bila kami pandang keliling, rata-rata memang umur 60 tahun ke atas.
"Maknanya ko kena lebih awal la dari aku. Aku 2012"

Menceritakan pengalamannya

"Masa tu aku sedang solat". Masya Allah, aku  pernah jugak berdoa agar dimatikan dalam keadaan solat. Aku pula waktu tu sedang berbasikal dengan teman sejiran. Amat jauh perbezaannya.

"Sudah hampir tahiat akhir. Ketika sedang sujud. Tiba-tiba mulut aku crammed dan dada rasa sakit yang amat". 

"Kak Niza bantu bawa ke klinik swasta di Tanjung Malim. Sampai di sana alat ECG tak ada. Kena la hantar di hospital." katanya. 

"Kritikal la pada masa tu ?" Aku bertanya 

"Eh tak jugak. Aku dibenarkan pulang. Tapi aku tak puas hati dan mujur adik angkat aku yang kerja di hospital ni recommend aku refer ke IJN. Rezeki. Bukan mudah nak dapat priority macam ni". 

"Adik angkat yang merawat aku kata, kena pergi buat rawatan selanjutnya kerana kalau kena serangan lagi mungkin tipis harapannya". 

Masya Allah. Kekuasaan Allah masih lagi memberikan aku waktu bertemu dengan Abang Mat yang sudah hampir 20 tahun tidak bertemu. Kini beliau pensyarah di UPSI dan baru pulang dari UK setelah bergelar Doktor Falsafah.

Aku menceritakan pengalamanku 2011. Banyak yang dikongsi bersama selain berbincang mengenai bidang konservasi alam sekitar. Bidang yang kami pelajari bersama ketika di UKM dan rasanya setakat ini aku masih berkecimpung dalam hal ehwal alam sekitar. 

"Hasil ujian stress mendapati En perlu membuat aktiviti riadah lagi walaupun menunjukkan peningkatan yang agak baik. Jika bersenam pastikan jantung tidak berdenyut lebih dari 170 dengupan seminit" Terang Dr yang memberikan nasihat. Semasa ujian dilakukan sebenarnya ada rasa tekanan di dadaku. Aku masih mampu menahan dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi semana ujian dilakukan. Jika aku berterus terang pada masa tu pastinya aku sudah ditahan untuk pemeriksaan lebih lanjut. Cukuplah 17 hari yang telah aku lalui.

"Paras gula dan kolesterol tinggi untuk orang yang ada history serangan jantung. Paras gula 13 kolesterol 6. Dulu purata gula En. cuma 11 ni sudah meningkat. So, saya kena tingkatkan paras insulin. Ada dua pilihan suntikan atau makan ubat. Paras kolesterol ni tinggi mungkin kerana tubuh badan yang tidak dapat seimbangkan kerana gula yang tinggi".

Aku memutuskan untuk mengambil suntikan kerana jemu mengambil 7 jenis ubat setiap hari. 3 jenis di waktu malam dan bakinya di awal pagi. Sebanyak 4 suntikan perlu diambil, 1 pada waktu siang dengan 12 unit manakala malam selepas maghrib, sebelum tidur dan bangkit tidur sekali dengan kadar 18 unit. Satu angka yang agak menakutkan kerana sebelumnya aku hanya mengambil 2 suntikan dengan kadar 10 unit.

Semalam buat pertama kali aku mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Hasilnya, selepas 2 jam menyuntik, aku rasa dunia berpusing-pusing. Tubuh badan mulai berpeluh yang banyak. Aku teringatkan kisah serangan jantung cuma bezanya aku tidak mengalami sakit dada yang amat. Tubuh rasa amat lemah dan aku tak berdaya walaupun untuk mencapai telefon genggamku. Hanya selawat syifa dan tafrijiah yang mampu ku baca dalam hati. Aku dengan perlahan terus berbaring di atas tikar di ruang tamu rumah. Tidur berbantal kan lengan dengan rasa sejuk yang teramat. Ku kira itu adalah hari yang terakhirku. Sehinggalah aku terjaga oleh seruan azan maghrib bagi menandakan waktu berbuka puasa. 

Hari ini aku disajikan oleh mama yang menghantarkan sebuah puisi yang amat menyentak jiwaku. Ku deklamasikan seadanya seperti yang diminta. Agar menjadi ingatan ku buat selamanya. Agar aku menjadi lebih pasrah dengan setiap ketentuan yang telah diberikan. Agar aku lebih menjadi tenang dan moga sekiranya aku pergi dengan keadaan husnul khatimah. Moga Allah berikan kekuatan. Tika helah nafas terakhir. Bisikanlah "al-fatihah" buatku. Indahnya. Hidup Mulia. Mati Mulia.

Di helah nafas yang terakhir
terasa sejuk kaki ibu jari mu
lalu ku menerpa di telinga mu membisik "Lailahaillallah..."

Ku basah tuala panas di dahi mu
agar saat itu bisa menyejukkan mu
namun kelopak mata mu masih rapat sayu

Aku mengalun surah tanpa rasa jemu
agar bisa engkau mendengar ingatan pada yang Esa
aku mengharap engkau kembali pada ku
kerana aku rindu baris nama ku disebut dibibirmu...

Aku menyebut nama mu
Abah...Lihat "Har" ada sini...

Namun dunia bukan tempat mu lagi
Jasadmu membujur kaku tapi aku cuba
melawan "Luh Mahfuz" sekiranya mampu..

Aku kembali mengintai kelopak mata mu
mendengar degup jantung mu
ternyata ianya semakin jauh tenggelam
hilang dan terus hilang...

Saat malaikat menarik seperlahan mungkin
ku sempat mengingatkan mu akan kebesaran Allah
dan Maha Suci Allah...
Airmata ku terus mengalir
ku kucup pipi mu yang mewangi
dan peluk se-eratnya...

Moga ramadhan menjanjikan Jannah buat mu
dan roh mu di tempat orang-orang yang soleh
Cinta ku selamanya...
Al-fatihah Ameen!

curasimanjakini a.k.a cura al-saban
3.14am 8/7/2014
Share:

2 komen:

Anonymous said...

Segalanya milik Allah.
Moga tabah menghadapi dugaan.

mzfaizal said...

semua kurniaan Allah

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut