Kawan atau kenalan

Tidak kira di mana sama ada di masjid, kedai,  rumah orang kenduri, perselisihan jalan, dalam mengurus keperluan. Kita akan bertemu dengan kenalan. Bila bertemu di tempat kerja, masing-masing sibuk dengan urusan. Sekali-sekala bertegur sapa kemudian tidak ambil tahu satu sama lain.

Seseorang yang ditemui di dalam perjalanan, ketika menjalankan tugas, mungkin mata saling memandang lalu senyum dari jauh sahaja, itu juga bukan kawan. Orang yang kita yang kita temui di dalam perjalanan pergi kerja, berselisih di jalan serta tidak sempat berkenalan, bahkan tidak tahu menahu di antara satu sama lain, lebih-lebih lagi itu bukan kawan apatah lagi jika mahu dikatakan kawan sejati.

Setengah orang di dalam berbual, orang yang sekadar berbual itu dikatakan kawannya. Kalau ada orang bertanya seseorang itu tinggal di tempat yang sama, lalu berkata, “Oh itu kawan saya” Pernah di dalam pergaulan, ada orang berkata dengan kita saya kenal sipolan itu, lalu berkata,“Oh dia itu kawan sekolah saya” Begitulah seterusnya mudah kita berkata dia kawan saya, dia sekampung dengan saya. "Oh dia itu kawan saya sama sedarjah dengan saya di waktu belajar dahulu di sekolah menengah di tempat saya Dia itu kawan baik saya, sama-sama bekerja di dalam tentera, lama bersamanya" Gambaran yang disebutkan tadi itu bukan kawan, itu adalah kenalan. Mencari kenalan mudah tapi mencari kawan susah.

Dunia yang sepi

Alangkah susah mendapat kawan
Bukan kenalan di zaman ini
Berpunca dari hati yang rosak
Kerana dunia memautnya
Alangkah susah mencari kawan
Kebaikan kita disoroknya
Bahkan didengkinya pula

Kejahatan dicanang merata
Salah yang sikit dibesarkan
Yang besar apatah lagi
Alangkah sepi dunia ini
Walaupun hidup di tengah ramai
Kerana kawan tiada lagi
Yang ada hanyalah di jalanan

Kawan yang sebenar memang sukar dicari. Kawan yang benar-benar memahami akan kesusahan kita dan menganggap itu adalah kesusahan dia. Kegembiraan kita kegembiraan dia, kegembiraan dia adalah kegembiraan kita. Kita dan dia bela-membela, keluarganya keluarga kita, keluarga kita keluarganya. Masing-masing mengambil berat di antara satu sama lain, jenguk menjenguk, bantu-membantu. Seolah-olah kita dan dia adalah satu keluarga, satu ibu dan satu bapa.

Mati keluarganya diziarahi. Kita mati, keluarga kita diziarahi, silaturrahim berterusan dan berpanjangan. Aib dia kita tutup. Aib kita dia tutup. Sayang-menyayangi. Kasih-mengasihi. Lama tidak berjumpa rasa rindu di dada, bila bertemu susah hendak berpisah. Bagaimana kita boleh bertemu insan yang seperti ini. Acapkali berkenalan kerana ada sesuatu keperluan yang perlu dilengkapkan. Dalam dunia kapitalis selalunya akan berkata tentang imbuhan kewangan atau keperluan kepada nama dan kemashuran. Itulah dunia sekarang.

Benarlah kata-kata penyair di atas. Alangkah sukarnya mendapat kawan pada zaman ini kerana hati-hati manusia yang rosak iaitu bila manusia hanya mementingkan kebendaan dan keduniaan. Baiknya seseorang itu kerana ada sesuatu keperluan hidupnya yang perlu di penuhi. Bagaikan pepatah melayu lama "Ada udang di sebalik batu". Apatah lagi keperluan itu berkaitan dengan kerjaya yang dimiliki, saham di syarikat kepentingannnya. Bila memerlukan lalu dicarinya kita, sampai ke lubang cacing. Pelbagai perkara dan benda yang dijanjikannya. Insan biasa memang selalu akan terpedaya dengan setiap janji yang ditabur. Lalu bersungguhlah dalam kerja-kerja yang dilakukan mengenangkan imbuhan dunia yang difikirkan sehingga alpa bahawa segala rezeki yang kita perolehi bukan semata-mata atas usaha kita tetapi rezeki yang telah ditentukan kepada kita.

Begitulah bila kejayaan telah digapai, mereka lupa akan janji yang telah ditaburkan malah mungkin pada ketika itu segala kebaikan yang telah dilakukan kepada mereka sering disorokkan kerana takut bahagian dunia yang telah mereka garap akan jatuh ke tangan kita. Tidak cukup sebarang kebaikan yang telah dilakukan disorok bahkan terkadang lebih parah lagi setiap kejahatan yang dilakukan dicanang-canangkan malah jika tiada apa kesalahan yang dilakukan lalu difitnahnya dengan mengatakan yang tidak-tidak kepada kita. Begitulah hakikiat sepinya hidup insan yang di dunia walau sebagaimana pun ramai insan yang berada di sekeliling kita.

Selamat Tinggal Duniaku

Dulu, tika aku di sini
Bersama seruling bambu yang mendayu
Bersama kicauan burung yang merdu
Bersama keriuhan anak-anak dungu
Bersama lambaian dedaunan ditiup bayu

Dan bersama kejahilan yang beku, palsu
Aku tak tahu bahawa di dunia ini
Ada dunia lain tinggi

Justeru itu, hiduplah aku
Dalam kelalaian yang buta
Dalam kejahilan yang menggila
Dalam kejahatan yang penuh dosa dan noda

Dan dalam kehinaan yang menyiksa
Pun begitu, aku masih berkata
Akulah serikandi
Kini aku akan pergi

Meninggalkan desa ini
Dan meninggalkan duniaku yang dulu
Dan meninggalkan hidupku yang palsu
Aku benci pada kelalaian
Pada kejahilan
Pada kejahatan dan kekejaman
Dan pada kehinaan

Selamat tinggal pada duniaku yang penipu
Allah yang beritahu bahawa engkau adalah penipu.
Rahsia tipuanmu semua dahku
Kaji dan ada dalam pengetahuanku
Aku pergi kepada kebenaran
Pada Islam, pada iman

Pada kebaikan dan kemuliaan
Duniaku, selamat tinggal padamu
Usah kau melambai lagi
Kerana lambaianmu adalah pura-pura
Usah kau senyum lagi
Kerana senyumanmu adalah racun
Usah kau Tanyaku lagi, mana bahagia?

Kerana engkaulah penjenayah yang menjahanamkan
Seluruh kepuasan dan kebahagiaan
Yang bersemadi dalam hati-hati manusia.
Aku pergi kepada kemiskinan
Kerana di sana ada kekayaan
Aku pergi pada kesunyian
Kerana di sana ada hiburan

Aku pergi kepada penderitaan
Kerana di sana ada perjuangan dan kemuliaan
Dan itulah duniaku kini dan akan datang
Bersamamu, sekalipun kaya raya
Tapi engkau adalah pemburu
Yang menembak mati kemurnian
Hati nuraniku
Selamat tinggal duniaku.

~ petikan dari novel selamat tinggal duniaku (1985) ~

 

Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut