Suratannya, Aku Masih Di Sini (Bahagian 1)

Jam telah menunjukan 0730 pagi, tanggal 31 Disember 2011. Usai solat subuh berjemaah di surau Al-Islah kini terpacak Asraf di pos pengawal A.

“Janji pukul 7:30, sorang pun tak ada”. Rungut Asraf kepada pengawal keselamatan berbayar di kawasan kediamannya. Wak Nan tersengih mendengar rungutan Asraf. “Janji melayu, pukul 8 nanti sampai le”.

Basikal dan pakaian lengkap berbasikal telah tersedia. Hasrat hati mencabar dua bukit ladang sawit Glenworie sebelum menghirup udara bersih dan air yang dingin di Jeram Kedah.

“Awal ko sampai… Malam tadi pukul 3 pagi ko masih ada kat sini… Ko tak tido ke ?”. “Aku tido la Lee, sekejap pun jadi la” kata Asraf kepada Fadlee  salah seorang anggota Kelab Kayuhan F1L yang aktif. Hampir setiap dua minggu sekali Asraf akan berbasikal merentasi Semenyih ke Sungai Long pada hari Sabtu dan Ahad, masa untuk merentasi “off road”.
Jeram Kedah, syahdu menggamit rasa

“Engkau rasa boleh ke berkayuh hari ni ?”. Kata Fadlee kepada Asraf. “Engkau tengok aku tak boleh berkayuh ke ?”. “Ye la ko mesti tak cukup tido tau Tuan Syed Presiden kita tu memang tak boleh la ko berkayuh hari ni.” “Erk ko jangan la bagi tau Tuan Syed.”

“Weih cepat la sini dah la lambat, terhegeh-hegeh.” Kelihatan Bahari, Ben Nakata, Zul, Nik dan beberapa orang yang lain baru sampai dan memulakan sesi senaman “warming up” sebelum berkayuh.

Jam 0830 pagi, kayuhan yang diketuai oleh Fadlee dimulai menyelusuri rumah-rumah di kejiranan. Ramai yang masih tidur. Sunyi jalan menuju ke persimpangan ladang yang menjadi laluan kayuan pada setiap hari Ahad. Zul, Ben Nakata antara yang mendahului kayuhan. Asraf bergabung dengan Nik, Tuan Syed dan Zul mengikuti dari belakang.

Termengah-mengah Nik dan Zul lalu berhenti seketika dalam kayuhan menaiki bukit pertama. “Kau ok ke Asraf ?.... aku tengok muka ko pucat” ujar Zik. “Ko rasa aku tak ok ke Nik ?. Aku tak pun termengah-mengah lagi ni .” Kata Asraf. “Kita orang bukan apa .. ko cuma seperti kurang bertenaga dan pucat. Tak macam dua minggu lepas”. Ben menyokong kenyataan Nik.

Bukit pertama telah dilalui tinggal bukit yang kedua pula sebelum acara yang sangat menyeronokkan iaitu menuruni bukit. Asraf mulai merasakan nafasnya agak sesak diikuti oleh peluh yang agak luar biasa. Basah seluruh raut wajahnya. Kain sal yang dibawanya tersangkut di leher bagaikan tidak berupaya membendung basahnya peluh di wajah Asraff. “Lee aku rasa tak selesa la, aku rasa sesak nafas. Aku berhenti sekejap ye, ko orang jalan la dulu”. Lalu melepaskan basikalnya dan bersandar di pokok kayu berdekatan dengan laluan menuruni bukit.

Seteguk demi seteguk air dihirup oleh Asraf namun tak berkurang rasa sesak nafasnya apatah lagi rasa lelahnya. Dadanya terasa penuh dan sakit seperti ada batu besar yang menimpa dadanya walaupun pada hakikatnya tiada. Asraf menumbuk dada kirinya dengan harapan berkurang sakit dadanya.

Melihat keadaan Asraf, Fadlee menangguhkan hasratnya untuk menuruni bukit. Perlahan-lahan diurut dan diusapnya dada dan belakang Asraf. “Aris mintak tolong, ko naik bukit kat ladang ni bawak moto sekali eh”. Fadlee yang menelefon Aris meminta bantuan.

Jam 0930 pagi, Aris sudah pun sampai ke bukit. Asraf walaupun sedar tapi kelihatan amat lemah. Pucat membiru wajahnya dan dipenuhi peluh sambil terus menghentak-hentak dadanya. “Ko boleh bangkit lagi ke bang ?” kata Aris kepada Asraf. “Boleh!!” kata Asraf perlahan

Perjalanan pulang ke rumah Asraf mengambil masa 30 minit. “Abang …. Kenapa ?” pertanyaan isteri Asraf, Najiha “Sakit dada!!!” “Hantarkan abang ke klinik, abang tak tahan !!!”. Najiha bergegas bersiap untuk membawa suaminya ke klinik.

“Jiha, hantarkan abang terus ke Hospital Kajang ye. Abang rasa sakit abang ni teruk !!!”. “Ada minyak kapak ke kat kereta ni ?” Asraf sambil menghentak kuat dadanya dengan tangan kirinya.

Setibanya di wad kecemasan Hospital Kajang, pegawai perubatan terus sahaja membuat pemeriksaan dengan menggunakan Elektro Kardio Gram (ECG), lalu membuat amaran Kod Biru setelah mendapati memang ada simptom abnormal yang nyata pada jantung. Lima orang doktor bergegas membuat pemeriksaan terhadap Asraf.

“Berikan oksigen untuk membantu pernafasan. Aspirin untuk mencairkan darah dan menghalang saluran terus tersumbat. Nitroglicerin bagi merehatkan jantung dan menggalakkan peredaran darah melalui arteri koronari” Ujar doktor yang merawat Asraf.

Asraf dimasukkan ke ICU atau unit pemerhatian intensif di Kajang. “Kak Jiha, bagaimana keadaan Abg Asraf ?” Nazri yang berada di Rembau menelefon Najiha. “Ada di Hospital Kajang… Doktor kata tekanan darahnya semakin lemah dan mungkin akan dipindahkan ke IJN” “Eh, Pok Cik kata tadi dia dah ok !!”. “Entah la Nazri, Akak pun tak tahu”. “Tadi sedang doktor beri penerangan, Abg Asraf mengalami pendarahan yang teruk  dari mulut, telinga dan hidung”

Kelab Kayuhan F1L Bandar Tasik Kesuma
Bahari sampai di Hospital Kajang bersama teman seangkatan kayuhan basikal yang lain, Cikgu Azhar, Zul serta jiran-jiran setaman. Ketika di wad ICU Asraf berkata pada Bahari yang merupakan  salah seorang jiran yang amat rapat.

“Bahari, ko kirim salam pada yang lain ye. Kata kat deorang, aku tak apa-apa. Ko orang jangan la risau pasal aku” mengalir air mata Bahari dan yang lain ketika mendengarnya kerana sewaktu Asraf menyatakan hatinya, kelihatan darah mengalir di setiap inci mulutnya. Benarlah keadaan Asraf amat kritikal pada masa itu.

Asraf mungkin tidak mempunyai pertalian darah dengan Bahari, tapi hubungan kejiranan yang amat kuat membuat Bahari hiba. Beliau masih ingat lagi bagaimana dia dan Asraf bersusah payah membangunkan Surau Al Islah. Walaupun tiada peruntukan dari mana-mana agensi bahkan dengan bermodalkan tenaga dan kudrat empat kerat mereka setaman mampu membinanya bersama-sama. Siang berpanas dan malam berembun hampir 8 bulan menyiapkan surau itu secara perlahan-lahan.

Jam menunjukkan 0500 petang. Kepastian telah diperoleh. Asraf akan dipindahkan ke IJN. Bahari, Fazlee, Zul dan rakan yang lain telah bersedia di ambulan yang akan membawa Asraf. “Bang, bawa kawan saya ke IJN elok-elok ye bang” Fadlee mengesatkan air mata memberitahu kepada pemandu ambulan. Dr Hakim, mungkin seorang doktor pelatih tetapi seolah-olah telah lama bertugas sebagai doktor di Kajang bertemankan dua orang jururawat dan Najiha mengiringi Asraf ke IJN. “En Asraf…..En Asraf….. sini… sini…. Jangan tidur” berulang-ulang Dr Hakim memanggil Asraf yang terbaring di atas katil di dalam ambulan. Tersenyum Asraf bila terdengar namanya dipanggil.

Dr Hafidz Abd Hadi
Jam 0530 petang, Dr Hafidz bin Abd Hadi menyambut Asraf dan Najiha. Asraf segera disorong ke wad kecemasan. Takdir Tuhan jantung Asraf berhenti berdegup hingga menyebabkan keadaan kelam kabut , tanpa membuang masa Dr Hafidz melakukan CPR. Najiha terpaku di depan pintu wad kecemasan. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya seperti dalam drama swasta, setelah nadi berjaya dipulihkan ..jantung Asraf berhenti lagi, kali ini Najiha tidak dapat lagi melihat Asraf, pintu wad kecemasan ditutup rapat. “Puan, sign surat menyurat ni” “Bagaimana harus saya tandatangan … saya belum baca lagi” “Emergency puan, percaya la kepada doktor di sini.” Dalam keadaan bingung Najiha menandatangani surat menyurat yang tersedia, sekujur tubuh Asraf terus disorong ke dewan pembedahan. “CPR….” Kelihatan dada Asraf ditekan beberapa kali oleh Dr Hafidz “… 10 saat jantung telah berhenti” sayup-sayup kedengaran suara Dr Hafidz. Najiha hanya mampu memegang tangan Asraf seketika sebelum tubuh Asraf ditolak ke dewan pembedahan.

Asraf mengalami serangan jantung yang kritikal, jantung telah terhenti sebanyak dua kali. Paras tekanan darah yang rendah, tidak cukup oksigen dan kod biru telah dikenal pasti sewaktu di Kajang lagi. “Puan kena bersedia terhadap segala kemungkinan, En Asraf mempunyai kebarangkalian sebanyak 50%. Panggil anak-anak dan suruh mereka datang ke sini sekarang”.Berderau darah Jiha mendengar penerangan Dr Hafidz. Terasa gelap seketika pandangannya..pagi tadi Asraf bersemangat ingin berbasikal, petang ini sudah terlantar di IJN.

Pembedahan bermula pada jam 0600 petang . Keluarga segera dihubungi . Berita Asraf sakit segera merebak dalam kalangan jiran dan rakan taulan. Kebanyakannya menjangka Asraf kemalangan jalan raya kerana selain berbasikal, Asraf gemar menyertai konvoi motosikal berkuasa besar. Jadi berita Asraf diserang sakit jantung amat memeranjatkan .

Malam tahun baru..seiring dengan meriahnya percikan bunga api di KLCC begitu juga lebatnya air mata Najiha menanti penuh debaran Asraf keluar dari dewan pembedahan. Najiha hanya dibenarkan melihat Asraf pada jam 1230 pagi. Asraf ditempatkan di wad CCU. Sayu hatinya bukan kepalang , tubuh Asraf dipenuhi wayar dengan pelbagai mesin mengelilinginya. Muka Asraf juga sudah berubah..pucat tidak bercahaya. Asraf bergantung sepenuhnya pada mesin untuk bernafas. Jika tidak kerana memikirkan anak yang empat orang itu, mungkin Najiha sudah pengsan di situ juga.

Datuk Dr Razali Omar
Seorang jururawat menyentuh bahu Najiha dengan lembut..”Puan , doktor ingin berjumpa ,” Dr Hafidz yang menyambut Asraf di wad kecemasan memperkenalkan Datuk Dr Razali bin Omar kepada Najiha. “Puan ini pakar kami yang mengetuai pembedahan,” Najiha hanya mampu mengangguk lemah.

“Suami puan mengalami serangan jantung yang kritikal. Kami telah melakukan prosedur Coronary angioplasty and stenting untuk menyelamatkan nyawanya. Kami memasukkan tiub kecil melalui peha kiri beliau untuk menuju kepada bahagian salur darah arteri yang tersumbat. Pada bahagian hujung tiub ada struktur yang dipanggil belon dan dikembangkan bila sampai di bahagian tersumbat. Pada masa yang sama struktur yang dinamai stent telah diletakkan bagi memastikan saluran darah yang tersumbat terus terbuka. Kami juga telah melakukan prosedur angiogram bagi mengenal pasti kawasan arteri yang tersumbat”.

“Biasanya dalam peringkat awal serangan jantung, teman atau kenalan boleh membantu dengan menghubungi hospital dengan lebih awal. En Asraf sangat kuat walaupon agak lambat tetapi beliau masih boleh bertahan. Subhanallah … His determination saves him.”

“Teman-teman boleh membantu dalam peringkat awal dengan melakukan teknik CPR atau cardiopulmonary resuscitation kepada pesakit. Ini akan membantu dalam menyerakkan oksigen ke tubuh badan dan otak”.

“Tekan dada pesakit lebih kurang dua inci atau lima centimeter dengan kadar 100 kali seminit. Jika mereka tau teknik CPR boleh la teruskan memulai tapi jika tidak tahu cukup la bantu dengan menekan dadanya”

Share:

2 komen:

Anonymous said...

semestinya kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan..

faizal.muzni said...

sudah semestinya

Total Pageviews

Labels

Teman Blog

Pengikut