Catatanku bulan Oktober 2013

Hari ini dalam bulan Oktober tahun 2013. Umur semakin meningkat dan menghampiri hari-hari terakhir di dunia. Percayalah bahawa ia tidak akan lama. Pantas masa berlalu. Kita bertemu untuk berpisah. Sayang bagaimanapun, mereka tetap akan meninggalkan kita. Takdirnya begitu. Jadi, perpisahan itu adalah perkara biasa. Tiada yang luarbiasa jika insan menghindari atau menjauhi diri. Itu adalah lumrah. Ketika diperlu lalu dipanggil dengan penuh hormat dan kasih sayang. Bila sudah tersisa, memandang pun tidak kuasa. Mungkin kerana diri ini juga yang penuh dengan dosa dan noda. Sehingga aku ingin membawa diriku segala, sehingga tiada siapa yang terluka lalu membiarkan aku dengan semua ingatan dan kenangan yang ada meresap dalam jiwa.

Hari ini ke Kuching, Sarawak. Sebuah kawasan yang selesa buatku kerana jiwaku yang selari dengan kawasan hutannya yang nyaman. Sebahagian besar kawasan hutan di sana adalah kawasan sudah dibalak, tapi sebahagian yang lain sangat eksotik.  Kali ini aku akan memberikan penerangan tentang kaedah memohon status "Taman Warisan ASEAN" atau "ASEAN Heritage Park" (AHP). Taman Negara Maludam yang berkeluasan hampir 44 ribu hektar merupakan kawasan paya gambut yang terbesar di Malaysia telah dicadangkan sebagai kawasan paya gambut kedua "AHP" selepas Taman Negara U Mint Thaung, Vietnam.

Hari ini juga aku membuat pemeriksaan kesihatan di IJN. Entah kali ke berapa ?. Malas mengingati. Jemu mengambil ubat. Ada masa aku makan dan kadang-kadang tak. Ikut rasa. Jika badan terasa lemah tak bermaya baru aku mengambil ubat yang dibekalkan. Selalunya bila makan ubat, badan terasa amat letih yang luarbiasa. Pastinya ubat menguatkan jantung dan mencairkan darah. Pernah aku terfikir ubat ini ada kesan sampingan yang lain seperti mudah luka dan bernanah terutama di kawasan muka. Pernah satu ketika luka di kaki akibat terlalu lama berjalan dalam keadaan kasut yang tidak sesuai sehingga kuku jariku menjerut daging. Hasilnya sukar untuk darah kering lantaran darah ku yang cair akibat ubat yang diambil. Lama luka itu akan senang sehinggalah ibu jari kaki ku kelihatan hitam atau "gangroin" atau radang akibat telalu lama luka lalu doktor menasihatiku agar kuku ibu jariku dicabut. Kadar ubat untuk mencairkan darah yang agak tinggi kadangkala ketika menggosok gigi lalu keluar darah di antara celah gusi. Kerap selepas makan ubat maka akan lena panjanglah. Mungkin itu la antara objektif aku diberi ubat iaitu untuk menbenarkan aku berehat. Mungkin atau tidak aku berehat sedangkan ketika aku koma aku kuat meronta. Mungkin tubuh badan yang berehat sedang minda terus bekerja. Malah semakin kuat tubuh berkerja dengan ingatan separuh sedar.

Temujanji dengan Hospital Serdang sudah ku ingkari. Tangan kananku masih jua begitu, kaku di semua jari, lebih-lebih lagi di jari hantu yang agak terbengkok secara luar biasa. Sakitnya, biarlah aku yang merasanya. Jika menggenggam tidak sekemas seperti sebelum Disember 2011. Sudah hampir dua tahun yang lalu peristiwa itu berlaku. Hakikat manusia yang tidak pernah sempurna.

Hari ini dalam bulan oktober, adalah hari aku dilahirkan. Sememangnya aku tidak pernah diajar untuk menyambutnya. Sejak dari kecil ibu dan ayahku tidak pernah menyambutnya walau dengan sekelumit ingatan atau ucapan selamat hari ulang tahun di hari lahirku apatah lagi memberikan aku hadiah atau seumpamanya. Aku sememangnya lahir dan dibesarkan di kampung sehingga usia belasan tahun. Aku mulai berdikari sehinggalah ke hari ini.

Hari ini aku terfikir, apakah lagi yang perlu aku lakukan. Sepertinya aku ingin terus melangkah menuju ke suatu tempat yang aku sendiri tidak pasti. Aku hanya melalui lorong-lorong yang aku yang tiada arah tuju. Sempit, dingin dan dipenuhi oleh insan yang tidak aku kenali. Aku jua tidak mahu mengenali mereka lantaran sedar akan setiap hirisan luka yang kian berdarah dan parut-parut yang ada tidak mampu lagi aku tutupi. Aku hanya mampu terus berjalan dan berharap terus jauh dari kenangan yang lalu agar membolehkannya terus mengecapi kebahagiaannya kerana selagi aku di sini akan deritalah dia.

Terasa sayu hati yang amat mendalam, proses penuaan serta imbauan dosa-dosa lama dan baru yang belum ku pohonkan keampunannya. Oh Allah, masih aku dapat menumpang bernafas udara milikmu ini pun ...sudah terasa sangat bersyukur... belum lagi jika dikirakan pinjamanmu yang lain. Pohon pinta dari mu ya Allah jika kiranya tiada lagi apa sumbangan aku terhadap dunia maka ketika itu panggil lah aku dalam keadaan husnul khatimah. Itu adalah lisanku ketika bertamu di rumahmu. Amin. 
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut