POKOK sawit adalah sejenis pokok saka yang mampu mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Jangka hayat ekonominya antara 25 hingga 30 tahun dan boleh tumbuh pada ketinggian 20 hingga 30 meter. Penanaman semula sawit biasanya dijalankan selepas 25 hingga 30 tahun berikutan masalah penuaian pokok sawit yang terlalu tinggi dan faktor ekonomi yang boleh mengurangkan pendapatan kerana kekurangan hasil pokok tua yang melepasi jangka hayat ekonomi.
Usaha menanam semula kawasan tanaman pokok sawit yang tua dan tidak ekonomik sedang dipergiatkan bagi memastikan semua kawasan tanaman sawit mengeluarkan hasil tinggi dan memberikan pendapatan lumayan kepada pengusaha sawit. Menyimpan atau membiarkan tanaman sawit melepasi hayat ekonomik adalah satu langkah kurang bijak. Ini kerana hasil sawit dikeluarkan rendah sedangkan kos pengeluaran seperti baja, racun, upah menuai, pengangkutan dan sebagainya, adalah tinggi. Justeru, pulangan bersih diperoleh berkurangan. Untuk terus berdaya saing, pekebun kecil perlu memperoleh pengeluaran tinggi dengan kos pengeluaran yang rendah. Ini hanya boleh dicapai dengan menanam semula pokok sawit tua dan tidak ekonomik.
Beberapa teknik tanam semula sawit biasa digunakan seperti dengan cara menebang dan membakar bersih sisa biojisim sawit meliputi batang dan daun pelepah sawit. Pembakaran sisa biojisim sawit boleh menyebabkan kehilangan bahan organik dan kebanyakan nutrien yang terkandung di dalam sisa biojisim sawit di samping pencemaran udara berikutan pengeluaran gas karbon dioksida dan benda asing. Kehilangan bahan organik ketika pembakaran juga boleh memberi kesan kepada hakisan tanah yang buruk, merosakkan keadaan tanah, mengubah kesan ekologi terhadap mikro flora dan fauna tanah dan boleh menyebabkan permukaan tanah yang tidak larut resap yang mengurangkan resapan dan simpanan air.
Atas arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pembakaran terbuka diharamkan bagi mengelakkan pengeluaran asap berlebihan, yang mana memberi kesan besar kepada kualiti udara dan penglihatan dengan berpandukan kepada keluasan kawasan tanam semula sawit. Bagaimanapun, kelonggaran boleh diberi dengan izin JAS bagi menjalankan pembakaran bagi kawasan bermasalah yang terhad seperti serangan penyakit reput pangkal batang ‘Ganoderma’.
Polisi amalan pembakaran sifar yang dipraktikkan sekarang bagi tanam semula sawit adalah satu contoh baik ke arah kemajuan amalan yang mampan berdasarkan kepada bekalan nutrien dan pengurusan sisa biojisim sawit yang bijak. Di samping pemuliharaan nutrien dan bahan organik, ia juga memberi kesan yang baik terhadap penjagaan ‘biodiversity’ flora dan fauna tanah.
Teknik penanaman semula menggunakan kaedah pembakaran sifar adalah satu pendekatan yang tidak mencemarkan alam sekitar yang mana batang sawit ditebang, diracik dan dibiarkan di ladang hingga reput. Teknik ini berupaya menambah bahan organik, memperbaiki ciri fizikal tanah dan meningkatkan kesuburan tanah. Unsur pemakanan tanaman dikitar semula ke dalam tanah melalui proses pereputan sisa biojisim sawit. Dengan ini, penggunaan baja kimia dapat dikurangkan.
Biojisim sawit ketika tanam semula
Ketika tanam semula sawit tua dengan teknik pembakaran sifar, wujud jumlah biojisim sawit yang besar meliputi batang, pelepah dan akar. Jumlah biojisim sawit untuk setiap hektar dianggar lebih kurang 85 tan bahan kering daripada batang dan pelepah dan 16 tan bahan kering daripada akar yang berada di bawah tanah. Biojisim ini mengandungi nutrien yang signifikan iaitu bersamaan dengan 642 kg unsur nitrogen (N), 58 kg unsur fosforus (P), 1384 kg unsur kalium (K) dan 156 kg unsur magnesium (Mg) seperti di Jadual 1. Sekiranya unsur-unsur ini ditukar dalam bentuk baja kimia, kandungan nutrien ini bersamaan dengan lebih kurang 3.06 tan Ammonium Sulfat (AS), 0.37 t Christmas Island Rock Phosphate (CIRP), 2.77 t Muriate Of Potash (MOP) dan 1.00 t Kieserite. Dalam nilai ringgit (RM) jumlah nutrien ini dianggar sekitar RM5138 (berdasarkan harga semasa baja kimia 2004). Jumlah nutrien yang disumbangkan melalui kitaran biojisim berkenaan dapat mengurangkan keperluan baja kimia bagi mengoptimumkan pertumbuhan pokok sawit sebelum matang.
Jumlah nutrien yang tersimpan dalam biojisim sawit pokok tua semasa tanam semula adalah bersamaan dengan keperluan pembajaan yang standard bagi pokok sawit muda sehingga berumur lima hingga enam tahun bagi unsur pemakanan N, K dan Mg dan dua tahun lagi bagi unsur pemakanan P. Kajian mendapati dengan teknik pembakaran sifar menanam sawit keperluan baja kimia boleh dikurangkan sehingga 50 peratus sehingga tahun kelima menanam. Namun demikian, pokok sawit muda perlu dibekalkan dengan sebahagian kadar baja yang standard mengikut jadual untuk mengimbangkan keperluan baja oleh pokok dalam satu-satu masa.
Pereputan dan pembebasan nutrien sisa biojisim sawit
Kajian pereputan sisa biojisim sawit menunjukkan dedaun sawit cepat reput diikuti oleh rakis pelepah, batang dan akar sawit. Secara purata, kebanyakan sisa biojisim sawit reput dalam lingkungan 12-18 bulan. Walaubagaimana pun, sebahagian bahang yang keras seperti akar yang besar mengambil masa lebih daripada 18 bulan untuk reput. Pembebasan nutrien daripada sisa biojisim sawit adalah berbeza mengikut unsur nutrien di mana pembebasan nutrien daripada sisa biojisim sawit adalah berbeza mengikut unsur nutrien di mana pembebasan unsur K adalah yang paling cepat diikuti oleh unsur nutrien Mg, Ca, P dan N (K>Mg=Ca>P>N). Secara umum, pereputan biojisim membebaskan sebahagian besar unsur nutrien dalam tempoh 18 bulan dan dipindahkan ke dalam tanah. Proses pereputan ini juga menghasilkan karbon organik yang banyak pada permukaan tanah dan ini meningkatkan lagi kesuburan tanah.
Amalan biasa menanam anak sawit
Teknik pembakaran sifar yang biasa diamalkan sekarang untuk menanam semula sawit tidak dimajukan dengan pemahaman proses kitaran nutrien dan bahan karbon organik yang dinamik.
Melalui teknik tanam semula pembakaran sifar, kebiasaannya anak sawit ditanam di kawasan lapang di antara barisan timbunan sisa biojisim pokok sawit yang diracik (Rajah 1). Dengan amalan ini, pelepasan nutrien daripada sisa biojisim yang reput tidak dapat diambil oleh anak sawit dengan serta merta kerana pertumbuhan akar anak sawit adalah terhad di peringkat ini, serta kedudukan anak sawit berada jauh dari kawasan timbunan sisa biojisim.
Oleh itu, kebanyakan nutrien yang dibebaskan biojisim pada peringkat awal berkemungkinan akan hilang melalui proses hakisan, larut resap atau diikat oleh kumin tanah dan tidak dapat diambil oleh pokok sawit.
Dalam kebanyakan keadaan, biojisim dari dua barisan sawit asal dilonggokkan menjadi satu barisan timbunan biojisim yang tinggi dan tebal. Timbunan biojisim ini biasanya akan mengambil masa yang agak lama untuk reput disebabkan kebanyakan biojisim tersebut tidak mengenai permukaan tanah.
Pengenalan dan perkembangan teknik inovatif menanam anak sawit
Satu teknik inovatif telah diperkenalkan di mana anak sawit ditanam di dalam kawasan timbunan sisa biojisim sawit untuk meningkatkan kecekapan penggunaan nutrien yang dibebaskan oleh biojisim (Rajah 2). Kedudukan anak sawit di kawasan timbunan sisa biojisim membolehkan anak sawit mengambil terus nutrien yang dibebaskan daripada proses pereputan dan mineralisasi. Pembebasan nutrien berlaku serentak dengan pengambilan nutrien anak sawit walaupun perkembangan akar anak sawit pada peringkat ini terhad.
Penyelidikan kitaran semula nutrien dan pengurusan sisa biojisim sawit yang telah dijalankan menunjukkan potensi mengoptimumkan penggunaan nutrien yang dibebaskan biojisim sekiranya biojisim sawit dapat diuruskan dengan bijak. Pokok sawit yang ditanam di dalam timbunan sisa biojisim sawit dapat memberi pertumbuhan yang memberangsangkan dan mencapai peringkat kematangan yang lebih awal berbanding dengan kaedah penanaman anak sawit cara biasa.
Ini disebabkan keadaan sifat fizikal dan kimia tanah yang baik melalui pemuliharaan input bahan karbon organik di bawah kawasan sungkupan. Teknik yang diperkenalkan memberi kebaikan kepada pemuliharaan kesuburan tanah dan lain-lain sifat fizikal dan kimia tanah disebabkan kesan sungkupan. Kaedah ini dapat mengurang dan menjimatkan penggunaan input baja sehingga lima tahun pada peringkat awal kematangan pokok sawit.
Teknik inovatif menanam anak sawit
Menebang dan Meracik
Pokok sawit tua ditebang dan batangnya diracik setebal 5 hingga 10 sm pada sudut 45 hingga 60 darjah menggunakan ‘chipping bucket’ yang dipasang pada alat jengkaut berkuasa kuda 120 HP (Rajah 3). Batang sawit yang diracik mempercepatkan pereputannya.
Ketika meracik operator mesin perlu membersihkan dan mengosongkan sedikit kawasan lebih kurang 1.5 meter persegi di antara pokok sawit lama untuk kawasan tanaman anak sawit baru. Biojisim sawit yang diracik perlu di serak sama rata lebih kurang 3 - 4 meter lebar bagi mengelakkan pembentukan timbunan biojisim sawit yang tebal dan tinggi (Rajah 4). Setiap operator mesin boleh menebang dan meracik antara 80 - 120 pokok sawit sehari.
Selepas lengkap kerja menebang dan meracik, garis asas atau ‘rajah lines’ untuk pancang baru menanam anak sawit diukur. Garis asas bagi barisan sawit lama digunakan sebagai panduan dan pancang baru untuk menanam di barisan sawit lama dan antara pokok sawit lama.
Menanam Kekacang Penutup Bumi
Sebelum menjalankan kerja menanam kekacang penutup bumi, kawasan antara barisan tanaman atau kawasan antara biojisim sawit perlulah dibajak atau ‘rotor’ untuk mempercepatkan perkembangan kekacang penutup bumi. Adalah penting bagi kekacang penutup bumi seperti Calapogonium caeruleum dan Pueraria javanica berkembang dengan cepat bagi menutup keseluruhan biojisim yang diracik di mana keadaan ini boleh mengurangkan pembiakan kumbang badak. Penutupan biojisim sawit dengan kekacang penutup bumi akan membuatkan keadaan yang lembap dan boleh mempercepatkan pereputan batang sawit yang diracik.
Menanam Anak Sawit
Menanam anak sawit biasanya dijalankan dalam masa 2 bulan selepas menebang dan meracik. Operasi menanam boleh dilaksanakan terus selepas kerja menebang, meracik dan membaris siap bagi memendekkan masa tanah terbiar kosong tanpa tanaman. Setiap lubang tanaman perlu diletak dengan baja fosfat sebanyak 250g ketika menanam.
Kesan teknik inovatif terhadap ciri tanah dan prestasi pertumbuhan sawit
Kesan Terhadap Nutrien Dinamik Tanah dan Penambahan Bahan Organik Karbon Di Permukaan Tanah
Sisa biojisim sawit semasa tanam semula boleh menyumbang kepada bekalan nutrien yang signifikan terutama nitrogen (N) dan kalium (K) bagi menggantikan input baja kimia yang diperlukan untuk penjagaan dan penghasilan potensi hasil sawit yang maksimum. Penyelidikan telah dijalankan untuk mengkaji kesan menanam anak sawit di kawasan yang tidak mempunyai biojisim sawit di banding dengan menanam anak sawit di kawasan timbunan biojisim sawit di mana semua biojisim yang kedapatan dikeluarkan dari ladang. Sepanjang tempuh penyelidikan dijalankan anak sawit tidak dibekalkan dengan input baja kimia kecuali baja fosfat diletakkan di dalam lubang semasa menanam. Ini bertujuan untuk mengkaji kitaran nutrien yang di sumbang oleh biojisim sawit berpindah dan diambil oleh anak sawit dan juga melihat perubahan nutrien dalam tanah dan ciri fizikal dan kimia tanah semasa tanam semula.
Perubahan ciri kimia tanah dan nutrien dinamik pada kedalaman 0-15sm selama tempuh 48 bulan dengan rawatan pengurusan biojisim sawit yang berbeza ditunjukkan pada Jadual 2. Adalah nyata rawatan perletakkan biojisim sawit mengubah kitaran nutrien sistem tersebut dengan bertambahnya kedapatan nutrien di dalam tanah.
Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2, pertambahan yang banyak bagi nutrien N dalasm tanah bagi rawatan yang mempunyai sisa biojisim sawit. Semasa 24 bulan selepas rawatan, plot rawatan yang mengandungi biojisim sawit mempunyai nilai 0.28 peratus nutrien N dan aldah lebih signifikan tinggi di banding dengan plot rawatan tanpa biojisim sawit yang mempunyai nilai nutrien N sebanyak 0.20 peratus.
Seperti nutrien N, tahap kandungan nutrien P juga lebih tinggi bagi plot rawatan yang mempunyai biojisim sawit di banding dengan plot rawatan yang tidak mempunyai biojisim sawit. Bagi nutrien K, tahap kandungan nutrien K untuk tempuh 12-48 bulan bagi plot rawatan yang mempunyai biojisim sawit adalah lebih signifikan tinggi (antara 0.26 - 2.62 meq./100g tanah), walaupun tahapnya menurun mengikut masa.
Kandungan nutrien Mg dalam tanah didapati mempunyai corak yang agak sama seperti nutrien K. Pada kebanyakan masa nutrien Mg dalam plot rawatan yang mempunyai biojisim sawit berada (antara 0.40 – 1.11 meq./100g tanah) dan lebih tinggi daripada plot rawatan yang tidak mempunyai biojisim sawit (antara 0.17 - 0.46 meq./100g tanah).
Kawasan sungkupan di bawah sisa biojisim sawit yang reput juga mempunyai sifat struktural tanah yang sangat baik dipulihara oleh pertambahan input bahan organik dan aktiviti fauna tanah. Timbunan bahan organik karbon hasil dari pereputan biojisim sawit didapati bertambah diplot yang mempunyai sisa biojisim sawit. Sebaliknya, kawasan plot yang tiada biojisim sawit tidak mempunyai timbunan bahan organik karbon dan tidak menunjukkan ciri-ciri tanah yang baik untuk pertumbuhan sawit.
Kesan Terhadap Ciri Fizikal-kimia Tanah
Disamping menyumbang nutrien secara terus, faedah tambahan yang diperolehi daripada sungkupan sisa biojisim sawit di mana memperbaiki ciri fizikal dan kimia tanah, kedapatan nutrien tanah dan populasi fauna dan mikrob untuk pertumbuhan sawit.
Kelembapan Tanah
Penggunaan sisa biojisim sawit boleh mengubah kelembapan tanah terutama semasa cuaca kering atau musim kurang hujan. Kesan sungkupan terhadap kelembapan tanah adalah lebih nyata pada peringkat awal dan berkurangan dengan pereputan tanaman. Ketika kurang hujan, kandungan kelembapan tanah yang signifikan tinggi diperoleh di kawasan rawatan yang menggunakan sungkupan sisa biojisim sawit berbanding kawasan rawatan yang tiada sisa biojisim sawit.
Kemasaman (pH) Tanah
Perubahan pH disebabkan penggunaan sisa biojisim sawit biasanya didapati selepas 10 bulan rawatan di mana ‘base cation’, terutamaCa dilepaskan melalui pereputan biojisim. Kajian mendapati selepas 12 bulan rawatan, pH tanah pada kedalaman 0-15sm berada pada tahap 4.67 di kawasan yang tiada sisa biojisim sawit dan bertambah ke tahap signifikan 5.32 di kawasan yang ada sisa biojisim sawit.
Kapasiti Pertukaran Kation (CEC)
Salah satu ciri kimia yang signifikan bagi bahan organik karbon tanah ialah mempunyai kapasiti pertukaran yang tinggi bagi kation dan anion. Penggunaan sisa biojisim sawit memberi kesan terhadap CEC tanah. Rawatan dengan sisa sawit menunjukkan CEC yang signifikan tinggi (>8.50 meq./100g tanah) di banding dengan rawatan yang tidak diletak dengan sisa biojisim sawit (<8.50 meq./100g tanah). Kesan ini disebabkan pertambahan dalam kapasiti pertukaran dengan pembentukan bahan humic.
Faedah teknik inovatif
Teknik baru ini dapat mengurangkan penggunaan input baja kimia. Dianggarkan lebih kurang 50 peratus input baja boleh dikurangkan sehingga 5 tahun pertama semasa diperingkat awal kematangan sawit. Kawalan rumpai juga berkurangan di sekeliling bulatan anak sawit semasa 2 tahun pertama selepas menanam. Oleh itu dapat mengurangkan kos penjagaan dan pengeluaran.
Anak sawit yang ditanam di kawasan timbunan biojisim sawit menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan mencapai peringkat kematangan yang lebih awal berbanding anak sawit yang ditanam secara biasa.
Dengan menggunakan barisan lama menanam anak sawit baru, tiada kos tambahan yang perlu untuk infrastruktur baru seperti pembinaan jalan ladang, parit ladang dan teres.
Kesimpulan
Penanaman semula sawit secara pembakaran sifar adalah satu kaedah mesra alam di mana tidak mencemarkan alam sekitar dan dapat menyumbangkan kepada persekitaran yang lebih bersih di samping berupaya menambah bahan organik, memperbaiki ciri fizikal tanah dan mempertingkatkan kesuburan tanah. Kitaran biojisim sawit ketika tanam semula dengan pengurusan agronomik yang bijak tanpa diragui dapat menyumbang unsur pemakanan yang signifikan ke dalam tanah melalui proses pereputan biojisim sawit dan kemudian diambil oleh anak sawit yang baru ditanam. Teknik inovatif menanam anak sawit di kawasan timbunan sisa biojisim sawit menunjukkan pendekatan berdaya maju di mana dapat menambah produktiviti tanah selaras perkembangan ekonomik yang mampan. Amalan ini dapat mengurangkan penggunaan baja kimia secara langsung dan seterusnya mengurangkan kos pengeluaran.