Masih Adakah Sahabat Sejati

Manusia secara fitrah suka bermasyarakat dan berkawan. Mungkin secara terpaksa kerana keadaan kehidupan manusia itu memaksa manusia itu bermasyarakat dan berkawan. Manusia tidak seperti malaikat atau haiwan atau pokok kayu yang boleh hidup bersendirian kerana keadaan manusia itu tidak mungkin boleh mengusahakan sendiri setiap keperluan-keperluan kehidupan mereka.

Pengalaman atau realiti kehidupan mengajar bahawa sebahagian kehidupan kita, orang lain yang mengusahakannya. Begitulah sebaliknya. Secara langsung mahupun atau tidak manusia tidak boleh lari dari bermasyarakat atau berkawan.

Kawan atau kenalan mungkin mudah dicari tetapi seorang sahabat itu ibarat sebutir permata di antara pasir. Sifat yang ada di dalam diri manusia itu yang kadangkala menjadi punca payah hendak bersahabat atau setelah bersahabat, berpecah kerana perangai negatif masing-masing.

Sekalipun mudah mendapat kenalan sekampung, kenalan disebuah sekolah, kenalan dalam sebuah darjah, kenalan di tempat kerja, kenalan di dalam sebuah organisasi atau kenalan sepermainan, tetapi untuk mendapat seorang sahabat pun amat susah sekali.

Bersahabat tidak sama dengan berkawan. Berkawan itu ikatan di antara manusia yang agak longgar. Mungkin kawan sepermainan sahaja. Diikat oleh permainan yang sama. Mungkin kawan sekerja. Di luar waktu kerja, tidak lagi berkawan. Sekadar itu sahaja. Mungkin kawan senasib. Apabila nasib sudah tidak sama, hilanglah kawan. Masing-masing membawa nasib. Selepas itu tidak ingin pun hendak bertemu lagi.

Memang untuk mendapat seorang sahabat amat payah. Terlalu sulit. Buktinya dari pengalaman kita, sama ada diri kita atau orang lain, tidak ada yang dapat berkawan dengan seseorang itu berpanjangan. Adakalanya kita boleh berkawan waktu sama-sama bersekolah di sebuah sekolah. Selepas habis persekolahan, tidak pun ingin bertemu.

Waktu sama-sama di tempat kerja, kita rapat. Selepas berpisah, sama ada tukar tempat kerja atau pencen, tidak ada pun satu sama lain ingin bertemu lagi. Kalau bertemu pun secara tidak dirancang dan diduga. Mungkin juga kerana suasana dan keperluan yang berbeza menyebabkan persahabatan itu jauh. Masalah di tempat kerja pun tidak sama jadi komunikasi di antara sahabat menjadi renggang. Adakalanya kita berkawan rapat dengan seseorang. Selepas dia berkahwin atau kita berkahwin atau setelah sama-sama sudah berkahwin, lalu hilang kawan. Tidak ada pun minat hendak bertemu dan berjumpa. Jauh sekali terasa rindu-merindui, hingga hubung-menghubungi, ziarah-menziarahi dan beri memberi. Tiada lagi hadiah-menghadiahkan, tolong-menolong dan bantu-membantu.

Ertinya susah sekali kita melihat seseorang itu bersahabat dengan seseorang sampai ke hujung yang sempadannya adalah mati. Sekalipun sudah menjadi lumrah atau budaya, selalu sahaja seseorang itu berkata: Dia ini sahabat saya.

Sedangkan fitrah semula jadi setiap manusia memang suka berkawan atau cenderung berkawan. Kerana hidup bersendirian tanpa kawan, banyak cacat dan kesusahan yang dihadapi manusia. Manusia yang banyak kawan, lebih ceria dan riang hidupnya daripada orang yang hidup bersendirian. Sebab itulah tabiat manusia suka berkawan. Walaupun begitu manusia ini selalu sahaja dapat kawan dan kemudian hilang kawan. Kawan silih berganti.

Jika berkawan amat payah hendak kekal hingga mati. Mengapa?

Berkawan itu ada kepentingan peribadi.
Sama ada kedua-dua orang yang berkawan atau salah seorangnya ada kepentingan peribadi. Mungkin berkawan kerana kekayaan orang itu, atau kerana kekuatan orang itu yang mana kalau ada musuh, boleh tumpang berlindung atau menumpang pengaruhnya. Apabila tujuan tersebut sudah tiada lagi, berkawan sudah tidak diperlukan lagi.

Berkawan dengan sebab seagama, sebangsa, sekaum, sekampung, senegeri dan lain-lain.
Berkawan apabila bertemu dengan orang yang satu kaum atau satu kampung atau satu negeri atau satu bangsa atau seagama (walaupun agamanya tidak dipraktikkan) di negeri atau negara lain yang asing pada mereka. Di waktu itu mungkin mereka tidak boleh sesuaikan diri di segi agama,bahasa, bangsa atau budaya di situ. Maka di waktu itu mereka amat rapat berkawan kerana satu sama lain perlumemerlukan lantaran sama-sama berdagang di negeri atau di negara orang. Setelah berpisah atau setelah sama-sama balik ke negeri sendiri, walaupun bertemu tetapi hubungan rapat sudah tiada lagi.

Kawan kongsi
Berkawan kerana berkongsi berniaga atau berternak untuk hidup. Selama berkongsi bolehlah berkawan. Apabila sudah tidak berkongsi lagi, satu sama lain sudah macam orang lain sahaja. Tidak serapat dulu.

Kawan seasrama
Berkawan waktu sama-sama duduk di asrama. Kebetulan pula berkongsi di dalam satu bilik atau duduk di pondok pengajian di dalam satu bangunan. Sama-sama memasak dan mentelaah. Setelah habis pengajian, berkawan sudah tidak berlaku lagi. Seolah-olah macam kenalan biasa walaupun masih selalu bertemu.

Kawan kerana takut
Berkawan kerana duduk di satu kawasan yang banyak berlaku jenayah. Oleh kerana takut bersendirian maka terpaksa berkawan. Setelah jenayah sudah tiada atau masing masing berpindah, masing-masing membawa diri. Kalaupun masih boleh bertemu tetapi tidak serapat dahulu.

Mengapa berkawan seperti yang digambarkan tadi tidak pernah kekal ?. Mengapa berkawan tidak berpanjangan?

Konsep kawan tidak kekal kerana ikatan tidak kuat. Ia diikat oleh perkara luaran. Diikat oleh keperluan semasa. Diikat oleh keadaan yang memaksa. Ia bukan dijalin oleh ikatan hati yang mempunyai akidah yang sama, ada hubung kait dengan Tuhan yang kekal abadi dan untuk kepentingan kedua sahabat yang berkekalan hingga sampai ke Akhirat.

Dengan kata-kata yang lain, ia bukan ikatan hati dua orang yang berkawan kerana Allah Taala. Orang yang berkawan kerana Allah Taala, kalau berpisah pun kerana Allah Taala. Suka dan benci pun kerana Allah Taala.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Tiadalah dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah itu, melainkan yang lebih dicintai Allah itu, orang yang lebih banyak cintanya pada rakannya."

Bersahabat kerana Allah Taala, ikatan amat kuat sekali. Ia diikat oleh satu akidah. Ia berkawan tidak ada kepentingan dunia yang sementara ini. Mereka bersahabat kerana iman, akhlak dan kerana ketaqwaan. Bersahabat seperti ini adalah kuat ikatannya. Biasanya sampai mati.

Bersahabat seperti ini mendapat perlindungan di Mahsyar dari Allah Taala yang mana hari itu tidak ada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah Taala. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Cinta kasih-Ku terlimpah di atas mereka yang berkasih sayang kerana-Ku. Akan Kunaungi mereka di bawah naungan Arasy pada hari Kiamat yang mana pada hari itu tiada naungan melainkan naungan-Ku."(Riwayat Abiddunya)

Orang yang benar-benar bersahabat ada beberapa peringkat:

Sahabat secara umum
Iaitu sahabat yang berada di dalam satu perjuangan Islam atau di dalam sebuah jemaah Islam yang bercita-cita menegakkan Islam di dalam kehidupan individu, rumah tangga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat.

Sahabat secara khusus
Sahabat secara khusus iaitu orang yang bersahabat dengan lebih mendalam lagi kasih sayang dan ikatan jiwa satu sama lain. Selain daripada diikat oleh sahabat secara umum, ditambah pula kerana ada cita-cita bersama menegakkan Islam.

Sahabat yang dipersaudarakan
Sahabat ini lebih mendalam lagi kerana mereka ada membuat perjanjian antara satu sama lain. Bersaudara seolaholah adik-beradik satu keturunan, dari satu ibu dan ayah.Itulah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW di kalangan para Sahabat.

Lanjutan daripada kisah mempersaudarakan para Sahabat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, baginda sendiri mengambil Sayidina Ali karamallahu wajhah sebagai saudaranya. Setelah Rasulullah mempersaudarakan Sahabat-Sahabat Ansar dan Muhajirin,Sahabat-Sahabat Ansar pun berkata: "Harta benda kami (tanah dan kebun tamar), kami akan bahagi-bahagikan di antara mereka."
Apabila Sahabat-Sahabat Ansar memungut hasil kebun kurma, mereka membahagikan hasil pungutan itu kepada dua bahagian. Salah satu bahagian lebih banyak dari bahagian yang satu lagi. Sahabat Ansar pun meletakkan pelepah-pelepah kurma di bahagian bawahnya sehingga bahagian yang sedikit itu nampak lebih banyak daripada bahagian yang banyak tadi. Mereka pun memberi bahagian yang kelihatan sedikit (tetapi pada hakikatnya inilah yang lebih banyak) kepada saudara mereka, orang Muhajirin dan mereka mengambil bahagian yang mengandungi pelepah kurma itu.

Hal ini berterusan sehinggalah Islam semakin kuat dan mendapat banyak harta lalu Rasulullah SAW telah menawarkan kepada orang-orang Ansar harta-harta itu sebagai membalas budi mereka. Sebaliknya Sahabat-Sahabat Ansar menolak sambil berkata, "Tidak, melainkan tuan membahagi-bahagikannya sama rata dengan saudara-saudara kami (orang Muhajirin)."

Ada seorang Sahabat Ansar bernama Saad bin Rabi` telah dipersaudarakan dengan Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Saad berkata, "Ya saudaraku, aku adalah orang yang paling banyak mempunyai harta di Madinah, maka lihatlah olehmu kepada hartaku dan ambillah sebanyak mana yang kamu inginkan. Aku juga mempunyai dua orang isteri, lihatlah mereka, siapa di antara keduanya yang engkau sukai, aku akan menceraikannya untukmu."

Akan tetapi Sayidina Abdul Rahman tidak sanggup menerimanya lalu berkata, Allah memberkati kamu, harta dan keluarga kamu. Tunjukkan aku arah ke pasar."Lalu dia ditunjukkan jalan ke pasar dan Abdul Rahman bin Auf pun berniaga sehingga mencukupi keperluan hidupnya.

Oleh itu, bersahabat besar ertinya. Kerana itulah Rasulullah SAW memanggil pengikut-pengikutnya dengan perkataan Sahabat. Padahal di dalam bahasa Arab ada perkataan lain yang makna lahirnya agak sama, misalnya zamil atau rafiq. Tetapi erti sahabat lebih mendalam dan mesra. Erti sahabat, orang yang sentiasa mengiringi kita, sentiasa ada di samping kita atau selalu berdekatan dengan kita. Erti mengiring atau sentiasa di samping atau berdekatan dengan kita itu, bukan erti luaran sahaja. Bukan sekadar lahiriah sahaja tetapi batinnya sekali. Seperti mengiringi dan mendampingi hati kita. Dekat dengan hati kita. Dengan kata yang lain, seseorang sahabat itu sentiasa memerhati dan memikirkan kehidupan lahir sahabatnya seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, situasi tempat tinggal, sakit pening, susah payah dan pendidikannya.

Bahkan dia juga sentiasa memahami psikologi atau batin sahabatnya seperti tentang perasaan, kegemaran, kebencian, kesukaan, kemarahan, siapa orang yang dia suka dan siapa orang yang tidak disukainya. Bahkan kenal anak isteri, keluarga, sahabat-sahabat dan musuhmusuh kepada sahabatnya itu.
Perlu kita faham itu semua agar dapat kita berkongsi sama dengan sahabat, suka duka, masalah, kemahuan dan kebencian mereka. Agar perkara-perkara yang mereka perlukan bantuan, kita bantu. Manakala yang perlu dijauhi, sama-sama kita hindari dan jauhi. Jika perlu nasihat, kita beri nasihat. Apabila kita bersahabat, kenalah jaga perasaan mereka.

Selain itu kalau kita bersahabat dengan sesiapa, kita kenalah jujur dan amanah serta bertanggungjawab terhadap mereka. Sepertimana kita berlaku jujur, amanah serta bertanggungjawab kepada diri kita, begitu jugalah tanggungjawab kita kepada mereka dan keluarga mereka. Kita kenalah jaga mereka macam kita menjaga diri dan keluarga kita.

Kalau begitu di antara syarat-syarat kita bersahabat ialah:

Kalau mereka susah, memerlukan bantuan, kenalah kita bantu sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun nasihat dan pandangan kita.

Kalau mereka meminta sesuatu, kenalah kita beri. Jika kita tidak mampu, minta maaflah kepadanya.

Kenalah ziarah selalu dan lihat-lihatlah apakah yang perlu kita bantu. Sewaktu ke rumahnya, bawalah buah tangan.

Berilah hadiah terutama di waktu-waktu yang sesuai seperti mereka mendapat anak, waktu perkahwinan dan sebagainya.

Di waktu sakitnya kenalah ziarah dan doakan kesembuhannya.

Di waktu mereka mendapat sesuatu yang menggembirakan, hendaklah kita juga lahirkan kegembiraan.

Di waktu mereka mendapat sesuatu kesusahan dan kesedihan, hendaklah kita juga melahirkan rasa kesedihan dan kesusahan sama.

Kebaikannya selalulah kita puji di belakangnya.

Kecacatan dan kekurangan atau keaibannya dan keluarganya, hendaklah kita tutup. Ertinya kita jangan mengumpatnya.

Kalau ada orang lain mengumpatnya di hadapan kita, kenalah nasihat orang itu atau kita tinggalkan majlis itu.

Kalau dia mengajak kita menemaninya ke mana-mana, kenalah kita menerimanya kecuali kalau ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Kalau dia menjemput ke majlis, wajib kita menerima jemputannya.

Kenalah ziarah serta mengambil perhatian keluarganya selepas matinya.

Kenalah ziarah sahabat baiknya. Kalau boleh mengambil perhatian kehidupan keluarga mereka selepas matinya.

Selalu mendoakannya di luar pengetahuannya atau bukan di majlisnya.

Berilah kemaafan di atas kesalahan terhadap kita.

Mintalah maaf kepadanya di atas kesalahan dan kekurangan dan kelemahan diri dalam menunaikan tanggungjawab terhadapnya.

Tetapi,
Jika sahabat itu tidak mahu disaugiakan sebagai sahabat ibaratnya makanan yang berzat, sihat dan berperisa. Jika tidak berperisa lagi usahlah dicela dan tinggalkan makanan itu secara perlahan-lahan asal tidak disedari maka redhakanlah apa yang telah diberikan dengan setulusnya. Letak kan segalanya atas ketentuan Allah SWT.

Ya Allah jika memang tidak akan engkau berikan seorang pun sahabat kepada ku di dunia ini. Aku pasrah dan redha mestikan secara fitrahnya aku memerlukan sahabat. Namun, usah engkau pinggirkan aku dari perhatianmu. Ya Allah aku mungkin bukan hambamu yang baik tetapi aku tak mampu menerima azab nerakamu dan berikan kepadaku pengakhiran yang baik.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut