Tanam Semula Sawit

Proses penanaman semula pokok sawit dibuat di antara julat umur 25 hingga 30 tahun berdasarkan kepada kadar produktiviti pokok.  Pokok yang kurang produktiviti mungkin akan menjalani proses penanaman semula pada umur yang lebih awal.  Ringkasnya penanaman semula pokok sawit adalah bertujuan untuk meningkatkan kadar produktiviti pokok sawit. 

Penyediaan tanah dan operasi membaris (lining)

Perancangan yang rapi harus dilakukan sebelum penebangan pokok sawit dilakukan.  Ia adalah termasuk menentukan baris-baris penanaman semula, tempat penumpukan sisa tebangan dan sistem saliran yang telah tersedia.  Pancang-pancang yang sesuai perlu diletakkan di atas tanah bagi tujuan ini.  Tujuan utama penentuan dan pancang adalah untuk memudahkan aliran kerja terutama apabila melibatkan penggunaan mesin.

Pembakaran terbuka tidak diamalkan lagi dalam proses penyediaan tanah pada masa ini.  Kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar dari semua peringkat termasuk agensi kerajaan sering mempromosi ke arah pembakaran sifar.  Teknik ini melibatkan proses penebangan pokok sawit dan bahagian batang dan daun diracik ke bentuk yang lebih kecil.  Selain daripada menyediakan kawasan persekitaran udara yang lebih bersih kerana tiada pembakaran terbuka, sisa kelapa sawit akan terkompos secara semulajadi dan menyediakan bahan organik yang penting untuk memperbaiki profil kimia dan fizikal tanah.  Teknik ini juga tidak bergantung kepada musim kering dan tempoh penanaman yang lebih cepat. 

Penanaman semula di kawasan tanah rata biasanya dilakukan dalam satu barisan yang lurus.  Teres-teres perlu dibina mengikut kontor sekiranya penanaman dilakukan di kawasan yang berbukit.  Bagi mengurangkan infeksi kulat Ganoderma di kawasan yang mempunyai sejarah kulat ini, baris penanaman yang baru dibuat agak jauh dari baris pokok sawit yang sebelumnya. 

Penyediaan jalan dan sistem saliran

Penyediaan infrastruktur jalan dan sistem saliran air adalah penting bagi menyediakan sistem perngurusan pokok sawit yang lebih efektif.  Proses penuaian misalnya memerlukan sisitem jalan yang baik lebih-lebih lagi apabila melibatkan jentera mekanikal yang berat.  Jalan yang tidak termampat menyebabkan jentera mekanikal tidak sesuai digunakan. Sistem jalan pula perlu mempunyai bentuk yang sesuai untuk mengalirkan air agar tidak terkumpul di kawasan tengah.  Oleh itu kamber yang sesuai perlu ditentukan sesuai dengan tanah.  

Jalan juga memerlukan kawasan matahari yang sesuai.  Jalan yang terlindung dari matahari sering terdedah kepada kerosakan kerana menjadi lembut dan termendak apabila jentera berat melaluinya.  Penanaman pokok sawit perlu dilakukan agak jauh dari sempadan jalan.  Sistem saliran adalah penting bagi pengurusan konservasi air terutama di kawasan tanah organik atau kawasan yang mempunyai keasidan tanah yang tinggi

Penumbangan pokok sawit

Proses penumbangan selalunya menggunakan ekskavator hidrolik bagi memastikan semua sisa pokok sawit terutamanya akar dikeluarkan daripada tanah.  Mesin ekskavator yang mempunyai 120 kuasa kuda mampu menumbang dan meracik sebanyak 115 pokok sawit sehari (10-12 jam). Lengan ekskavator yang dilengkapi dengan mata untuk memotong kecil sisa pokok sawit digunakan untuk menolak dan menumbangkan pokok.  Pokok ditumbangkan dalam arah yang sesuai dan diracik pada sudut 45o-60o dengan ketebalan 5-10 cm.  Sisa yang telah diracik dikumpulkan dalam satu barisan bersebelahan dengan barisan penanaman. 

Memerun (Stacking/windrowing)

Sisa yang telah diracik perlu di susun mengikut kesesuaian. Bagi kawasan tanah yang rata dan sedikit berbukit, susunan perun adalah seperti berikut.

1.    Kawasan yang mempunyai sistem saliran 1 dalam 4 barisan pokok.  Sisa yang telah diracik diletakkan di antara 2 barisan penanaman kecuali pada sistem saliran.
2.    Kawasan yang mempunyai sistem saliran 1 dalam 8 barisan pokok. Sisa yang telah diracik diletakkan berselang di antara 2 barisan penanaman. 
3.    Kawasan yang berteres dan berbukit, sisa racik diletakkan di antara setiap teres

Membaris, Penyediaan Lubang, Penanaman Anak Benih dan Sungkupan

Penyediaan kawasan penanaman selesai apabila proses penumbangan, meracik dan memerun atau menyusun sisa dalam barisan yang sesuai tersedia.  Penyediaan lubang boleh dilakukan secara manual atau dengan menggunakan mesin menggali yang sesuai. 

Pengurusan kumbang badak (Orytes rhinoceros) di kawasan yang mempunyai sejarah serangannya atau berhampiran dengan kawasan pokok sawit yang matang boleh dibuat dengan menggunakan benih-benih yang lebih matang (umur 16-18 bulan) dan penanaman pokok tutup bumi. Buah tandan kosong boleh digunakan sebagai bahan sungkupan yang diaplikasi di sekeliling pokok. 

Buah tandan kosong yang diaplikasi bukan sahaja digunakan sebagai teknik dalam pemuliharaan tanah tetapi boleh menjadi baja kepada pokok.  Satu tan buah tandan kosong adalah setara dengan 8 kg Urea, 2.9 kg Batu fosfat, 18.3 kg Muriate potash dan 4.7 kg kieserite.

Jarak tanaman yang biasa diamalkan 9 m x 9m x 9 m (143 pokok per ha). Jarak tanaman lain juga boleh dipakai (Jadual 2). Proses membuat baris dimulakan dengan membuat baris asas. Baris-baris pokok dengan sudut 60o mengikut jarak tanaman yang digunakan. Ia bertujuan untuk memaksimumkan jumlah cahaya matahari yang diterima oleh setiap pokok. Lubang tanaman bersaiz 60x 60x 60cm adalah disyorkan.


Jadual : Jarak tanaman dan kepadatan pokok

Jarak Tanaman
Bilangan pokok
(m)
(kaki)
per hektar
per ekar
8.2
27
171
70
8.5
28
160
65
8.8
29
148
60
9.1
30
136
55
9.4
31
128
52
9.8
32
120
48

Penanaman kekacang penutup bumi amat digalakkan. Ia menghalang hakisan tanah, meningkatkan kandungan bahan organik dan unsur N dalam tanah serta  membaiki pengudaraan tanah dan kelembapan tanah. Penanaman kekacang Pueraria phaseoloids, Calopogonium mucunoides dan Centrosema pubescens dengan nisbah  2:3:2 pada kadar 6.2 kg sehektar dengan jarak tanaman 1.5-1.8 m. Kira-kira 50kg unsur P diberikan kepada kekacang penutup bumi selepas 3 dan 6 bulan selepas penanaman.  Penanaman kelapa sawit biasanya dibuat diawal musim hujan untuk memastikan anak pokok mendapat cukup air.  Sebanyak 250 kg Batuan Fosfat (P) digunakan dalam lubang penanaman untuk menggalakkan pengakaran

Penyelengaraan ladang perlu dibuat dengan baik untuk menudahkan pungutan hasil.
Merumpai keliling pangkal pokok penting untuk menudahkan kerja-kerja memetik buah dan mengutip buah relai. Rumpai di dalam ladang tidak perlu dibersihkan sepenuhnya. Namun harus dipastikan rumpai yang ada dalam ladang tidak menjejaskan hasil dan aktiviti ladang.  Pangkasan pelepah dilakukan dengan membiarkan pelepah di bawah tandan masak menjadi pelepah paling bawah.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut