Bertemu Untuk Berpisah

Official 2nd Ngeteh
"Yo Bro Assalamualaikum" begitulah kata-kata yang dihumbarkan kepada ku sebaik sahaja mengangkat telefon genggamku. Baru sahaja aku meletakkan status di "Facebook" bahawa aku sedang menikmati Cendol Hj Shariff yang terletak di Seremban. Terasa pekatnya santan yang menjadi antara ramuan cendol tersebut. Jam masih menunjukkan pukul 9 pagi tapi ramai peminat cendol yang berada di sana. Mungkin hari sabtu, hari untuk bersantai. Kelihatan beberapa orang cina dalam satu kumpulan membawa kamera lalu aku teringat kamera lagenda aku di dalam kereta Nikon D60. Kamera yang akan aku gunakan untuk mengambil gambar sekitar aktiviti perjumpaan dua tahun sekali "Old Boys High School Batu Pahat". "Weih dah pukul berapa ni ko tak sampai-sampai lagi" seperti tak sabar-sabar akan kehadiranku.

"Ala Bro rileks la baru pukul berapa ni, Program pukul 430 petang, lepas zuhur aku sampai la Batu Pahat". "Che Wan lambat, aku tak kira. Bungkus kan aku cendol 10" kata Dali atau gelarannya sewaktu sekolah dulu "Gek" bersungguh-sungguh cuba mengusik. " Ko kat mana ni Gek ?." "Aku ada kat Parit Sulung dah ni". "Ko rehat la dulu, Pisang, James, Katak, Topex dah sampai ke ?" aku bertanya sambil menggunakan nama-nama gelaran yang digunakan sewaktu umurku belasan tahun di sekolah.

Seperti Gek aku pulang ke kampung dahulu setibanya aku di Batu Pahat menjengok ayah dan ibuku yang berada di Senggarang. "Mak tak ada dia ke rumah adik di sebelah" Ayahku berkata sambil duduk di pangkin rumah memegang durian yang diambil dari raga buluh miliknya. Sedap durian pusaka arwah embah ku yang berada di Parit Tengah. Besar jasa arwah embah bila meninggalkan sebidang dusun yang penuh sarat dengan buah-buahan. Macam-macam ditanam semasa hayatnya. Manggis, Pulasan, Duku, Langsat dan berjenis-jenis lagi buah-buahan yang ditinggalkan buat kami anak cucu dan cicitnya. Ayah menyuakan aku beberapa ikat buah manggis. Sungguh besar kekuasaan Allah, dikeluarkan buah durian yang sedap tapi panas dan pada masa yang sama dikeluarkan manggis untuk menyejukkan badan. Jam 430 petang, sampai aku ke kawasan program. Minyak Beku AgroPark memang terletak di Feri Penambang ke Selat Panjang, Bengkalis, Dumai dan Tanjung Balai Indonesia dengan harga serendah RM170 pergi dan balik. Aku cuba menghubungi Katak namun tiada jawapan, sibuk dengan barangan untuk program barangkali. Akhirnya Topex dapat ku hubungi.

"Aku pun masih mencari-cari di manakah tempatnya ni." Ujarnya yang seperti rasa bersalah kerana aku telah sampai dahulu. Hujan sangat lebat. Angin bertiup kuat sehingga melentok-lentok pohon kelapa yang ditanam oleh pihak AgroPark. Tiba-tiba ku dengar tingkap keretaku di ketok.

"Whoi.... hahaha" afiat menggelakkan aku. Aku membuka tingkap kereta sedikit. "Whei basah la wei. Jom la kita tunggu kat lobi resort ni".

"Mana semua". "Manalah aku tahu."

Habis lah program luar yang sudah dirancang pada hari ini. Hujan terus mencurah-curah dengan lebat. Aku terus bertanya kepada pelayan di kaunter. Ramai jugak yang sudah ada di sana. Tok Mat, Seli, No Neng dan beberapa orang nampaknya sedang membuat persiapan. "Kat mana surau, aku lom solat lagi ni ?".

Menyelusuri Pantai Minyak Beku
Usai solatku, alhamdulillah hujan pun mulai reda. Kelihatan jeti dan feri penambang serta beberapa perahu berhampiran dengan jeti. Salah satu perahu sedang menurunkan penumpang. Aku bergegas ke jeti dan berharap dapatlah aku naik perahu hari ini. Perahu dikendalikan oleh seorang cina tua yang aku panggil "apek". Mungkin dalam sekitar 60 tahun umurnya tapi masih gagah.

"Apek, perahu pergi ke mana ?" aku berteriak dengan penuh semangat.

"Pulau Sialu, boleh pusing-pusing tengok kawasan rumah api. Ambil tiket di kaunter" katanya

Aku membayar RM10 dan dengan pantas terus melompat masuk ke perahu apek. Perahu yang besar, kataku di dalam hati. Boleh memuatkan dalam 30 penumpang.

"Mahu tunggu penumpang lagi ka apek ?" "Oh tidak la, kita berdua aja" katanya. Memang peramah kelihatannya. Aku memberikan beliau sebungkus air teh tarik yang aku beli selepas mendapatkan tiket. Perahu meluncur dengan perlahan. Sambil menghirup teh tarik yang ku bungkus apek bercerita.


"Pulau Sialu ni dulu kawasan lanun. Ramai orang kuala yang tinggal di pulau ini. Sekolah pun sudah ada. Cukup untuk memberi peluang pelajaran kepada lebih kurang 700 penduduk yang terdiri dari orang kuala dan cina."

Sambil menunjukkan segerombolan pemancing beliau berkata lagi

"Semua orang tu saya hantar pagi tadi, esok saya kena ambil lagi". "Di hadapan sana tu rumah api lama, tapi sudah tidak digunakan lagi hampir 20 tahun sudah ditutup. Kerajaan buat yang baru di atas Bukit Segenting dengan sistem radar yang canggih".

Mengenai nama pulau itu, ia dikatakan berasal daripada perkataan ‘sial lalu’ dan terdapat dua versi mengenainya.

Menurut versi pertama, suatu ketika dahulu pulau itu menjadi tempat persembunyian lanun untuk merompak kapal pedagang sehingga golongan yang menjadi mangsa menggelarkan lokasi tersebut sebagai sial lalu. Versi kedua pula menyatakan, lanun yang merancang merompak kapal pedagang menjadi marah dan menyumpah seranah pulau itu sebagai sial lalu setelah penat menunggu namun tiada kapal lalu di situ.

Setelah lanun dibersihkan dari pulau itu, ia menjadi kediaman selama ratusan tahun oleh keturunan Orang Kuala, iaitu pahlawan yang mengawal samudera serta menjadi mata dan telinga kepada Sultan pada zaman Kesultanan Melaka dan Johor suatu ketika dahulu.

Orang Kuala yang beragama Islam dan merupakan sebahagian masyarakat Orang Laut daripada suku Duano di tenggara pantai Sumatera dan Kepulauan Riau.

Pada 1 Mac 1894, ketua masyarakat Orang Kuala dipertanggungjawabkan menjaga rumah api di Pulau Sialu yang menjadi panduan kapal-kapal yang berlalu di situ, sekali gus mengangkat kepentingan masyarakat Orang Kuala dan pulau tersebut. Datuk Bentara Luar Johor mengamanahkan Tok Batin Rahmat untuk menjaga rumah api yang ketika itu setinggi tujuh meter dan diperbuat daripada kayu balak sebelum digantikan dengan rumah api berstruktur konkrit pada 1913.

Alu-alu Pulau Sialu
Sayang Segenting Kampung Cina
Ikan tergantung, kucing menunggu
Belum tahu siapa yang punya

Jam telah menunjukkan pukul 7:15 petang. Azan sudah berkumandang. Sayup-sayup dari Pulau Sialu. Seusai solat maghrib, aku terus ke dewan majlis diadakan. Ramai yang sudah ada. Belanda, Mat Bond, Kiding, Codeh, Tok Moh, Toyol, ku dengar suara mereka memecah keheningan waktu malam di kawasan resort. girang kedengarannya. Masing-masing sudah terlihat garis-garis usia di wajah mereka. Ia mencerminkan wajahku juga yang sudah seusia dengan mereka. Masing-masing dengan cara dan gaya mereka tersendiri tapi sebahagian besar dari perangai mereka tidak berubah seperti waktu kami beumur belasan tahun. Paling unik ada bunga dari kalangan kami sedangkan semasa di dalam kelas, kami semua sama jantina. "Lelaki". Tidak ku tahu bagaimana mereka ketika berada di pejabat menjadi ketua jabatan, pemilik syarikat yang besar bahkan ada sebahagian daripada kami yang sudah menjadi jutawan. Itu adalah bahagian masing-masing. Rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepada semua.

Penyertaan mungkin agak kurang berbanding perjumpaan kali pertama pada tahun 2010. Kira-kira 30 orang yang hadir pada tahun 2012 berbanding 60 lebih orang pada tahun 2011. Sebahagian besarnya mempunyai komitment serta perkara yang tidak dapat dielakkan. Maklumlah peneraju sebuah syarikat atau "CEO", "Pengarah Urusan" dan pegawai-pegawai besar dalam kerajaan. Yang hadir terus berprogram yang tidak, berkirim salam.

Pisang mengendalikan program seperti acara dua tahun yang lalu. Pastinya beliau banyak pengalaman mengendalikan program "Human Resource" di pejabatnya. "Tuan semua enjoy ?". Makanan pula telah dikendalikan oleh Zack Mat Bond pemilik tunggal Restoran Mat Bond yang terdapat di seluruh tanah air menyediakan masakan nasi baryani yang cukup "mantop" dan "sentap".

Namun acara yang paling memberikan kesan adalah tahlil terhadap teman-teman yang telah pergi tidak kembali. Doa dan "al-fatihah" buat Almarhum, Haizam Adam, Musa Sahir, Muzafar Johar, Nor Azman Katmin dan Aminuddin Yusof serta beberapa orang kawan ku yang tidak teringatkan nama mereka.

Haizam kembali sewaktu beliau belajar di Maktab Perguruan Batu Pahat kemalangan jalanraya seusai solat jumaat, Saudara Musa dengan sakit yang tak dapat dinyatakan. Muzafar yang merupakan salah seorang kawan rapatku di sekolah. Sewaktu meninggal sudah beristeri dan meninggalkan 3 orang anak yang comel. Perginya beliau kerana mengalami komplikasi darah tinggi dan kencing manis. Mereka telah meninggalkan kami lebih dari berbelas tahun yang lalu. Saudara Aminuddin kembali sebulan selepas kami bertemu buat pertama kali selepas lebih 10 tahun mengalami serangan jantung ketika bertugas di ITTHO. Saudara Nor Azman tidak pernah ku temui sejak berpisah di bangku sekolah namun sempat bertanya khabar melalui telefon ketika aku keluar bertugas ke Perlis satu masa dahulu. Beliau sering terdedah dengan bahan kimia sehingga beliau disahkan mengalamai ketumbuhan tengoroknya dan menderita selama beberapa tahun sebelum menemui saat akhirnya. pada tahun 2010.

Begitulah umumnya sebagai manusia yang bertemu untuk berpisah. Acapkali kita dihasut untuk menerima setiap pertemuan untuk perpisahan. Namun ada yang marah dan melemparkan pertanyaan "Mengapa perlu bertemu kerana hanya untuk kita berpisah ?". Dalam novel-novel cinta kerap kita disogok dengan kisah pertemuan yang tiada berhujung noktah. Cinta memang patut diakhiri dengan perkahwinan. Hairannya setiap pertemuan seperti ini kita bagaikan akur dengan perpisahan yang bakal melanda. Selepas bertemu masing-masing bertebaran di kawasan "nic" masing-masing. Mereka yang berhampiran terus pulang ke rumah masing-masing atau pulang tidur ke rumah ayah dan bonda. James yang berasal dari Sarawak pula perlu menunggu sehingga esok hari menanti pesawat yang akan berangkat jam 5 petang.
Share:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut