Anugerah Dendam Yang Terindah

Terkesima dengan sebuah tajuk "Anugerah Dendam Yang Terindah", lalu aku memutuskan untuk menulis lebih lanjut berkaitan khusus buat diri yang selalu alpa.

Bila berkata tentang sakit, maka pastinya memikirkan penyakit-penyakit yang dapat dilihat kesakitannya. Kita lebih memahami kesakitan yang dialami oleh orang yang patah tangannya dari mereka yang mengalami serangan jantung.

Acapkali kita lebih kasihan kepada mereka yang luka di kepala dari mereka yang menggigil menahan kesakitan migrain. Justeru, manusia sememangnya lebih mudah memahami apa yang dilihatnya dari apa yang tersirat di sebalik pandangan mata kasar.

Jika kita katakan pula tentang sakit yang tidak nampak oleh mata kasar, maka secara mudahnya kita mengatakan ia adalah penyakit ghaib. Ghaib kerana kita tidak melihatnya namun seandainya kita sudah melihatnya maka hilanglah keghaiban tersebut.

Kanser misalnya, boleh kita katakan penyakit ghaib kerana tidak nampak oleh mata kasar, tetapi apabila zaman semakin moden serta banyak kelengkapan perubatan yang canggih, kanser cukup mudah dikesan dan tiada lagi istilah keghaiban padanya.

Oleh yang demikian, penyakit yang kita katakan ghaib belum tentu ghaib secara hakiki, namun ada juga penyakit yang benar-benar ghaib. Ghaib kerana ia sukar untuk diterjemahkan oleh mata kasar mahupun kanta yang canggih. Penyakit ini dinamakan ‘penyakit hati’. Penyakit hati pula ada banyak jenis dan rupa, ia saling berkait, biar tidak serupa tetapi mudah cerita ianya datang dari baka yang sama, ibarat adik-beradik di dunia nyata.

Penyakit hati yang ingin diceritakan dalam penulisan ini adalah "Dendam Halus". Dendam merupakan suatu perasaan yang lahir daripada perasaan benci atau marah, seringkali dipendam secara rahsia oleh seseorang individu. 

Dendam juga boleh lahir daripada hasrat dengki atau ketidakpuasan hati. Apa pula yang dimaksudkan dengan ‘dendam halus’?

Ketika kita memandang seseorang walaupun kelihatannya seperti baik, tetapi ianya penuh dengan nafas dendam. Kita kata kita sentiasa ingat pada Allah SWT, kita sayang pada Allah SWT, tetapi mengapa pula kita hidup dengan penuh dendam yang halus lagi merosakkan.

Ðendam halus lagi merosakkan ini cukup kuat impaknya dalam hidup. Biar kita kelihatan tenang, biar kita sering beribadah, tetapi jiwa kita tidak pernah tenteram. Ketidaktenteraman itu terbit daripada rasa tidak puas hati kerana orang yang ktia marah dan benci masih belum menerima balasan yang kononnya setimpal dengan perbuatan mereka. Kita akhirnya mendahului keputusan Allah SWT dalam menghakimi mereka, sedangkan Allah lebih tahu apa yang sepatutnya.

Kita juga mula memutuskan silaturrahim dalam diam sedangkan kita amat tahu bahawa kita tidak boleh memutuskannya. Kita bersumpah tidak mahu bertemu dengan si polan misanya dan tanpa sedar ianya sudah memberi satu kejayaan yang tinggi nilainya kepada syaitan.

Semakin kita cuba hampir kepada Allah SWT, maka semakin haluslah permainan syaitan ini. Permainan emosi dan dendam adalah permainan yang nampaknya tidak memberi apa-apa impak terhadap hubungan kita dengan Allah. Namun hakikat sebenarnya kita sudah mula lebih memikirkan mereka yang kita marah, lebih dari memikirkan hubungan kita dengan Allah SWT. Kita katakan yang kita tidak berdendam tetapi tahukah kita, asalnya kita rasa marah dan ingin melihat pembalasan, itu sudah cukup untuk digelar dendam.
Dendam adalah salah satu jalan pemutus rasa cinta kita dengan Allah SWT. Apabila ada rasa dendam yang halus, kita sebenarnya akan cuba menjustifikasikan perbuatan kita, biarpun ia bertentangan dengan sifat si pencinta Tuhan.

Rasulullah SAW tidak sedikitpun menyimpan dendam kepada mereka yang menganiaya baginda. Mungkin ada yang kata, “Itu Nabi...” Makanya disebabkan itu nabi, kita perlu mengikut jalan hidup serta akhlak yang dipertontonkan kepada kita senandainya kita benar mahu mencintai Allah SWT. Selagi kita punya rasa tidak puas hati dan tidak mampu, kita jadikan dia sebagai satu elemen kasih sayang, maka selagi itu dia menjarakkan dirinya dengan Allah SWT yang maha mencintai.

Kita perlu hidup dalam keadaan kasih sayang biarpun kita dianiaya, biarpun kita difitnah mahupun dinista. Mencintai Allah SWT itu dengan rasa, maka dikurniakan rasa derita sebenar derita agar kepekaan rasa dapat dikupas tanpa kata-kata. Kata Ki Ageng Sabdo Sukma, "Luka hati adalah pembuka rasa, luka jiwa adalah kedekatan rasa, jika sudah merasa, datanglah cinta kepada yang Maha Esa."
Share:

2 komen:

Rozai Asnizah said...

Mana mungkin orang yang punya rasa benci dan dendam sesama manusia atas sebab2 yg bukan kerana tuhannya mampu mencintai Allah dan rasulnya (saw).

Anonymous said...

aik macam terasa jek

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut