• Samad Said - Janda Setinggan

    Katanya: Derita itu aku. Dirinya cemas diterjah usia dalam kabus belasungkawa, dia tergigau hampir seminggu diancam lipan, angin dan debu yang sama. Desa bahagia, derita.

  • Samad Said - Nikmat

    Segala yang dihasrat, tapi tak didapat adalah nikmat yang paling padat.

  • Samad Said - Ombak

    Ombak yang menjamah kakiku sekali takkan dapat kukenali lagi..

  • Samad Said - Bahasa Terindah

    Sesudah demikian lama dicintai, sukarlah dilupakan. Inti pengalaman, kepedihan; akar kerinduan keresahan… Memang begitu banyak diperlukan kekuatan, kepangkalan batin, rakit ditambatkan bara kenangan dikuatkan .

  • Samad Said - Tetamu Senja

    Kita datang ini satu roh satu jasad, Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat, Kita datang ini satu roh satu jasad Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat .

Jangan takut untuk bermimpi

Semalam ku tidur awal. Penat ku rasakan. Mengapa ? aku pun tak tau. Usia sudah senja barangkali. Nak ku katakan ku berkerja keras di kebun seperti ayah atau berhempas pulas di bendang, oh ! itu jauh sekali.  Sesekali ku terjaga kerana bunyi yang keluar dari kotak televisyen kuat sekali. Aku bermimpi dan dalam mmpi itu aku bertemu dengan teman lama ku sewaktu di menara gading. Tersenyum dan lembut katanya kepadaku "Sebolehnya aku ingin melupakan kamu buat selamanya" Tersentuh hatiku bila aku terjaga. "Astagfirullah !! La hawla wala ku wata ila billah" Syaitan kalau dibacakan ayat quran bertempiaran lari. Aku memohon ampun daripada mu Ya Allah, tidak pernah sekelumit aku membenci teman-temanku meski apa yang mereka telah perlakukan kepadaku sehingga membuat hatiku berasa jauh. Kita ini kan hanya insan. "Manusia itu bukan manusia bahkan malaikat kalau tidak melakukan kesalahan". Pesan almarhum datuk ku. Sebahagian dari mimpi yang kita alami mungkin adalah mainan tidur(gangguan syaitan). Bergantung kepada waktu kita tidur dan kebiasaanya mimpi yang benar selalu berlaku apabila keadaan kita tidur dengan nyenyak terutama 1 jam selepas lena tidur sehingga sebelum waktu subuh. Ketika arwah datuk masih ada acap kali dia membaca kitab tajul muluk. Bila aku mengintai atau cuba membacanya kerap aku dimarah sehinggalah aku belasan tahun. Pesan datuk lagi, kitab ni bukan antara kitab yang muktabar. Boleh membacanya sebagai perbandingan bukan untuk amalan.

Pagi ini ku terima sebuah nota yang menggambarkan keceriaan terukir di wajahnya "aku sudah tahu siapakah gerangan yang selalu berpaling daripadaku tiap kali aku bermimpi bertemu dengannya. ". Tanpa sebarang soal aku membalasnya "Alhamdulillah akhirnya tau juga siapakah dia". Aku pasti tidak mahu bertanya lagi atau mempersoalkan siapa ? di mana? atau 1001 persoalan yang ada di hatiku. Demi kegembiraanya ku sambut dengan kata yang sebaiknya. Teman yang baik selalu akan menggembirakan teman yang lain sehingga lupa akan kegembiraannya sendiri. Mimpi adalah kunci untuk menakluki dunia. Kejarlah tanpa lelah insyallah akan meraihnya. Menarilah terus ketawa. jangan berhenti mewarnai jutaan mimpi di dunia

Banyak kisah berkaitan mimpi. Mimpi yang berkaitan tentang nabi yusof meramal perubahan cuaca sehingga menyelamatkan masalah kekurangan makanan ketika musin kemarau melanda sehingga 7 tahun lamanya di Mesir. Mimpi yang agak lucu pernah ku baca adalah mimpi Abu Nawas bersama pengembara. Mungkin tercatat di dalam hikayat 1001 malam. Kisah dalam pengembaraan dan makanan merupakan faktor penghad. Lalu berbincanglah di antara mereka siapa yang patut mendapat lebih makanan dan bersetuju siapa yang mendapat mimpi yang baik akan menerima lebih ganjaran. Lalu si pengembara mendapat ilham bagi mendapatkan makanan yang lebih lalu bercerita bahawa beliau bermimpi berada di syurga dan bertemu dengan nabi daud. Abu nawas berkata bahawa mimpinya tidak seindah pengembara hanya berjumpa dengan nabi daud dan berkata kepada beliau agar makan semua makanan yang ada lagi pun pada waktu malam mana ada orang berpuasa. Lalu Abu Nawas makan setiap makanan yang ada.

Tidurlah
mimpimu belum habis kau nikmati
kerana ku tak punya lagi
ku pinjam kepunyaan mu
ku kembalikan nanti
dengan bunganya
andai ku mampu

Terima kasih
Jangan pernah takut untuk bermimpi lagi
kerana ku tahu
mimpi mu selalu indah
tapi jangan terlena
kerana hidup
tak selalu seindah mimpimu
cubalah kau lihat nanti
adakah aku menambahkan bunganya?
mudah-mudahan kau bisa menemukannya
kerana bunga mimpi, bukanlah riba
Share:

Secangkir kopi ku hanya tinggal suku

Ku hirup secangkir kopi ku yang baru dihidangkan. Rasanya amat panas dan pahit. Ku hirup dengan perlahan. Tenang ku rasakan suasana malam ini. Kalau waktu siang memang tak akan dapat ku hirup kopi sepanas ini lebih-lebih lagi di luar bangunan seperti ini. Ku lihat malam seperti ini mereka aktif. Keluar berjalan bersama keluarga. Lelakinya kacak-kacak dengan pakaian jubah putih berserban dan wanitanya bertudung litup dengan abaya dan niqab yang mustahil dapat ku lihat indahnya wajah para wanita mereka. 

Hari itu hari Khamis, lelaki yang tidak membawa keluarga dilarang sama sekali dari memasuki pusat membeli belah. Larangan yang tidak pernah sama sekali ada di tanah airku. Dr Hayyan Taweil, berbangsa arab berketurunan Jordan kini tinggal di Jeddah, teman yang ku kenali ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia mengajak ku menghirup minuman kopi yang dikenali sebagai "kahvesi turki". Aku minum tanpa ku sedari lebih tiga perempat telah ku hirup meski pun panas dan pahit.

Ku biarkan kopi itu tika aku berbual dengan Dr Hayyan tentang hidup. Ku kacau secangkir kopiku yang hanya tinggal suku lalu ku hirupnya semula. Terlalu manis sehingga aku tidak mampu menghirupnya. Sejuk pula kerana telah lama ku tinggalkan berbual. 

Ku katakan kepada Dr Hayyan, "Itulah hidup, ada kalanya kita terlupa yang manis itu ada di dasar, terlalu jauh untuk ditimba. perlu dicari dan ketika kita malas mencari hanya kepahitan yang kita rasa. Ada ketikanya bila kita sudah sedar akan kemanisan itu, ketika waktu sudah terlambat. Begitu jua ketika sejuk secangkir kopi ku ku hirup jua meskipun sudah hilang panasnya tapi dapat ku hurup dengan mudah ketika dinginnya.

Mujur Allah sudah membantu, 'membancuh', hidup kita menjalinkan di antara yang pahit dan manis serta yang panas dan yang sejuk. Apabila kita terlupa kepada Allah, pada waktu itulah kita berasa hidup ini hanya pahit semata-mata, ataupun hanya manis yang ada sehingga lupa, hidup kita bukan ada apa-apa maknanya sekiranya hanya berkenaan yang pahit-pahit, ataupun hanya berkenaan yang manis-manis.

Hiruplah kehidupan yang penuh dengan rasa pahit, manis, panas dan dingin ini dengan senyuman dan bismillah
Share:

Lakukanlah sesuka hatimu, Sabar itu milik ku

Buat kali pertama di laman "FaceBook" aku disingkirkan dari sebuah kumpulan yang dinamai "mysuarafm". Hebat dan megah namanya di persada dunia maya sinonim dengan sebuah radio alam maya yang berpusat di Malaysia. Aku dijemput masuk ke kumpulan laman "Facebook" tersebut lalu pihak pengurusan mencadangkan agar aku menyukainya "like". Dengan rasa rendah diri aku pun menerimanya walaupun aku tahu tidak selayaknya aku di sana. Ketika aku berkunjung di PWTC sempena Pesta Buku 1 Malaysia dan bertemu dengan salah seorang perantaranya yang aku kenali serta menyanjungi beliau atas usaha dan kesungguhannya. Beliau ku kenali sejak dari penubuhan FungkurFM. Bukan mudah rasanya untuk menubuhkan mysuarafm setelah apa yang terjadi kepada FungkurFM. Tidak perlu ku ulas apa yang ku tahu mengenainya cukup lah ia menjadi pengajaran kepada yang tahu.

Waktu yang singkat di PWTC amat sukar untuk mengenali hati budi mereka. Silapnya aku mempromosi blog yang aku selalu menulis di dalamnya. Itulah dia "Waritaku". Sebuah nama yang ku ambil dari perkataan sanskrit yang telah diterima di kamus dewan antara salah satu perkataan dalam bahasa malaysia. Sebelum itu aku ada komen tentang lagu yang bertajuk "Bintang" yang telah diminta oleh penulis lagunya untuk memutarkan di mysuarafm. Lantas aku menjawab "Marilah saya putarkan lagunya". Mungkin itulah kesalahan-kesalahan yang amat besar yang telah ku lakukan di sana sehingga aku disingkir. Jika aku lah yang bersalah kerana melakukannya di kumpulan tersebut sehingga aku dikatakan membuat onar di sana, aku hanya insan biasa. maaf kan aku.

Bukan kali pertama akau diperlakukan sedemikian di alam maya malah ia juga berlaku di alam realiti. Sejak zaman MIRC malah zaman yang sebelumnya di Yahoo Mesenger pun sudah berlaku. Begitulah manusia di mana-mana jua akan berlaku iaitu mereka yang berkuasa acap kali menggunakan kebolehan serta kuasa dengan sewenang-wenangnya. Ketika di MIRC selalunya penyingkiran akan dilalukan oleh pemilik server atau polis MIRC yang dilantik oleh pemilik pelayan. Bukan mudah untuk mendapatkan status polis mirc perlu menunjukkan kemahiran dalam bahasa program komputer. Suka atau tidak pengguna mirc yang tak tahu apa-apa atau mula berjinak kepada IRC akan menjadi tempat otai mencuba skrip dan program mereka. Acapkali juga pemilik dan sekutu pemilik pelayan ini menjadikan server mereka sebagai tempat atau pusat untuk menceroboh komputer lain. Kelajuan yang dimiliki oleh server MIRC tinggi sehingga 100 mbps sedangkan kelajuan yang digunakan secara purata di Malaysia pada masa itu hanya 1 mbps. Kelajuan yang tinggi mempercepatkan kadar komputer mengira pelbagai kemungkinan dan mempercepatkan proses pencerobohan. Pastinya beberapa "proxy" dan "firewall" telah digunakan dan menyukarkan proses mengesan penceroboh.

Waktu di Yahoo Messenger, tiada sesiapa yang menjadi miik sesuatu kumpulan itu. Ia adalah sebuah sistem yang terbuka dan sesiapa tidak boleh menyingkirkan sesiapa pun di dalam group tersebut. Kelemahan sistem di yahoo messenger adalah setiap pengguna tidak boleh menerima dua pesanan secara serentak. Jika berlaku pengguna akan diputuskan dari server yahoo. Kelemahan sistem telah dimanipulasi oleh sesetengah pengguna yang mahir lalu mengilham kan skrip dan program yang menghantar pesanan kepada mangsa dengan serentak. Tidak cukup diperlalukan demikian program yang mereka gelar "bomb" diubah suai bagi memberi amaran kepada mangsa sebelum membuat mangsa terputus atau mereka istilahkan sebagai "sudden death" dari pelayan "yahoo messenger".

Apa jua cara dan kaedahnya  kuasa di tangan mereka yang memilikki. Kuasa perlu ditunjukkan ketika yang perlu dan bukan digunakan secara sewenangnya. Kuasa juga diambil oleh orang yang buruk akhlaknya pasti suatu hari dan masa yang tertentu akan menimpa kepada kita. harus kita berhati-hati memberi kuasa kepada manusia.
Share:

Kata ku kepadamu, Hujan

Hujan,
Apakah Khabaranmu? Aku sentiasa menunggumu. Setiap saat aku memerlukan kamu untuk mensamarkan air mataku. Air mata yang tak ku ingin sesiapa pun tahu.

Hujan,
Kering sudah air mataku. Bukan kerana hilangnya peristiwa itu. Tapi Tuhan telah mengurniakan aku dengan sifat lupa akan kesedihan yang aku lalui. Aku tetap menunggumu. Meski kini matahari telah menyinariku, aku tetap rindu rinaimu yang gemersik seperti melagukan aku sehingga aku jadi tertidur dengan lena di sebalik kesedihanku.

Hujan,
Jika engkau tidak hadir pastinya matahariku takkan menjelma indah. Pertemuan sinar putihmu matahari dan bulir-bulir percikkan titisanmu lalu membuat serakkan warna tercipta. Lingkungan spektra warna-warni indah di langit, yang ku kenal lalu digelar "pelangi".

Hujan,
Kini aku tahu. Tuhan sengaja mempertemukan aku denganmu, sebelum menghadirkan matahari. Mungkin kerana tanpa kehadiranmu, takkan hadir pula warna indah itu di langit hidupku. Mungkin jua tanpa mu hujan aku tidak pernah akan menghargai cantiknya puing-puing warna yang menyisir langit di atas sana.

Hujan,
Kembalilah. Aku selalu menanti langit menghujankan rintikmu padaku. Kali ini aku akan menyambutmu dengan wajahku yang paling ceria, dengan senyumanku yang paling lebar. Yang tak pernah aku ukirkan sebelumnya. Akan tetap aku akan pamerkan setiap keceriaan di wajahku, biar mereka terus gembira dan selindungkan mereka dari melihat kesedihanku. Kali ini takkan ku sambut dengan linangan air mata yang sengaja ku hanyutkan bersamamu.

Hujan,
Aku bersiap menyambutmu di sini bersama matahariku. Menunggu hingga pada masa kedatanganmu nanti, kita akan menari bersama. Aku akan menikmati rintikmu bertemu cahaya matahariku. Ku akan nikmati tarian indah itu, dan ikut menari di tengah rintikmu. Hingga saatnya nanti, tujuh sinar itu muncul di langitku bersama tujuh surah yang berulang al-Fatihah.

"Aku hanya fakir yang bermusafir"
Share:

Puisi - Di Antara Jakaranda dan Sakura

Menikmati deretan berwarna-warni
bunga Jacaranda menghiasi Pretoria
Setelah gerunnya rasa
menuruni lombong emas di Johannesburg
dan mengkagumi kilauan permata di Kimberly
Membuat kita alpa dan lupa
Kepada kejamnya dasar Apartheid
yang menyisihkan manusia
hanya kerana warna kulit..

Kuasa koloni yang kononnya bertamadun
lalai kepada budaya etika hidup
lalai kepada anugerah Maha Esa
lupa kepada nilai kasih sayang,
yang menjadi pertalian murni sesama insan..

Sakura di Timur Jauh
Cantik dan indah,
bertaburan di dada bumi
mewah, persis,
Jepun di persada dunia ekonomi
yang menjana kuat kehormatan diri,
Setelah ranap di Hiroshima
Walau lumpuh di Nagasaki
Maruah ditebus kukuh berdiri...

Jacaranda dan Sakura
Apabila musimnya kembali tiba
kekadang membuatkan kita lupa seketika
kerana lamunan kita dibuai leka
Betapa rakusnya kuasa
Manusia menindas manusia..

Dasima..
Kenangan semasa melawat Afrika Selatan.2007

Share:

Puisi - Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Share:

Puisi - Simfoni Rembah Kening Putih

Pagi dingin adalah cermin
memantul segala resah
menjadi melodi sakti
menghibur alam
dari suram ciptaan petualang

pawana masih lena
menanti mentari berlari
mendaki hari
fauna mula bernyanyi seribu suara
melodi harmoni
mengajar manusia erti sejahtera

Pagi begini
detik Rembah Kening Putih
bertingkir di dahan
nyanyinya memecah sunyi
irama kehidupan
dan indahnya persepakatan

Simfoni Rembah Kening Putih itu
suara dari rimba
bercerita tentang bahagia
hidup di dunia fauna
tanpa dendam tanpa haloba
hanya syukur pada Yang Esa

Simfoni Rembah Kening Putih
mentafsir erti soleh
mengajar kita memilih
antara benci dan kasih
antara salam dan persengketaan
antara harmoni dan iri hati

Simfoni Rembah Kening Putih
seruan fauna buat manusia
dukungilah mahabbah dan cinta
dalam meniti usia.

13 Februari 2012

Share:

Puisi - Bertatih di alam impian

Aku kerap idam impian yang nyata,
Lenyap dalam bayangan kabus yanga tiba,
Kekadang, impian ini membuai rasa,
Namun aku tetap terus mengharap semula...

Aku berdoa ...berdoa siang dan malam,
Mengharapkan hasrat hati bersalut kesampaian,
Sentiasa ,aku sentiasa dinaungi sifat kesabaran,
dalam kesyukuran aku dilimpah kemewahan,
dan...merangsang aku lanjutkan doa berterusan...

Aku tabur bergenggam banih-benih semaian,
Hilang dan lenyap, dimakan unggas berterbangan,
Namun, aku lihat ada juga tunas yang tumbuh, menghijau tinggi
dan...ini ,yang mendorong aku, menabur lagi...

Aku sayangi semua sahabat rakan dan taulan,
walau, mereka tidak pernah melihat,
Aku meratap dan menangis keseorangan,
Namun, ramai juga, yang merangkai ingatan kepadaku,
dan...sentiasa, aku terus mendapat teman-teman baru...

Aku hidup lama mengharung perit kesulitan,
Ada juga ,ranjau dan duri yang dapat aku langkaukan
Namun, susah dan senang, datang dan pergi
dan...mengingatkan aku, sentiasa bersyukur kepada Ilahi..

Datin Asima Abdul Latif

Share:

Puisi - Tekukur Kian Akur

Berteduh di ranting waja
tekukur kian akur
fauna kian luntur
ketika rimba dilebur
manusia hilang rasa syukur
terlupa mentafsir luhur

bulan biru
malam berbedak debu
tekukur dilamar risau
merdekanya luka
alam menahan sendu
manusia terus membisu

tekukur kian akur
wajah-wajah jujur
sirna dalam bara
bara yang rahsia
membakar segala
demi sebuah istana

di kota ada pesta
tarian memburu fauna
pewaris raja tanpa takhta
menutup durja berkedok perwira
tekukur akur rimba telah sirna
manusia berdogma pura-pura

tekukur kian akur
langit membingit
awan berbalam
pawana mendera
masih lagi tekukur bertanya
baqakah manusia berjubah haloba?

8 Februari 2012.
Pharo Abd Hakim

Share:

Puisi - Laluan Redha

(...Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? :Surah Ar Rahman ayat 13)

Sedang tubuh didakap lelah
menongkah masa alpa
ada ketika aku terlupa
nafas yang dihela
kurnia siapa?
mentari yang memberi
cahaya dan simpati
milik siapa?
tetes-tetes hujan
yang menghidupkan alam
melukis senyum
pada kelopak kemboja
ketentuan siapa?

Aku tersentak
dari lena yang fana
ketika suara hilang bicara
mata tanpa cahaya
nafsu dikurung lesu
bertanya jiwa yang leka
milik siapa segala?

Dalam sendu kutatap alir tinta-Nya
madah mengajar makna pasrah
"maka yang mana satu di antara
nikmat-nikmat Tuhan kamu,
yang kamu dustakan?"

aku berjalan dalam dusta
merentas masa leka
dibuai pawana alpa
Tuhanku,
Kembalikan aku
ke landasan rindu
agar dapat kutemui
laluan redaMu

Pharo Abd hakim

3 Mac 2012


Share:

Puisi - Emansipasi

Pagi ranggi abah pergi
mengejar mimpi semurni randi
ditinggalkan mastuli janji
manifestasi lelaki berperibadi
petualangannya pasti kembali

Tangannya pahat upaya
mengukir arca jiwa
maha karya pengembara
Nusantara galeri raga
membangun syurga bentala

Bersama ummi di Nusantara
gadis pingitan di hujung kota
abah melukis potret cinta
ummi figura wanita waja
isteri kedua, teman setia
ketika usia teramat muda

Abah dan Ummi menghuni
gelora segara masa muka
berbahterakan kasih nyata
belayar menuju pelabuhan jiwa -
Emansipasi

Masa membenih warisan bangsa
pemartabat jiwa merdeka
saudara bertujuh citra cinta
seribu haluan di batas perjuangan
agama, budaya dan insan
terjunjung di jemala nanda

Abah kembali didesak memori
naluri suami memahami
ikatan janji seindah mastuli
pada kami ditinggalkan pesan
letakkan ummi di persada kemuliaan
pertahankan kasih sesama insan
hapuskan sengketa antara saudara

berita meniti lautan Hindi
Sepi pagi di Saraimir
abah kembali menemui Ilahi
rindunya pada kami
terakam di dalam puisi -
"Abah ingin kembali
meleraikan rindu di hati
namun upaya terlalu iri,
abah tinggalkan segugus mimpi"

Kami terus mencari
mimpi Abah tak ditemui
kata ummi -
"mimpi abah ada
pada setiap kita
yang memahami makna merdeka"

Abah dan Ummi telah pergi
setelah melerai erti mimpi
kami yang tinggal masih mencari
emansipasi dan harga diri.

3 November 2007

"Pena Bahari"

Share:

Puisi - Renungan

(Percikan ide setelah membaca buku tulisan Haji Hamzah Hamdani: "Renungan Borneo: Diari Seribu Seratus hari ")

Menelusuri catatan sejarah bangsa
yang sering kali berubah warna
mengajar kita memahami
ia hanya catatan minda
pemenang dalam sengketa

yang kandas dan luka
akan tersorok di arkib mandala
menanti hadirnya sang juara
merobah kata-kata dan fakta
demi kelangsungan kuasa

Usah hairan jika penjenayah negara
zaman yang kita mula lupa ceritanya
kini menjadi seorang perwira
pejuang kemerdekaan negara
sedang saka baka kita
yang bergelar panglima
mempertahankan kemaslahatan bangsa
dan ketenteraman mandala
sudah terpadam sejarahnya

Bangsa yang kehilangan sejarahnya
akan mudah terlupa jalan
untuk sampai ke hujung masa.

6 Oktober 2012

Pena Bahari

Share:

Puisi - Redha

Petang begini aku tekun menikmati senja
Bagaikan camar mencari sarang,
Kenangan silam,
kembali bertandang..
yang dulu..
kulontar jauh ke mana gerangan.

Di hening muka air yang tenang
kubawa lagu sendu
yang masih merdu..
di persada indah sekali
Anugerahmu Ya Rabbii

Ku tinggalkan senja,
Kerana sejadah menanti
Kelak kusujud penuh bererti,
Khusyuk dan tawaduk,
Apapun terjadi,
Dengan reda (redha) sekali.
Dalam sedih dan sepi,
Aku terima,
Ya Ilahi..ya Rabbi

dasima 9 am 8 aug 2011
Share:

Puisi - Tekukur itu berbunyi lagi

Petang ,ketika mentari lesu bergerak.
Azan sayup dilaungkan dengan syahdu.
Sedang aku mencari ketenganan memohon restu,
Tekukur itu berbunyi lagi,
Nyaring ,bersahut-sahutan,
Bagai menceritakan apa erti kebebasan.

Ke selak dedaun tingkap,
Sepasang berhinggap agak renggang,
Namun masih berlagu riang.
Cantiknya dikau tekukur,
Bebas terbang melayang,
Tanpa dikurung di sarang indah,
Tanpa terkongkong ,jadi hiasan
jadi mainan....

Duhai tekukur.
Di mana tempat tidurmu ketika malam,
Menjelang gelap alam sudah bertandang.
Semua hutan hampir gondol ditebang....
Diganti batu- bata rumah mewah berderetan.

Esoknya ...
tekukur itu berbunyi lagi,
Kali ini siulan tidak bersahut merdu,
Entah di mana yang lagi satu,
Membuat hatiku semakin sayu dan rindu.....

Datin Asima HA

Share:

Puisi - Camar dan Ombak Itu

aku pun menyelak warna jinggaNYA
hingga hijabku turut tersingkap
saat mengintai terbang kau camarku
menyentuh alur di gigi ombak

kaukah itu camarku
yang tak pernah diam
mengitari guritan masa menjadi cakna mimpi
tak terbias oleh segala rindu yang memecar
namun melekat merona di hati

wahai hari yang menghantar salam
aku tetap menyimpul hangat rinduMU
di antara kelepak camar yang gah
dan buih-buih ombak yang mengapung harapan
dari kolah hati yang tak pernah kering
dan doa terus meladaki jiwa sendiri
di antara tulus doa

singgahlah kau camarku
telapak cinta yang merata ini adalah
serbat yang melingkungi genap urat sendi
dan denar nadi
milik kita
kau dan aku
pastinya bermukim di dalam cembul asmara
hangatnya melingkari jelujur perharian
yang dinginnya bagai embun
di jernih pagi

**Dyza Ainun**
— with MzFaizal KaryaFm and Arman Zulkifli.
Share:

Lupa ?...tapi jangan sampai lupa nikmat Allah!

Epilog

Harus bagaimanakah aku akan mencatatkan lampiranku. Akal ku tidak panjang, fikiran terus membeku. Aku tidak seperti yang dulu cergas, kuat dan mampu bertahan menulis sepanjang malam. Masa terus berubah, umur semakin singkat. Usia ke dua yang ku terima terus berlalu tanpa ku sedari. Teman datang dan pergi membawa diri masing-masing. Pergi untuk kebaikan mereka dan pastinya hati ini terus meredhakannya. Diri ini pun harus pergi jua, dengan membawa sekadarnya hanyalah sekeping hati yang selain Allah aku seorang memahaminya.

Ketika diperlukan akulah orangnya ... diusung ke sana sini. Ketika habis segalanya memang terbiarlah aku dengan apa yang ada. “Ada apa dengan dia tu ?. Harta tiada apatah lagi kedudukan dan pangkat”. “Mahu ke manakah dia ?, Sedang usia terus membawanye ke lembah kelemahan. Lihatlah sahaja berdiri pun harus memakai tongkat”.

Sebab itu Allah memberikan aku dengan kurniaan lupa. Allah mengurniakan aku suatu keperluan yang amat tinggi. Bila dikurniakan lupa mudah untuk memaafkan dan menghalalkan setiap apa yang telah aku berikan kepada mereka. Ketika aku dihina atau mereka melakukan sesuatu yang menghibakan hati aku serta tidak mampu melakukan apa-apa kerana menerima setiap suratan yang telah ditentukan kepada aku.

Aku tidak melupakan apa yang telah mereka lakukan kepada aku tetapi Allah berikan aku lupa akan kehibaan atau kesedihan yang telah aku lalui akibat perbuatan itu, lalu memaafkannya. Demikian juga ketika aku ditinggalkan oleh orang yang tersayang selamanya, aku tidak terus atau berlanjutan sedih dan menangis. Itu bukan bererti aku lupa terus atau tidak menyayangi orang yang aku sayang.

Suatu petang pada tahun setelah habis sesi pengajian petang di universiti, aku dipanggil ke pejabat, ada panggilan telefon untuk aku. Wajah kerani yang menyambut panggilan itu kelihatan gugup.

"Di hujung talian, aku dapati suara abang yang memberitahu dengan nada bergetar, sarat dengan kesedihan bersama tangisan perlahan.... Ibu telah meninggal dunia.

"Aku tidak dapat menggambarkan bagaimana gawat badai dalam hati saat itu...

"Wajah ibu bermain di ruang mata. Bulan lepas ketika aku bersalam dan itu salam terakhir aku dengan ibu, ibu mencium aku dengan lebih lama daripada biasa... Itu aku masih ingat. Aku mencium dan memeluknya dengan girang tetapi segera ingat berangkat, banyak yang perlu diselesaikan di universiti...

"Hati aku berkata, kenapa tidak lebih lama menampung kasih sayangnya."

"Apabila pulang ke kampung, aku dapati tubuh ibu telah diselumuti kain putih. Aku meluru mencium ibu semahu-mahunya tapi ibu hanya terkujur kaku dengan wajah lesi dan mata terpejam rapat. Dia tidak mendengar pun esak tangis aku yang pilu....

"Dada aku hampir pecah membayangkan perpisahan ini..."

Prolog

Kadang-kadang aku terasa banyak keperluan diri tidak dapat dipenuhi. Ya, kadang-kadang aku rasa terlalu banyak yang aku perlukan tetapi aku masih belum mampu memperolehnya. Lantaran perasaan itu membawa aku untuk lebih cenderung melihat dan menghitung perkara-perkara yang belum aku peroleh. Mungkin aku juga akan membandingkan dengan orang lain yang sudah mendapat apa yang aku belum dapat. Memang dunia semakin berubah dan semakin mencabar. Semakin hari semakin meningkat keperluan aku. Begitu juga keinginan aku ... semakin meningkat.

Mungkin aku ingin kesenangan seperti yang orang lain dapat. Mungkin aku berasa resah kerana walaupun sudah berusaha tetapi masih belum dapat merasa kesenangan itu. Namun janganlah aku lupa tentang nikmat yang ada di tangan aku. Pada pagi hari, Allah s.w.t telah membangkitkan aku dari mati yang sementara. Lalu aku kembali mampu membuka mata melihat alam dan yang lebih penting diberikan kekuatan menunaikan kewajipan agama.

Allah s.w.t masih memberikan aku sihat. Tanpa mengalami susah payah seperti mereka yang mengalami keuzuran, aku dapat menunaikan hajat badan aku seperti membuang air kecil dan air besar tanpa ada masalah.

Sedang pada ketika yang sama entah berapa ramai mereka yang berada di katil-katil hospital tidak mampu ke tandas dengan sendirian. Aku mungkin rasa banyak lagi perkara yang belum aku dapat. Tapi pada masa yang sama lidah aku masih sihat sehingga aku dapat menikmati pelbagai rasa makanan. Lidah aku masih dapat merasa masin, masam, pahit dan rasa manis.

Aku masih mempunyai selera yang tajam untuk menikmati pelbagai aneka makanan. Namun pada ketika yang sama entah berapa ramai mereka yang uzur tidak mempunyai selera untuk makan. Pada pagi hari juga entah aku sedar atau tidak akan nikmat Allah s.w.t yang memberikan kaki aku masih kuat untuk melangkah keluar dari rumah mencari rezeki yang halal.

Sedang pada masa yang sama entah berapa ramai yang tidak mampu mengangkat kaki dan bangkit dengan sendiri melainkan dengan pertolongan orang lain.Betapa besar nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada aku setiap hari setiap masa.Tetapi kadang-kadang aku lupa mensyukuri akan segala nikmat itu kerana aku terlalu asyik risaukan akan keperluan-keperluan dan keinginan-keinginan yang masih aku cari, yang masih aku kejar dan yang masih belum aku peroleh.Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik dan Hidayah kepada aku dan sahabat-sahabat agar tidak lupa untuk mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada aku.

Atas alasan ini, aku dibekalkan dengan sifat lupa. Lupa bagi manusia satu keperluan. Ya Allah besarnya kekuasaanmu untuk kami menjalankan kehidupan dengan cara tenang dan sempurna dengan sifat lupa yang kau berikan, tapi Ya Allah, usah biarkan aku lupa akan nikmatmu.
Share:

Tika Sepi Menggamit Rasa

Tika kedengaran hilai tawa insan sekeliling, terselit rasa sunyi di hati. Kesunyian, kesuraman dan kesedihan tanpa ketahuan sebabnya. Diri terhijab dari insan. Kaku di dunia lain. Dunia yang teramat sepi serta sejuk lalu hambar. Hanya melangkah mengikut rentak kaki, tanpa tahu tujuan. Hati rasa kosong. Tiada terpalit rasa. Mungkin sahaja ia berlaku seperti mimpi

Acapkali rasa begitu. Mungkin pernah terfikir, kenapa seringkali berlaku ?. Tidak pernah berfikir lebih mendalam atau bermuhasabah diri. Kenapa Allah selalu menghijabkan diri kita daripada insan sekeliling kita dengan menghadirkan rasa sepi ?.

Kosong namun ia tak bermakna sedang bersedih. Hidup tanpa perasaan. Mungkin selama ini banyak simpan rasa dendam dalam hati kita. Rasa iri hati, riak terlalu mementingkan diri, tapi suatu ketika tiba-tiba perasaan itu hilang. Mungkin sebenarnya Allah sedang membersihkan hati. Allah sedang memberikan kita nafas baru untuk terus berjalan di muka bumi ini. Bila telah diberikan lagi usia untuk mengenal diri.

Sepi bukan kerana tidak berteman. Rasa terhijab dan terasing. Sedangkan insan di sekeliling tidak pernah menyingkir. Namun kadangkala mencari insan lain untuk menghilangkan rasa sepi. Ketika itu, sedarlah bukan insan sekeliling yang tidak memperduli, tapi kerana membawa diri mencipta jurang dalam hubungan dengan mereka. Mari bermuhasabah, adakah mereka yang silap? atau kita sendiri yang mencari kesilapan yang sememangnya berpunca dari kita sendiri ?

Begitu juga di saat sedang bersedih. Rasa kesunyian biarpun ramai sahabat hadir memberi nasihat serta kata semangat. Tapi masih lagi sepi. Saat itu sepi masih membelenggu kerana Allah mencampakkan rasa sepi itu agar kembali mengadu kepadaNya. Namun masih mengharapkan sepi itu berlalu dengan sendirinya. Atau seringkali meluahkan rasa sepi itu kepada insan. Seharusnya mengharapkan kekuasaan Pencipta untuk memadamkan rasa sepi itu. Sedangkan tahu bahawa Allah lah yang lebih memahami di saat itu.

Pergilah sepi. Itu yang selalu diharapkan. Percayalah sepi itu takkan berlalu, kerana sentiasa diseru. Sepi itu diseru dengan mengasingkan diri, melayan perasaan yang entah di mana penghujungnya. Sepi itu indah, andai sandarkan rasa sepi itu dengan seringkali mengadu kepadaNya. Hanya dengan sepi, kita selalu ingat kepadaNya.
Share:

Andai Ini Jumaat Terakhir, Muhasabah diri.

Gambar Hiasan, Tidak menggambarkan Kiyai Kanjeng Sunan
Jumaat 1 Februari 2013 bersamaan 20 Rabiul awal 1434 Hijrah. Hari ini izinkan saya melakarkan pendetailan berkaitan sebuah lagu jawa ilham Kanjeng Sunan yang dikatakan sebagai salah seorang Wali Songo atau Wali Sembilan yang terkenal di Tanah Jawa pada masa lalu. 

Penulisan ini hasil daripada pembacaan dari sumber-sumber atas dasar ingin memahami secara lanjut yang tersirat di dalam lagu ini. Sekiranya ada isi kandungannya yang tidak menepati atau salah. Harap dapat maafkan jua. Apa pun jua hamba hanya insan biasa yang ingin mengenal lebih lanjut makna penciptaan diri agar mudah untuk ku beramal dan beribadat. Moga nanti aku mengadap kepadamu Ya Allah, dengan keadaan husnul khatimah. Siapa tahu mungkin ini adalah Jumaat yang terakhir buat ku.

Lir ilir lir ilir (Bangunlah) tandure wong sumilir (tanaman sudah bersemi)
Tak ijo royo royo (Demikian menghijau)
Tak sengguh penganten anyar (Bagaikan pengantin baru)

Sebagai umat Islam kita diminta bangun dari sifat malas lalu meningkatkan keimanan yang telah ditanamkan oleh Allah dalam diri kita. Ia dilambangkan seperti tanaman yang mulai bersemi dan demikian menghijau. Terserah kepada kita sama ada mahu tetap tidur dan membiarkan tanaman iman kita mati atau bangun dan berjuang untuk menumbuhkan tanaman tersebut hingga besar dan mendapatkan kebahagiaan seperti bahagianya pengantin baru.

    Cah angon, cah angon (Anak gembala, anak gembala)
    Penekno Blimbing kuwi (Panjatlah pohon belimbing itu)
    Lunyu-lunyu penekno (Biar licin dan susah tetaplah kau panjat)
    Kanggo mbasuh dodotiro (untuk membasuh pakaianmu)

Perkataan anak gembala telah dipilih kerana kita telah diberikan sesuatu untuk digembalakan iaitu hati. mampukah kita menggembalakan hati kita dari dorongan hawa nafsu yang demikian kuatnya ? Si anak gembala diminta memanjat pohon belimbing. Buah belimbing menggambarkan lima rukun Islam. Jadi meskipun licin, meskipun susah kita harus tetap memanjat pohon belimbing tersebut dalam erti sekuat tenaga kita tetap berusaha menjalankan Rukun Islam apapun halangan dan risikonya. Ia adalah perlu sebagai pencuci pakaian kita dengan pakaian taqwa.

    Dodotiro, dodotiro (Pakaianmu, pakaianmu)
    Kumitir bedah ing pinggir (terkoyak-koyak dibahagian tepi)
    Dondomono, Jlumatono (Jahitlah, Perbetulkanlah!!)
    Kanggo sebo mengko sore (untuk menghadap nanti petang)

Pakaian taqwa kita sebagai manusia biasa pasti terkoyak dan berlubang di sana sini, untuk itu kita diminta untuk selalu memperbaiki agar kelak kita sudah siap ketika dipanggil menghadap kehadirat Allah SWT.

    Mumpung padhang rembulane (bulan bersinar terang benderang )
    Mumpung jembar kalangane (banyak waktu luang)
    Yo surako surak iyo!!! (Bersoraklah dengan sorakan Iya!!!)

Kita diharapkan melakukan hal-hal di atas ketika kita masih sihat seperti dilambangkan dengan terangnya bulan dan masih mempunyai banyak waktu terluang dan jika ada yang mengingatkan maka jawablah dengan Iya!!!…… Lir ilir, judul dari lagu di atas. Bukan sekadar lagu biasa, tapi mengandungi makna yang sangat mendalam.

Ilir-ilir bererti bangunlah atau boleh diertikan sebagai hiduplah kerana hakikat kesejatian tidur itu adalah mati dan boleh juga diertikan sebagai sedarlah. Apa yang perlu untuk dibangunkan? Apa yang perlu dihidupkan? Ruh? Kesedaran ? Fikiran? terserah kita yang penting ada sesuatu yang dihidupkan, dan jangan lupa disini ada unsur angin, bererti cara menghidupkannya ada gerak. Gerak menghasilkan udara. Ini adalah ajakan untuk berzikir. Dengan berzikir, maka ada sesuatu yang dihidupkan.

Tandure wus sumilir, Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar. Bait ini mengandung makna kalau sudah berzikir maka di situ akan didapatkan manfaat yang dapat menghidupkan pohon yang hijau dan indah. Pohon di sini artinya adalah sesuatu yang memiliki banyak manfaat bagi kita. Istilah pengantin baru boleh juga diertikan sebagai Raja-Raja Jawa yang baru memeluk agama Islam. Sedemikian maraknya perkembangan masyarakat untuk masuk ke agama Islam, namun taraf penyerapan dan implementasinya masih peringkat awal, layaknya pengantin baru dalam arus kehidupan pernikahannya.

Cah angon cah angon penekno belimbing kuwi. Mengapa “Cah angon” ? Bukan “Menteri” , “Perdana Menteri” atau yang lain? Cah angon maksudnya adalah seorang yang mampu membawa makmumnya, seorang yang mampu “menggembalakan” makmumnya dalam jalan yang benar. Kenapa “Belimbing” ? Belimbing berwarna hijau yang menjadi ciri khas Islam dan memiliki 5 sisi. Jadi blimbing itu adalah isyarat dari agama Islam, yang dicerminkan dari 5 sisi buah blimbing yang menggambarkan rukun Islam yang merupakan Dasar dari agama Islam. Kenapa “Penekno” yang bererti panjatlah ? Ini adalah ajakan para wali kepada Raja-Raja tanah Jawa untuk mengambil Islam dan dan mengajak masyarakat untuk mengikuti jejak para Raja itu dalam melaksanakan Islam.

Lunyu lunyu penekno kanggo mbasuh dodotiro. Walaupun dengan bersusah payah, walaupun penuh rintangan, tetaplah ambil untuk membersihkan pakaian kita. Yang dimaksud pakaian adalah taqwa. Pakaian taqwa ini yang harus dibersihkan.

Dodotiro dodotiro, kumitir bedah ing pinggir. Pakaian taqwa harus kita bersihkan, yang jelek jelek kita singkirkan, kita tinggalkan, perbaiki, rajutlah hingga menjadi pakain yang indah ”sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa“.

Dondomono jlumatono kanggo sebo mengko sore. Pesan dari para Wali bahwa suatu ketika kamu akan mati dan akan menemui Sang Maha Pencipta untuk mempertanggungjawabkan segala perbuatanmu. Maka sempurnakanlah Islam selamat pada hari kemudian.

Mumpung padhang rembulane, mumpung jembar kalangane. Para wali mengingatkan agar para penganut Islam melaksanakan hal tersebut ketika pintu hidayah masih terbuka lebar, ketika kesempatan itu masih ada di depan mata, ketika usia masih menempel pada hayat kita.

Yo surako surak hiyo. Sambutlah seruan ini dengan sorak sorai “mari kita terapkan syariat Islam” sebagai tanda kebahagiaan. Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu (Al-Anfal :25)

Share:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut