Sirih Dikapur

Warita mengikut kamus dewan edisi ke-4 adalah sinonim dengan "berita, cerita, khabar, warta atau urit"

Buat kali pertama selepas aku diizinkan untuk terus hidup di dunia, aku menuliskan warita yang berpena dan tintanya hatiku. Catatanku sudah berkubur lama apabila tibanya tanggal 31 Disember 2011. Detik yang menamatkan jejak musafirku di mzfaizal.org berserta data dan penulisanku yang sebelumnya di atas domain dan server berbayar. Ku kira tulisan ku akan kekal di sana walaupun ketiadaanku. Sangkaan ku meleset dan tidak seperti yang aku harapkan, lalu aku mengambil keputusan untuk melampirkan catatanku di tapak yang lebih kekal, mudah-mudahan agar nanti ada peninggalan ku di dunia.

Hendak ku titipkan harta aku pun miskin. Hendak ku titipkan kasih sayang, tiada akan nilainya di sisi manusia. Biarlah tulisan ini menjadi tanda bahawa aku pernah ada di sini merenung waktu dan tiap langkah kelanaku yang longlai.

Pada waktu itu aku sakit atas serangan jantung yang membawa aku koma dalam tempoh 9 hari dan terlantar di wad selama 17 hari. Walau ia tidak tercatat di sini, pastinya ada catatannya yang tercoret di hatiku. Sukar untuk menumpahkan segala di ruang yang tidak sepertinya ini. Tahap kesedaranku menjadikan ruang ini amat terbatas. Bukan kerana engkau atau dia, kerana itu adalah kelemahanku.

Hari ini aku ingin menulis lagi di sini. Aku tidak mengharapkan apa jua pengiktirafan atas catatan ini. Aku hanya ingin mencatatkan apa yang aku rasa, bukan untuk memprovokasi sesiapa. Aku mencatat untuk keperluan jiwa dan ragaku, bukan untuk kamu. Aku juga tidak mampu menghasilkan babak romantis antara Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun atau apa jua hikayat cinta yang tinggi nilainya. Aku ini hanya pencatat picisan. Bukan aku mencari nama atau harta atau pangkat. Kerana aku tau batasanku. Aku tak punya ilmu yang tinggi buat tatapan semua insan. Aku hanya aku yang tidak punya apa-apa selain sekeping hati yang telah luluh serta umurku yang semakin singkat. Belum sempat ku kira untuk berbuat apa-apa lalu aku telah diingatkan akan detiknya kematian, tapi itulah manusia cepat sahaja melupakan segala kepahitan dan keperitan. Ya Allah, berikan aku kekuatan.

 "Orang yang cinta Allah itu hilang dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan."

(Tazkiratul Auliya')

Al-Fakir

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut