Lupa ?...tapi jangan sampai lupa nikmat Allah!

Epilog

Harus bagaimanakah aku akan mencatatkan lampiranku. Akal ku tidak panjang, fikiran terus membeku. Aku tidak seperti yang dulu cergas, kuat dan mampu bertahan menulis sepanjang malam. Masa terus berubah, umur semakin singkat. Usia ke dua yang ku terima terus berlalu tanpa ku sedari. Teman datang dan pergi membawa diri masing-masing. Pergi untuk kebaikan mereka dan pastinya hati ini terus meredhakannya. Diri ini pun harus pergi jua, dengan membawa sekadarnya hanyalah sekeping hati yang selain Allah aku seorang memahaminya.

Ketika diperlukan akulah orangnya ... diusung ke sana sini. Ketika habis segalanya memang terbiarlah aku dengan apa yang ada. “Ada apa dengan dia tu ?. Harta tiada apatah lagi kedudukan dan pangkat”. “Mahu ke manakah dia ?, Sedang usia terus membawanye ke lembah kelemahan. Lihatlah sahaja berdiri pun harus memakai tongkat”.

Sebab itu Allah memberikan aku dengan kurniaan lupa. Allah mengurniakan aku suatu keperluan yang amat tinggi. Bila dikurniakan lupa mudah untuk memaafkan dan menghalalkan setiap apa yang telah aku berikan kepada mereka. Ketika aku dihina atau mereka melakukan sesuatu yang menghibakan hati aku serta tidak mampu melakukan apa-apa kerana menerima setiap suratan yang telah ditentukan kepada aku.

Aku tidak melupakan apa yang telah mereka lakukan kepada aku tetapi Allah berikan aku lupa akan kehibaan atau kesedihan yang telah aku lalui akibat perbuatan itu, lalu memaafkannya. Demikian juga ketika aku ditinggalkan oleh orang yang tersayang selamanya, aku tidak terus atau berlanjutan sedih dan menangis. Itu bukan bererti aku lupa terus atau tidak menyayangi orang yang aku sayang.

Suatu petang pada tahun setelah habis sesi pengajian petang di universiti, aku dipanggil ke pejabat, ada panggilan telefon untuk aku. Wajah kerani yang menyambut panggilan itu kelihatan gugup.

"Di hujung talian, aku dapati suara abang yang memberitahu dengan nada bergetar, sarat dengan kesedihan bersama tangisan perlahan.... Ibu telah meninggal dunia.

"Aku tidak dapat menggambarkan bagaimana gawat badai dalam hati saat itu...

"Wajah ibu bermain di ruang mata. Bulan lepas ketika aku bersalam dan itu salam terakhir aku dengan ibu, ibu mencium aku dengan lebih lama daripada biasa... Itu aku masih ingat. Aku mencium dan memeluknya dengan girang tetapi segera ingat berangkat, banyak yang perlu diselesaikan di universiti...

"Hati aku berkata, kenapa tidak lebih lama menampung kasih sayangnya."

"Apabila pulang ke kampung, aku dapati tubuh ibu telah diselumuti kain putih. Aku meluru mencium ibu semahu-mahunya tapi ibu hanya terkujur kaku dengan wajah lesi dan mata terpejam rapat. Dia tidak mendengar pun esak tangis aku yang pilu....

"Dada aku hampir pecah membayangkan perpisahan ini..."

Prolog

Kadang-kadang aku terasa banyak keperluan diri tidak dapat dipenuhi. Ya, kadang-kadang aku rasa terlalu banyak yang aku perlukan tetapi aku masih belum mampu memperolehnya. Lantaran perasaan itu membawa aku untuk lebih cenderung melihat dan menghitung perkara-perkara yang belum aku peroleh. Mungkin aku juga akan membandingkan dengan orang lain yang sudah mendapat apa yang aku belum dapat. Memang dunia semakin berubah dan semakin mencabar. Semakin hari semakin meningkat keperluan aku. Begitu juga keinginan aku ... semakin meningkat.

Mungkin aku ingin kesenangan seperti yang orang lain dapat. Mungkin aku berasa resah kerana walaupun sudah berusaha tetapi masih belum dapat merasa kesenangan itu. Namun janganlah aku lupa tentang nikmat yang ada di tangan aku. Pada pagi hari, Allah s.w.t telah membangkitkan aku dari mati yang sementara. Lalu aku kembali mampu membuka mata melihat alam dan yang lebih penting diberikan kekuatan menunaikan kewajipan agama.

Allah s.w.t masih memberikan aku sihat. Tanpa mengalami susah payah seperti mereka yang mengalami keuzuran, aku dapat menunaikan hajat badan aku seperti membuang air kecil dan air besar tanpa ada masalah.

Sedang pada ketika yang sama entah berapa ramai mereka yang berada di katil-katil hospital tidak mampu ke tandas dengan sendirian. Aku mungkin rasa banyak lagi perkara yang belum aku dapat. Tapi pada masa yang sama lidah aku masih sihat sehingga aku dapat menikmati pelbagai rasa makanan. Lidah aku masih dapat merasa masin, masam, pahit dan rasa manis.

Aku masih mempunyai selera yang tajam untuk menikmati pelbagai aneka makanan. Namun pada ketika yang sama entah berapa ramai mereka yang uzur tidak mempunyai selera untuk makan. Pada pagi hari juga entah aku sedar atau tidak akan nikmat Allah s.w.t yang memberikan kaki aku masih kuat untuk melangkah keluar dari rumah mencari rezeki yang halal.

Sedang pada masa yang sama entah berapa ramai yang tidak mampu mengangkat kaki dan bangkit dengan sendiri melainkan dengan pertolongan orang lain.Betapa besar nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada aku setiap hari setiap masa.Tetapi kadang-kadang aku lupa mensyukuri akan segala nikmat itu kerana aku terlalu asyik risaukan akan keperluan-keperluan dan keinginan-keinginan yang masih aku cari, yang masih aku kejar dan yang masih belum aku peroleh.Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik dan Hidayah kepada aku dan sahabat-sahabat agar tidak lupa untuk mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada aku.

Atas alasan ini, aku dibekalkan dengan sifat lupa. Lupa bagi manusia satu keperluan. Ya Allah besarnya kekuasaanmu untuk kami menjalankan kehidupan dengan cara tenang dan sempurna dengan sifat lupa yang kau berikan, tapi Ya Allah, usah biarkan aku lupa akan nikmatmu.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut