Gelap malam menelanku

Malam ini aku menyimpan airmata lalu mengembunkan di pelupuk mataku. Ku karangkan puisi dan nukilan lalu ku curahkan kepada yang sudi menerima kisahku. Malam telah menegaskan kelamnya dan aku menggambarnya dengan cahaya. Aku cuba meneranginya dengan caraku yang tersendiri tetapi ia tetap kelam. Hanya lampu berkedipan dan berpendar dari jauh.

Aku ingin dipeluk sebelum waktu aku berlalu beku dan sebelum padam segala damba. Peluk aku! sehingga sesak nafasku. Malam ini aku ingin menuai ingatan bulan Mac yang lalu. Semacam ada rasa bahagia yang diputar kembali dalam benak yang menyimpan senyuman walau ia seperti menjauhi aku. Suara-suara bergema dari masa lalu. Getar senar gitar, sajak-sajak yang menyimpan pedih serta lirih dari sejarah airmataku. Ada yang mengulang-ulang khabar mengejek airmata. Biarlah!.

Hanya ada waktu yang tersisa lalu mengingat jejak yang kian pudar. Apa yang terlukis mungkin gelisah waktu detik jam dalam jantungku yang lelah, serta layu tapi serasa ingin masih menyeru. Aku menghela isyarat dan jejak pada sajak serta mimpi di dalam puisi bila wajahmu dan wajahku tercermin di sana. Pada gigil udara aku teruja dengan isyarat semesta yang mengada atau menghilang hanya yang tinggal iaitu satu adanya.

Malam kuyup dengan cahaya bulan dan gundah ini ? Kuyup dengan keheningannya. Apa yang digelisahkan dari tiada ?. Hanya kesunyian tak berbatas tepi. Sepi dan nanti pastinya aku sendiri. Kala di waktu sunyi itu, ada yang memintaku membaca. Bacalah! Bacalah! dan engkau akan mengerti kerana diriku hanyalah seorang petualang yang malang.

Ia seperti kabut. Rahsia demi rahsia menutupi mata tapi membuka hati. Aku hendak menerpa isyarat dingin yang menusuk sumsum tulang. Oh petualang malam yang malang. Bunyi jam mendetik jarumnya lalu menusuk ke dada waktu. Aku terhuyung-hayang dengan jantung yang berdetik tak henti ngilu.

Ah, letihnya. Tika kalimatku telah demikian parau waktu membahasakan suara-suara bergalau. Ini gebalau tak tentu. Gebalau kacau menyamarkan pandangku. Suara berdengung. Mendengung. Penjual ubat dan kursi bergelimpangan di balik pintu menandak mabuk di atas meja. Seperti kabut. Mengacau pandangku. Menebal tebal di perjalanan waktu. Engkau sibukkan dengan cahaya. Cahaya yang membelah kepekatan malam. Aku terus mengejar badai malam sehingga tidak ketahuan di makan gelap malam.
Share:

0 komen:

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut