Puisi - Seorang Ayah Sebatang Galah


kau seperti biasa
setelah cerah tanah lewat silau menyimbah
sedang langit menguntum kuning
perut kau telah pun dialas

kerana kau punya satu tugas
yang sudah lama kau galas
demi zuriat kau yang berbelas

kau memang cekal dan lantang
jasad kau berperang
urat leher kau timbul, tegang dan mengerang
kau seperti memikul beban
tapi,
tapi wajahmu dibasahi air tenang

rasa seperti peri lelah kau terpercik
terpercik ke dalam anak mataku
namun kau tetap begitu
terpacak, terpaku dan menahan jasadmu
tubuh kau menapak dan menongkat
kadang helai-helai hijau itu terselak
silau cahaya bola besar
menikam tajam anak matamu
berpinar tapi kau tegar

kau dongak lagi
pedih sekejap.
tapi kau terus berjuang tanpa peduli
bahu kau pasang gagah
tangan kau genggam kemas
demi sesisip rezeki
demi perut-perut yang lapar

tiba-tiba seperti biasa
genggaman kau pecah
jari-jari tangan kau lemah
galah hinamu rebah
menyembah kalah
kau tidak sekali mengalah
kau bernafas dalam penat dan lelah
kini diri kau penuh lopak-lopak sejarah
sebati nan likat dalam daging dan darah
seorang ayah dan sebatang galah

Seorang Ayah dan Sebatang Galah
WAN MOHD ZUHDI BIN WAN ABD RAHMAN
zuhdi_islamiah@yahoo.com


Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut