Sahabat Tikam Belakang

"Apa nak buat, sahabat baik yang aku ada tikam belakang. Serius bunyinya. "Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim) “Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..” (Haslinda Lukman, Majalah Cahaya Feb 06) 

Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia kerana sahabat berperanan dalam membentuk personaliti. Ada sahabat yang sanggup menghulurkan tangan ketika kita susah dan menjadi peneman di saat kita sedang berduka. Ramai juga sahabat yang hanya tahu menumpang kesenangan di atas sahabat yang lain. Bila sekali kita jatuh, jangankan hendak menghulurkan tangan, memandang wajah kita jauh sekali. Sahabat itu macam bulu tangkis, belum main dipegang, bila main dipukul. Ada juga orang kata sahabat itu ibaratnya bola ragbi, belum dapat direbut, dah dapat dilindung dan dijaga. 

Seorang sahabat itu amat sukar dicari, lebih sukar ditinggalkan, dan mustahil dilupakan, seorang sahabat yang sanggup berkongsi suka duka dan menyelami perasaan sahabatnya yang lain, menghulurkan tangan di kala kita memerlukan pertolongan dan bantuan. Istilah kawan seperti yang telah ditulis sebelum ini, tidak ada yang istimewa, hanya sesuai untuk dijadikan tempat berborak dan biasanya kawan untuk bergembira lebih ramai daripada kawan berduka.
Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: ”Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti; 

jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu; 
jika engkau rapatkan persahabatan dengannnya, dia akan membalas balik persahabatan kamu; 
jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu; 
jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik; 
jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu. 
Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya; 
jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya; 
jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu; 
jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu; 
jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu; 
jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu; 
jika kamu berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan; dia membantu menunaikan tanggugjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat; dan yang terakhir sekali ialah dia mendorongmu dalam mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Tikam belakang ini merupakan satu tingkahlaku seorang sahabat bermuka-muka depan sahabatnya yang lain. Sebagai contoh, depan kita segala-galanya baik, manis tetapi di belakang kita, dialah gunting dalam lipatan. Segala rahsia dan amanah yang kita kongsikan bersama dengannya, habis dijaja kepada orang lain dan yang lebih menakutkan apabila ianya melibatkan maruah kita. Perbuatan seperti ini tidak memberi manfaat malah lebih memburukkan keadaan kedua belah pihak dan juga masyarakat sekeliling yang telah mengetahui perkara sedemikian. Secara tidak langsung, pihak yang telah ditikam belakang itu tadi akan merasa ditindas, dianiayai dan dimalukan oleh sahabat sendiri. Tikam belakang biasanya terjadi apabila seseorang itu menyimpan perasaan iri hati terhadap orang lain, tidak berasa senang dengan apa yang mereka ada, cemburu dan dengki di atas kejayaan orang lain.

"Sahabat baik tikam belakang. Apa nak buat?" Saya pernah melalui pengalaman yang boleh dikatakan seperti ditikam dari belakang oleh sahabat baik yang saya anggap seperti adik-beradik sendiri. Sungguh! Saya sedih apabila teringat kisah itu. Namun, demi menjaga sebuah persahabatan yang telah terbina itu, saya lupakan sahaja. Namun, peristiwa itu memberi impak yang besar dan merubah keadaan menjadi jauh berbeza daripada sebelum ianya berlaku.

Tipu la andai saya katakan perasaan apabila dikhianati sahabat baik sendiri tidak mempengaruhi keputusan yang diambil. Memaafkan, tapi tidak untuk melupakan. Saya boleh memaafkan tetapi saya sukar untuk melupakan. Sungguh mulia hati seorang insan jika dia mampu untuk memaaf dan melupakan.

"Sukar untuk melupakan bukanlah maksudnya untuk berdendam. Tetapi, sebagai langkah berjaga-jaga. Sekali terkena, sudah cukup memberi pengajaran, peringatan supaya apa yang berlaku tidak akan berulang lagi untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya. Bukan mudah bagi mereka yang ditikam dari belakang untuk melupakan apa yang telah diperlakukan ke atas mereka lebih lagi jika ianya melibatkan maruah mereka yang telah tercalar dan diketahui oleh umum. Oleh itu, berwaspadalah bila kita berbicara kerana kita tidak sedar adakalanya kita membuka cerita orang lain sehingga boleh mendatangkan aib pada individu yang terbabit.

Setiap apa yang terjadi dalam hidup kita, anggap ianya sebagai asam garam dalam kehidupan. Kita tidak meminta untuk semua itu tetapi kita juga tidak boleh menolak apa yang telah tertulis ke atas diri dan berusahalah untuk memperbaiki kehidupan agar lebih ceria di samping sahabat-sahabat yang anda sayang. Ingatlah, apa jua yang kita lakukan biarlah ikhlas kerana Allah.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut